Oleh Al Fannani (Morocco)
http://alfannani.wordpress.com
Salamullahi Alaikum
Kita telah maklum bahawa gaya bahasa asonansi merupakan perulangan bunyi vokal dalam dua atau lebih daripada dua suku kata. Contohnya seperti pengulangan vokal a pada baris pertama sajak `Bunga Popi' Karya SN. Usman Awang:
Dari darah dari nanah yang punah di tanah.
Kita dapati di atas pengulangan vokal a yang begitu kerap. Namun bukanlah kerana pengulangan vokal a itu semata-mata yang membuatkan kita tertarik bahkan makna dan perasaan yang terdapat dalam baris indah itu yang nampak bersahaja namun punya daya tarikan yang istimewa.
Kemudian saya datangkan lagi contoh pengulangan yang terdapat pada tajuk novel karya SN. Shahnon Ahmad:
Detik-detik diri di daerah daif
Jelas ayat di atas kita dapat pengulangan huruf vokal `I', `e' dan juga `a' . Bagaimana pula dengan huruf konsonan `d' yang kita dapati terdapat pengulangan juga dalam ayat di atas, adakah itu juga termasuk dalam golongan asonansi? Jawapannya tidak. Kerana kita perlu lihat semula takrif asonansi yang merupakan perulangan bunyi vokal dalam dua atau lebih dari dua suku kata. Jadi persoalan itu dapat langsung kita selesaikan.
Ada juga pendapat mengatakan bahawa asonansi ini muncul berdasarkan ketebalan perasaan. Bijleveld telah mengaitkan asonansi dengan ketebalan perasaan dan beliau berpendapat bahawa apakala perasaan seseorang itu terlalu menebal, alat suaranya mengalami `kakakuan'. Maka dalam keadaan `kaku' itu, terbitlah vokal yang sama.
Baik di sini saya tidak ingin berceloteh panjang mengenai definisi asonansi yang saya rasa sudah diketahui khalayak . Saya ingin bawa kalian mengenali jenis-jenis asonansi secara ringkas.
Terdapat dua jenis asonansi:
Asonansi parallelistiche : Perulangan bunyi pada tempat-tempat yang sejajar dalam susunan kata. Contoh : `titah lalu sembah berlaku' mengandung perulangan bunyi `a' dan `u' pada tempat-tempat yang sejajar. Asonansi ini menetapkan rentak pada tempat yang bunyinya berulang. ` dahulu parang sekarang besi, dahulu sayang sekarang benci'. Kita boleh dapati kehadiran bunyi tertentu pada tempat tertentu walaupun barisnya panjang.
Contohnya seperti yang telah diberikan di atas. Contoh bagi perulangan bunyi vokal `a' pula ialah: `masa kecil teranja-anja sudah besar terbawa-bawa'. Dalam contoh ini kita dapati perulangan bunyi vokal `a' sebanyak 4 kali bagi perkataan-perkataan `teranja-anja' dan `terbawa-bawa'.
Asonansi chiastische : Perulangan bunyi secara berselang-seli. Ia juga disebut sebagai disonansi. Seperti perkataan `bilang' dan `baling', kita dapati kedua-dua perkataan itu mempunyai vokal `I' dan `a' namun kedudukannya diterbalikkan. Begitu juga pada perkataan `buka' dan `baku','pisang' dan `pasir' dan banyak lagi.
(Rujuk buku Memahami Gaya Bahasa – Rahman Shaari)
Wednesday, May 6, 2009
Asonansi
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
9:02 AM
0
comments
Labels: panduan
Monday, April 27, 2009
Rakaman Diskusi CDRK: Re-post
Tanggal 3 Februari 2008, Kem Latihan Penulis (KELAP) PMRAM (Mesir) telah mengadakan sesi diskusi Cinta Dan Rona Kinanah secara atas talian melalui yahoomessenger. Program tersebut mengambil tempat di Malaysia, dan dipancarkan ke seluruh dunia terutamanya Mesir. Ahli-ahli Grup Karyawan Luar Negara, antaranya dari Ireland, Morocco, Mesir, Malaysia, US, dan UK, turut mengambil kesempatan untuk menyertai majlis perbincangan yang membina ini. Antara pembicara yang hadir termasuklah Nazmi Yaakub, Shamsudin Othman, Rahimidin Zahari, Dr Ahmad Razali, Amiruddin Ali, dan Lutfi Ishak.
Rahimidin Zahari
Dr Ahmad Razali
Shamsudin Othman
Berikut antara rakaman-rakaman audia perbincangan yang sempat direkod:
Shamsudin Othman 1 (diskusi puisi)
Shamsudin Othman 2 (diskusi puisi)
Shamsudin Othman 3 (diskusi puisi)
Taujihat penulis: Lutfi Ishak
Taujihat penulis: Rahimidin Zahari
Taujihat Penulis: Nazmi Yaakub
Soal jawab 1
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
9:02 AM
0
comments
Wednesday, April 15, 2009
Berat Tali dari Anjingnya
Oleh Muhammad Teja
http://janjilaxamana.blogspot.com
Seorang sahabat saya, mengkhabarkan yang dia geli hati apabila membaca tulisan saya. Alhamdulillah, ada juga orang nak baca tulisan yang picis ini. Haha.
Dia tanyakan pada saya, apa maksud satira. Maka, saya menjawab, berdasarkan kamus dewan; satira adalah sebuah karya, baik prosa atau puisi, yang dibuat untuk tujuan menyindir. Ikut kata cikgu saya, satira ada dua jenis - yang lembut atau keras. Yang lembut kita namakan horatia. Yang keras dipanggil Juvenilla.
Sebenarnya, nak buat satira ini bukan kerja mudah. Untuk menyindir orang habis-habisan, sang pengarang terpaksa melalui satu proses yang dinamakan tekanan. Tekanan itu diperoleh apabila melihat keserabutan, ketidaksenonohan dan kebatilan yang dilakukan oleh individu atau sesebuah kumpulan atau satu saf kepimpinan baharu parti . Apabila ditekan, pengarang (yang biasanya tiada teman untuk berkeluh kesah), akan memanfaatkan ruang untuk melepaskan apa yang terbuku di hatinya - dengan versetalitinya tersendiri. Kejadian yang menyakitkan hatinya, akan dilawakkan dan disendaguraukan, supaya dia sendiri berasa terhibur dan puas, dengan secubit harapan agar watak yang disatirakannya itu akan terasa dan memberontak marah. Namun, pengarang satira yang tersengih itu akan berkata kepada orang yang disatirakannya; "Yang kau terasa tu apasal?"
Nak buat satira pun kena ada latihan. Macam Raja Lawak, peserta yang masuk itu pada mulanya hanya pandai berlawak slapstik dan dikutuk keras-keras oleh Zaibo dan Khatijah Tan. Akan tetapi, bila sudah lama-lama berlatih, lawak mereka akan lebih berkualiti dan berilmiah sehingga pandai berbuat lawak untuk masyarakat Melayu yang tengok Astro sahaja.
Untuk bersatira, latihan yang baik adalah dengan membaca karya satira juga. Bahasa Melayu ada menawarkan novel satira yang berkualiti tinggi. Untuk jenis Horatia, Novel Azizi Hj Abdullah; Kawin-kawin boleh dijadikan panduan. Bagi sesiapa yang lebih tabah dan bersungguh-sungguh, boleh menelaah dengan tekun novel Shit, karya SN Shahnon Ahmad untuk mendapat nada Juvenillanya. (Disklaimer; Jika anda sakit hati membaca novel di atas, saya tidak bertanggungjawab)
Kesimpulannya, buat kerja lawak di dalam pengarangan ini sebenarnya berat tali dari anjingnya. Untuk menghasilkan satira satu entri pun, kekadang pengarang itu terpaksa menelaah dan mengkaji berpuluh-puluh novel satira dari pengarang yang lain.
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
3:37 PM
1 comments
Saturday, April 4, 2009
Rakaman Faisal Tehrani di radio IKIM: Tunggu Teduh Dulu
(Gambar dari blog Faisal Tehrani: http://tehranifaisal.blogspot.com)
Rakaman oleh saudara AlFananni (Morocco)
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
8:56 AM
0
comments
Saturday, March 14, 2009
Kemahiran Mengkritik
Oleh Fadhil Noor (Jordan)
http://aladibafzan.wordpress.com/
Ramai yang tidak menyedari akan kepentingan sastera dalam kehidupan, malah ramai yang tidak yakin akan kepentingan mempelajari kritikan sastera.
Kritikan boleh didefinasikan sebagai satu ilmu atau seni yang memahami sesuatu teks itu sambil menyemak ketulenan sesuatu teks itu bersandarkan kepada: kesahihan teks, sejarah, pembentukan, rujukan dan sifatnya.
Apabila kritikan itu disandarkan pula kepada sastera, ia telah menghasilkan definisi baru iaitu, menyemak ketulenan sesuatu teks sastera serta pengaruhnya disamping membezakan antara yang baik atau yang buruk daripadanya.
Ilmu pengkajian sastera ini perlu melalui beberapa kaedah, disamping perlu mengetahui metodologi yang telah dirintis oleh pengkritik- pengkritik, tidak kira pengkritik orientalis ataupun pengkritik sesuatu bangsa itu.
Tetapi, di dalam penulisan ini saya lebih menjurus kepada kritikan sastera arab, kerana beberapa teori telah dihasilkan daripada kritikan sastera arab, in termasuklah teori plagiat syair, teori pembinaan bait syair, lafaz dan makna, teori semulajadi dan kreatif, serta teori kecurian syair arab.
Beberapa persediaan sebelum mengkritik/ mengulas karya:
1- Pastikan sesuatu teks itu sebelum dikritik telah difahami maksudnya dan dinilai secara kreatif
2- Tentukan teori yang hendak diguna pakai untuk mengkritik, contohnya apabila kita hendak mengkritik teks sastera arab, kita akan mengguna pakai teori yang diperkenalkan oleh pengkritik arab.
3- Pastikan kritikan anda tidak bias atau berat sebelah. dan pastikan kritikan itu bernas dan boleh diterima pakai oleh semua lapisan masyarakat.
4- Banyakkan membaca karya- karya kritikan sastera yang anda gemari. Lebih- lebih lagi apabila anda menumpukan kepada sastera sesuatu bangsa.
5- Jangan terlalu menghentam sesuatu teks itu tanpa anda mempedulikan tujuan sesuatu teks itu ditulis atau dihasilkan.
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
9:20 AM
0
comments
Labels: panduan
Wednesday, February 4, 2009
Bagaimana Saya Menulis?
http://rebeccailham.blogspot.com
Pertanyaan Sdr Syukri di laman LSS
Adelaide:
"Saudari nampaknya cenderung membuat cerpen dengan menggunakan teknik
anti-plot atau dialog. Boleh saudari kongsikan kepada sahabat sastera
sekalian apakah rujukan yang saudari gunakan untuk menghasilkan karya
berbentuk begini. (rujukan pengarangan) . Dan apakah saranan saudari
untuk sahabat-sahabat kita yang mahu juga menghasilkan karya seperti ini."
Jawapan Rebecca Ilham:
Saya tidak mempunyai rujukan atau metodologi khusus, selain sentiasa
memastikan masa diisi dengan membaca. Fikiran saya begini: bacalah
sebanyak termampu kerana informasi yang dihadam mungkin akan berguna
suatu masa nanti, jika tidak digunakan sebagai bahan penulisan sekali
pun, ia akan mengayakan pengetahuan. Tiada kerugian di situ. Namun
alhamdulillah, banyak juga material bacaan lalu yang dapat saya
gunakan dalam penulisan kemudiannya. Selain itu, saya juga meski
jarang berpeluang menekur peti televisyen, tetapi kadang kala ada
gunanya juga membiarkan tv terpasang tatkala muzik dari komputer juga
berkumandang semasa menyelesaikan tugasan akademik. Informasi tentang
Taim dalam Perca-Perca Cinta Untuk Palestina (PPCUP) misalnya, saya
perolehi melalui rancangan masakan "Throwdown with Bobby Flay" di
saluran Food Network yang mnejadi saluran default saya sewaktu cuti
musim sejuk tempoh hari.
Informasi daripada background knowledge ini andai relevan dengan karya
yang sedang diperam atau dikerjakan akan diikuti dengan rujukan lebih
dalam. Mengambil PPCUP lagi sebagai contoh, pada awalnya saya ingin
menjadikan kaffiyeh sebagai pusat penceritaan, namun saban hari
meladeni laman agensi-agensi berita antarabangsa (dan capaian URL yang
dikirimkan seorang teman) menimbulkan kejelekan terhadap Majlis
Keselamatan PBB. Saya teringatkan tentang kedudukan US sebagai ahli
tetap Majlis Keselamatan yang mempunyai kuasa veto (salah satu
pengisian subjek Sejarah, saya lupa sewaktu tingkatan berapa), maka
pembacaan tentang PBB bermula.
Pembacaan itu menemukan saya dengan United Nations Plaza dan Bangunan
Sekretariat. Sementelah sedang mencari lokasi untuk karya, maka saya
berkeputusan untuk menempatkan dua watak (Wafeya dan babanya Isham -
nama Isham tidak saya pilih sewenang-wenang, maksudnya pelindung maka
sebagai bapa, dia terlalu ingin melindungi anak gadisnya
Wafeya)berhampiran kompleks pejabat PBB itu. Dua beranak itu berada di
sebuah restoran dan menyantap hidangan Barat kerana saya ingin
mneyampaikan mesej asimilasi dan integrasi watak dengan persekitaran
tanpa melupakan asal usul sendiri. Argh, tidakkah di mana bumi dipijak
di situ langit dijunjung? Dan Wafeya masih bercita-cita untuk pulang
ke Palestin kerana hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu
di negeri sendiri.
Tetapi menulis juga KERJA LANGIT. Acapkali saya sendiri tak tahu dari
mana datangnya ilham (sebuah buku tafsir Al Quran yang sedang saya
baca mendefinisikan ia sebagai "divine inspiration" dan saya fikir
itulah terjemahan paling tepat) dan apakala menemukan hubung kait
antara material bacaan, saya yakin itu adalah kehendak Tuhan jua. Oleh
itu, saya kira nawaitu kita menulis sangat penting kerana asal sahaja
niat kita baik dan kita berusaha ke arah itu, Tuhan akan menunjukkan
jalan. Sekadar berkongsi, nawaitu saya adalah untuk mendidik; khalayak
dan diri sendiri. Oleh itu, saya berazam untuk tidak memperbodohkan
pembaca dengan menulis sambalewa. Biar pun membaca dan menjalankan
kajian untuk mengumpul bahan penulisan kadang kala memeritkan dan
mengambil masa, tetapi saya fikir saya terhutang kepada khalayak
pembaca sebuah karya yang matang dan mampu mencabar intelek mereka.
Tulislah apa yang kamu mahu baca - ini moto peribadi saya.
Selain itu, Sdr Syukri juga ada menyebut tentang 'penyelesaian' yang
ditawarkan dalam PPCUP. Jika anda membaca karya-karya saya yang
terdahulu (sejak setahun setengah yang lalu) barangkali anda perasan
bahawa ini memang formula yang saya gunakan sejak 'ditegur' oleh Abang
FT melalui kata pengantar dalam Antologi Jalan Jauh ke Ramallah (GPH,
2007). Kata Abanag FT:
"Keduanya,'kesedara n sosial' dalam karya ini terasa ketara. Hampir
setiap karya memuatkan resah dan gelisah ummah. Hampir setiap karya
memuatkan kesedaran tentang penyakit dan kelesuan yang umat Islam
tanggung. Sayang, kalimat tepatnya malang, 'kesedaran sosial' dalam
karya-karya mereka ini tiak diterjemah dengan 'sikap sosial' yang
pernah Malek Ben Nabi sebut sebagai tuntutan paling penting dari
kesedaran tersebut."
Apa itu sikap sosial? Kata FT lagi:
" ' Sikap sosial' ialah apabila intelektual mengesani masalah yang
mengulit masyarakatnya tetapi bukan sekadar membincangkan, mereka juga
harus menyediakan pelan bertindak untuk keluar darinya."
Penulis bukan sekadar pemerhati, tetapi juga pemikir. Tambah pula kita
rata-rata adalah graduan luar negara yang pernah jadi creme de la
creme negara, jadi ayuh, mari kita manfaatkan peluang dan kelebihan
fikrah kurniaan Tuhan untuk beramal!
Wassalam,
RI, Colorado.
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
8:49 AM
3
comments
Friday, January 23, 2009
Topeng Siluman Jogho (Dewan Siswa, Januari 2009)
Assalamualaikum dan salam perpuisian. Moga dalam keadaan aman dan bersemangat dalam apa jua cabaran yang dihadapi.
Sekadar berkongsi tarian pena dari nukilan rasa buat santapan akal dan rohani kita semua. Untuk pengetahuan, sajak ini telah disiarkan dalam Dewan Siswa Januari 2009. Berikut ialah petikan ulasan puisi oleh En. Faisal Tehrani:
"Bulan ini kita dihadapkan dengan sehimpunan puisi yang amat menarik, khususnya jika kita mengabaikan aspek bentuk yang masih mentah, sebaliknya menekuni aspek sintesis. Sintesis dapat digali dengan menanyakan, antara lain, beberapa persoalan seputar puisi tersebut. Yang pertama, apakah yang ingin dihantar oleh penyair? Kedua, mengapakah dalam menyampaikan mesej sedemikian, penyair mengungkapkannya dengan gaya bahasa yang dipilihnya? Hal ini demikian kerana pemilihan gaya bahasa berkaitan dengan perasaan dan nada.
Puisi Hazwan Ariff yang sedang menuntut di United Kingdom adalah antara puisi yang menyerlah. Topeng Siluman Jogho menimbulkan pertanyaan, siapakah yang menjadi 'mangsa serangan' penyair muda ini? Hal ini menimbulkan misteri dan sensasi sekaligus menjadikan puisi ini diselubungi satu rasa yang cukup khas sehingga menonjolkan karya terbabit. Oleh sebab penyair bijak menyembunyikan sasarannya, hal itu memberikan ruang kepada pembaca untuk 'mempertengkarkan' puisi tersebut. Hal ini juga menjadikan puisi ini hidup kerana diberi interpretasi yang mendalam, apatah lagi nadanya amat marah-marah. Saya suka mentafsirkan puisi ini sebagai sajak politik, iaitu penyair mengungkapkan rasa jelak, jengkel dan menyampah oleh kelelahan politik semasa negara. Petunjuk yang saya temui untuk tiba kepada kesimpulan ini ialah kata 'kemunafikan' yang dihubungkan dengan jaguh (yang pandai berpura-pura) . Teliti perenggan yang paling memikat ini:
Saban waktu topeng siluman jogho
menghidangkan kemunafikan
yang terpantul dari
gema gendang serba ruang,
getar canang membisu bulat pendapat,
gegar marakas membuta kelat hakikat."
Setelah membaca ulasan yang panjang di atas, saya turunkan sajak yang dimaksudkan di bawah:
TOPENG SILUMAN JOGHO
Saban waktu topeng siluman jogho
menghidangkan kemunafikan
yang terpantul dari
gema gendang serba ruang,
getar canang membisu bulat pendapat,
gegar marakas membuta kelat hakikat.
Telah bayu berlagu merdu
mengirimkan gemersik suara jogho
yang mengusap leka khalayak
kala pentas dipekakkan
pekikan nafsi awak-awak
dan wau bulan
tukang karut menang sorak
demi menjulang piala kehidupan
yang tuna dan bobrok.
Hingga ke penjuru tabuh ...
bunyi gong gila
memantapkan tarian kapiran,
terus topeng siluman jogho
meladeni wirama:
pak pak pak pung
pak pak pak pung
pak pak pak pung
pak pak pung
pak pak pung
saban waktu.
Mawar Desa,
Subang Indah, Petaling Jaya
22 Ogos 2008
20 Syaaban 1429H
Dewan Siswa, Januari 2009
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
8:34 PM
0
comments
Labels: panduan
Friday, January 16, 2009
Darma Seni (Dewan Siswa, Disember 2008)
Oleh: Hazwan Arif Hakimi
http://darmaseni.blogspot.com/
Assalamualaikum dan salam perpuisian. Moga dalam keadaan afiat dan aman.
Sekadar berkongsi tarian pena dari nukilan rasa buat santapan akal dan rohani kita semua. Untuk pengetahuan, sajak pendek ini telah disiarkan dalam Dewan Siswa Disember 2008.
Berikut ialah petikan ulasan puisi oleh En. Faisal Tehrani:
"Bunyi dalam puisi amat penting. Bunyi tersebut dinamakan 'rima dan ritma.' Secara mudahnya ialah pengucapan bunyi dalam puisi yang akan menjadi suatu unsur yang memperindah puisi. Maka puisi akan terzahir bagai suatu muzik yang merdu dibaca. Bukan itu sahaja, bunyi-bunyi ini mengandungi emosi penyair dan suasana karya tersebut.
Unsur rima dan ritma ditemui dalam sajak Drama Seni karya Hazwan Ariff Hakimi dari University of Nottingham. Keseragaman bunyi terhasil daripada pemilihan kata pada setiap hujung baris karyanya."
Saya turunkan sajak tersebut:
DRAMA (DARMA) SENI
Siangku mencipta senang tari,
malamku mentafsir bicara makhfi,
dan akulah darwis abdi,
persis mementaskan drama
bicara dan tari.
Drama ini drama diri.
Drama ini drama (darma) seni.
Perindu,
Subang Indah, Petaling Jaya
5 Ogos 2008
3 Syaaban 1429H
Dewan Siswa, Disember 2008
'Darma' dalam kurungan adalah versi saya yang asal. Rasanya editor fikir bahawa saya dah tersilap mengeja 'drama'. Sebetulnya, 'darma' yang dimaksudkan.
Darma - kemestian, kewajipan.
Betapa perbezaan antara susunan dua huruf boleh memberi pengertian yang sangat berbeza!
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
8:48 PM
0
comments
Labels: panduan
Thursday, December 25, 2008
'Penulis Muslim' dan 'Penulis Mukhlis'
Oleh: Siddiq Osman
http://pujangga-kembara.blogspot.com
PENULIS MUSLIM
saya bertanya kenapa pengkaji muslim jarang menonjol ke mana karya mereka? setelah saya melihat dan mencari rupanya beribu karya agung penulis muslim tetapi sayang saya hanya dapat membaca karya itu dalam bahasa arab. terlalu sedikit golongan yang bertungkus lumus menerjemahkan karya karya ini dalam bahasa melayu.
PENULIS MUKHLIS
ya, kenapa kita menulis adalah satu soalan tunjang yang akan berakar darinya soalan soalan lain. Di sana ada sebab ada alasan dan juga ada matlamat. kalau ketiga perkara ini bersatu dalam satu jalur yang lurus alhamdulillah. tetapi jika ada selekoh yang menghijab eloklah kita nilai semula nilaian mana lebih elok. jika sebab alasan dan matlamat kita adalah mendapat keredhaan Allah maka tak perlulah entri ini ditatap lagi. tetapi jika sebaliknya ingin saya bertanya sejauh mana perkara lain bakal membahagiakan kita?
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
10:05 AM
0
comments
Thursday, December 18, 2008
Menulis Bukan Kerja Picisan atau Iseng-Iseng
Oleh: Adibah Abdullah
http://ummuhurayrah.blogspot.com
Salam.
Pernah - dan masih - kelihatan, satu persepsi yang amat menggusarkan, bahawa orang-orang yang menulis adalah seperti anjing-anjing yang menyalak bukit dengan harapan bahawa bukit itu runtuh, atau lebih menghinakan, untuk membuktikan bahawa salakannya adalah yang paling gagah, paling lantang.
Benar, Imam as-Syahid Hassan al-Banna pernah berkata bahawa beliau tidak mempunyai masa untuk menulis buku kerana kesibukannya untuk 'menulis' manusia. Namun kita harus sedar, sekiranya murid-murid dan sahabat-sahabat beliau tidak menulis inti kuliahnya, maka ilmu pengetahuan tersebut tidak akan sampai kepada masyarakat untuk mendidik generasi selepasnya.
Benar, ilmu yang disampaikan dengan terperinci dalam buku-buku yang tebal dan termasyhur, tidak akan dapat difahami oleh segenap lapisan umat yang pelbagai tahap keintelektualannya. Makalah-makalah berat yang sarat falsafah mungkin di luar jangkauan sebahagian besar khalayak. Namun kita harus mengakui, buku-buku tebal dan makalah berat itu akan dibaca pula oleh golongan yang mampu menterjemahkannya kepada aksi, kepada tindakan yang membawa kesan kepada ummah. Mempersoalkan siapakah yang lebih hebat adalah seperti mempersoalkan yang mana lebih mustahak, sawah padi atau kilang beras.
Maka haruskah kita menuding jari mengatakan bahawa ilmuwan yang kerjanya yang zahir adalah menulis, beranalisa dan berteori itu tidak sehebat mereka yang terkenalnya lebih kerana bergelanggang di tengah umat? Apatah lagi menuduh sang penulis - apatah lagi jika tulisannya mengkritik mana-mana pihak - sebagai anjing yang menyalak bukit, sebagai tin kosong yang selayaknya dipijak sehingga kemik?
Menulis bukan kerja mudah. Untuk menulis bahan yang berisi, seseorang itu memerlukan pengetahuan, kefahaman atas pengetahuan itu, keberanian dan kemahiran berbahasa, juga saluran yang sesuai.
Menulis mungkin mudah jika hanya berkisah lewah tentang kehidupan sehari-hari, atau catatan ringan-ringan seusai usrah, atau nukilan isi hati yang dikaitkan dengan dakwah. Dengan bahasa yang mudah-mudah dan ejaan yang adakalanya tunggang-terbalik. Saya, dan saya yakin kamu semua juga, menghormati mereka kerana niat yang murni, usaha yang mungkin sudah dilakukan mengikut keterbatasan kudrat masing-masing, dan tentu sahaja efek yang terlihat tetap ada, kalau tidak banyak, sedikit.
Menulis tidak mudah jika menganalisa isu-isu semasa yang diintegrasikan dengan pendapat ilmuwan kontemporer, lantas semuanya dicantumkan dengan analisa sendiri. Anehnya, yang sukar itulah yang seringkali tidak dihargai. Dikesampingkan sebagai 'terlalu berat', 'tidak mesra pembaca', atau diremehkan sebagai bicara intelektual yang tidak berpijak di bumi nyata. Hanya tahu memberi komen dan oceh-oceh renyah, tidak tahu membuat kerja. Ada yang menghormati dan menyanjung, malah menyokong, tetapi yang membantu? Baling batu ada lah.
Manusia sifatnya berbagai-bagai. Ada yang mempunyai kemampuan menulis yang hebat, lantas memilih menggunakan kemampuannya itu untuk mengarang. Persediaan ilmu yang terus-menerus dituntut menyebabkan masanya banyak habis untuk belajar, berfikir, dan menganalisa, sebelum sejumlah masa pula diperuntukkan untuk menulis. Banyak yang berkat disiplin diri dan dengan keizinan Allah S.W.T. berpeluang untuk bergelanggang di tengah-tengah masyarakat pula dalam pelbagai kegiatan dakwah baik fardi mahupun ammi, kerana kebijaksanaan untuk menulis itu tidak datang tanpa bergaul dengan sumber yang mengilhamkan dan pasaran yang bakal menerima tulisan itu - iaitu masyarakat.
apakah artinya kesenian
bila terpisah dari derita lingkungan
apakah artinya berpikir
bila terpisah dari masalah kehidupan
Sajak Sebatang Lisong, WS Rendra
Dalam sesetengah kes, kesempatan untuk menonjolkan diri di tengah-tengah masyarakat mungkin tidak sebanyak yang dimiliki oleh sahabat-sahabat seperjuangan yang tidak menulis dan tidak galak berusaha 'mencipta' ilmu, sebaliknya hanya menerima, menganalisa untuk diri sendiri dan meluahkan apa yang diperoleh melalui interaksi sosial dalam ruang lingkup semerta (immediate circle). Ini masih kira OK.
Kategori seterusnya iaitu sahabat-sahabat seperjuangan yang hanya menjadi mesin fotostat, tentu lebih banyak masa untuk dilihat bergelanggang di tengah masyarakat. Atau lebih tepat lagi, bergelanggang di tengah kelompok mereka sahaja. Bukan di tengah-tengah masyarakat dalam ertikata yang sebenar. 'Masalah kehidupan' yang hanya berlegar seputar skop yang terbatas, yang skop itu dirasakan terlalu besar, sehingga setiap yang berada di luar skop itu mengecil kepentingannya. Atau lebih meresahkan pemikir apabila melihat betapa ada insan yang tidak mengetahui kewujudan permasalahan di luar skop yang dirasakannya sudah terlalu besar itu.
apakah artinya berpikir
bila terpisah dari masalah kehidupan
Sajak Sebatang Lisong, WS Rendra
Permasalahan hidup adalah rumit dan kompleks. Manusia perlu sentiasa aktif mengambil tahu tentang dunianya dan perkembangan di sekelilingnya. Perlu rajin membaca dan menimba ilmu daripada sarjana pelbagai bidang - orientalis atau oksidentalis, Islamis atau skeptik, guru madrasah dari Nusantara mahupun syeikh beserban jubah dari Eropah. Perlu bergaul dengan masyarakatnya, memahami realiti dan prioriti yang diperlukan untuk waktu dan tempat itu, right here and now, bukannya untuk waktu dan tempat yang digambarkan beberapa puluh atau ratus tahun yang lampau, a vision of the future from the past. Penulisan adalah salah satu cara terbaik untuk menterjemahkan ilmu yang dicipta daripada analisa itu untuk capaian banyak orang dalam ruang dan waktu yang fleksibel.
Mungkin ada yang merasakan bahawa tidak perlu usaha yang gigih untuk belajar dan mencipta ilmu, untuk menyebarkan ilmu, untuk mengkritik ilmu. Menegur usaha-usaha pihak lain yang menyebarkan ilmu dengan cara mereka yang dirasakan silap.
Mungkin perasaan sedemikian timbul kerana selesanya mereka menadah ilmu pasang siap yang disediakan, "boleh dimakan begitu sahaja". Ilmu itu pula sudah "dijamin halal" dan sesiapa yang berani mempersoalkannya akan disergah, dipaksa membuka kilang sendiri yang dapat mengeluarkan produk yang "jaminan halal"nya lebih baik daripada itu.
Apabila kita bertanya tentang pemprosesan makanan yang disajikan - baik kepada kita mahupun kepada orang lain - adakah itu bermakna kita tidak pandai memasak? Adakah itu bermakna kita tidak berterima kasih kepada si tukang masak, atau menidakkan usahanya yang telah berjaya mengenyangkan orang lain? Adakah pertanyaan dan persoalan kita itu mewajibkan kita untuk memperbaiki makanan yang disajikan, atau menyediakan makanan yang lebih baik?
Rakyat yang mempersoalkan pemimpin tidak pernah disuruh menggulingkan pemimpinnya. Pengguna khidmat kesihatan percuma di UK digalakkan memberi pendapat dan kritikan supaya perkhidmatan yang sudah baik itu dapat diperbaikkan lagi.
Menerima kritikan secara proaktif bukanlah hanya mengiyakan, mengakui, dan tidak berbuat apa-apa. Menerima kritikan secara proaktif bererti menganalisa semua aspek-aspek kritikan yang diterima dan bertindak untuk melakukan perubahan. Jika keputusan yang dibuat adalah untuk tidak melakukan perubahan di mana-mana, maka bersedialah untuk memberi justifikasi yang rasional, atau untuk dikritik dan terus dikritik.
Menulis bukan kerja picisan atau iseng-iseng. Ia akan menjadi picisan dan iseng-iseng jika penulisnya hanya bermain-main, tidak berfikir dan tidak mengajak pembacanya berfikir. Ia akan menjadi lacur jika penulisnya tidak mempunyai sebarang maksud yang baik malah mengagungkan kesesatan atau mengajak ke arah kebatilan.
Menulis - seperti juga mendidik - bukanlah kerja picisan, apatah lagi iseng-iseng. Sesuatu yang dimaksudkan untuk mendidik, perlulah dilakukan dengan sepersis dan sejujur mungkin. Pedulikan 'maksud tersembunyi', 'agenda rahsia' dan lain-lain frasa dengan konotasi bawah tanah yang berbalam-balam. Sesiapa yang tidak punya maksud dan agenda dalam melakukan sesuatu adalah orang yang tidak bermatlamat, dan perbuatannya adalah tidak berguna sama sekali. Saya sebagai penulis mempunyai agenda tersendiri dalam penulisan saya. Demikian juga penulis-penulis lain, dan pendidik-pendidik lain dengan wajah mereka yang pelbagai. Teruslah beragenda, tidak ada salahnya, malah itulah yang sepatutnya.
Laksanakanlah agenda anda itu dengan cara yang tidak menzalimi orang lain. Pengetahuan boleh diringkaskan, tetapi akuilah bahawa ia adalah pengetahuan yang diringkaskan, dimudahkan, dan bukalah ruang, berilah peluang untuk huraian yang lebih lanjut dicari. Apabila ia diwar-warkan 'hanya untuk kesedaran', maka biarlah ia 'hanya untuk kesedaran'. Bukan pemula dan penamat, sebelum penerima ilmu terus disodorkan dengan haluan yang didasarkan mutlak kepada pengetahuan yang diringkaskan tadi.
Memang dalam ilmu kimia, kita diajarkan dengan fakta-fakta ringkas sewaktu bersekolah rendah, tetapi kita sentiasa diajar terus-menerus tentang fakta yang lebih rumit, tidak ada sesiapa memberitahu kita bahawa inilah ilmu kimia yang sepenuhnya, atas ilmu inilah kita akan menghasilkan ciptaan-ciptaan canggih, malah di peringkat lebih tinggi, kita berpeluang untuk berlawan hujah dengan guru!
Mendasarkan ideologi, falsafah, tindakan, dan pergerakan atas penghuraian yang tidak lengkap, yang bersifat selektif - cherrypicking dalam bahasa penjajah - memberi penekanan kepada faktor-faktor yang menyokong agenda kita sahaja adalah mengkhianati kebebasan berfikir dan membuat keputusan penerima ilmu. Apatah lagi jika suara-suara yang mencabar, tidak bersetuju, the dissenters, disenyapkan dan dituduh sebagai pendosa dalam perjuangan.
Menulis - baik menulis buku, mahupun menulis manusia - bukanlah kerja picisan atau iseng-iseng. Hormati konsepnya dengan melakukannya dengan cara yang terbaik. Hormati pelakunya dengan memperlakukan tulisan-tulisannya dengan cara yang terbaik. Menghormati penulis dan penulisannya adalah menghormati ilmu.
Anjing yang menyalak bukit tidak akan meruntuhkan bukit, tetapi mungkin akan membangunkan orang yang akan bangkit dan mencangkulnya hingga rata. Itu lebih baik daripada ia diam dan menunggu bukit runtuh sendiri. Satu-satunya anjing yang berguna dalam kesenyapan hanyalah Qitmir di sisi Ashabul Kahfi.
Tasbih kaffarah.
salam,
meow~
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
10:27 AM
0
comments
Saturday, November 29, 2008
Saturday, November 1, 2008
Menulis Puisi?
Oleh: Siddiq Osman
http://pujangga-kembara.blogspot.com
Bismillahirrahmanirrahim.
Sebenarnya aku bukanlah penulis yang layak dirujuk tetapi oleh kerana ada pra peminat puisi ingin saranan maka harap coretan yang sedikit ini dapat membantu.
Menulis puisi adalah menceritakan sesuatu melalui perasaan yang halus supaya ia sampai ke lubuk hati. Puisi bukanlah seperti yang ramai manusia anggap. Puisi tidak semestinya suspense, misteri atau sukar difahami. Tetapi puisi itu seharusnya berkias, singkat perkataannya, tunggal tema utamanya dan cantik perenggannya.
Aku tidak tahu jika ada yg berpendapat puisi ini bukan mainan ilmuan. Atau puisi ini hanya untuk berpacaran atau mereka yang suka berangan. Orang arab asalnya menganggap pujangga pujangga mereka adalah raja kerana bagi mereka tukang tukang syairlah cendiakawan yang terhebat. Kerana mereka mampu menyatakan sesuatu terus kepada hati lalu menjentik emosi.
Jadi jangan hanya meletakkan cinta dan asmara sebagai tema berpuisi kerana yang sebenarnya puisi ini medan penyebaran ilmu yang padat dan sendat.
Menulis puisi adalah menyusun kata kata cantik dalam perenggan2 yang terdiri dari baris baris pendek. Imbuhan sangat mengganggu keabsahan sebuah puisi. kata berganda hanya bagi menjaga makna yang tidak ada jalan lain. tanda baca akan memandu org lain membaca puisi kita dengn nada yang kita mahu.
Keistimewaan puisi adalah tema yang sama tetapi membuka kefahaman yang pelbagai dalam ayat yang satu.
sekadar ini dahulu.
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
2:46 AM
0
comments
Thursday, August 7, 2008
Adakah Saya Seorang Penulis Elitis?
Oleh Rebecca Ilham
(Dipetik dari http://rebeccailham.blogspot.com )
Seorang blogger yang rancak juga menghentam beberapa penulis mapan tanah air tanpa menghadam karya-karya mereka mendefinisikan penulis elitis sebagai pengarang yang menulis untuk orang-orang yang sedia pandai. Oleh sebab itu katanya lagi, dia tidak berselera meneliti karya-karya elit ini kerana kepalanya sedia berat diisi oleh pelbagai tanggungjawab lain.
Reaksi saya: kalau belum baca, macam mana boleh disimpulkan karya-karya yang dihentam itu sebagai karya elit? Dan, salah penuliskah awak sendiri enggan mengasah minda berfikir?
Persoalan menulis untuk khalayak sedia pandai tidak seharusnya timbul. Secara peribadi, saya berpendapat manusia secara lahiriah gemar dicabar secara intelektual pertama dan lain-lain kedua, ketiga dan seterusnya. Tiada siapa di dunia ini yang mahu mengaku dirinya bodoh dan sebagai pengarang, saya kira ada tanggungjawab besar untuk tidak mempersendakan keintelektualan pembaca. Apabila menulis dengan tanggapan pembaca sedia pandai (atau setepatnya bersedia untuk dipandaikan), tidak akan timbullah rungutan-rungutan ‘cerita tak logik,’ ‘ending mengarut’ dan ‘aku tak sebodoh itulah!’ kerana pengarang dan penulis akan dituntut menjadi lebih kreatif, inovatif dan imaginatif.
Jadi, jikalau menulis dengan prinsip ini suatu hari nanti menjadikan saya penulis elitis, saya terima gelaran itu!
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
2:37 AM
0
comments
Labels: panduan
LATAR MASA DAN TEMPAT DALAM CERPEN
Oleh Rebecca Ilham
Cerpen adalah cerita pendek, maka setiap elemen cerpEn yang
diketengahkan pengarang hendaklah mempunyai signifikasi sendiri dalam
menyampaikan persoalan tunggal cerpen itu sendiri.
Salah satu elemen cerpen yang penting ialah latar atau setting. Latar
terbahagi kepada beberapa pecahan iaitu latar tempat, latar watak dan
latar masa (minta tambah kalau saya tertinggal). Kali ini saya mahu
menyentuh tentang latar tempat dan latar masa sahaja. Kedua-dua latar
ini boleh dibincangkan bersama kerana berlaku kerapkali akan berlaku
redundansi antara keduanya semasa menulis.
Latar tempat dan masa dalam cerpen penting kerana ia mengehadkan ruang
dan memberi mindset tertentu kepada pembaca. Tanpa latar tempat yang
jelas, pembaca akan berasa seolah-olah watak-watak terapung-apung di
dalam suatu ruang lingkup yang luas (Dr Othman Puteh, Panduan Menulis
Cerpen). Secara tidak langsung ini akan menimbulkan kesan kurang
selesa sepanjang pembacaan. Selain itu, dengan adanya latar tempat dan
masa, pengarang mempunyai peluang yang besar untuk menggunakan teknik
pemerian (teknik plot!) dalam membina plot ceritanya.
Cerpen adalah karya kreatif berbentuk fiksyen, secara peribadi saya
berpendapat karya genre ini seharusnya mampu membawa pembaca
mengembara ke tempat (atau alam) lain. Tetapi ini tidak bermakna latar
tempat dan masa boleh dibina sambalewa sahaja. Unsur-unsur alam yang
biasanya dikaitkan dengan kedua-dua jenis latar ini sepatutnya
mempunyai kepentingan sendiri dalam karya. Seperti puisi yang kerap
menggunakan unsur-unsur alam sebagai simbol dan perlambangan, perkara
yang sama boleh dilakukan dalam cerpen. Di sinilah gunanya teknik
pemerian, kerana sebagai simbolisme, latar tempat dan/atau masa tadi
kurang puitis andai disuakan sebagai perlambangan langsung kepada
pembaca. Sebaliknya, ia sepatutnya dilakukan dengan penuh subtle dan
diserahkan kepada penaakulan pembaca sendiri. Dalam erti kata lain,
perlu show but NEVER NEVER NEVER tell! (Dalam erti kata lain, never
insult the readers' intelligence)
Sebagai penuntut di luar negara yang berpeluang mengembara di negara
orang dan kawasan-kawasan sekitarnya (saya berani teka hampir semua
pelajar di Eropah tentu paling tidak pernah menjejak Al Andalus,
bukan? Yang di US wajib pernah jejak LA atau NY?), kita mempunyai
sumber yang banyak untuk dimanfaatkan dalam penulisan. Barangkali kita
hanya perlu lebih teliti memerhati dan menghubungkan sesuatu elemen
dengan yang lain. Jalan mudah mungkin tiada, kecuali terus menulis.
Kematangan karya akan terserlah andai kita istiqamah dan sentiasa
mencari jalan memperbaiki diri.
JOM CERPENNNNNN!
-Rebecca Ilham, Mines Park
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
2:32 AM
0
comments
Labels: panduan
Wednesday, July 2, 2008
Komentar Para Hakim: Sayembara Cerpen Grup Karyawan Luar Negara
Senarai panel Hakim:
Hafez Iftiqar
Adibah Abdullah
Rebecca Ilham
Komentar Umum Para Hakim Terhadap Cerpen-cerpen Peserta
1. Tema dan persoalan. Masih ada cerpen-cerpen yang dihakimi mempunya tema dan persoalan yang banyak. Dalam penulisan cerpen, tema harus tunggal. Wibawa penulis dinilai berdasarkan kemampuan mendokong tema tadi malalui pengenalan, konflik, klimaks dan peleraian. Lebih mengecewakan, ada cerpen yang langsung tidak mempunyai konflik, klimaks dan peleraian. Membaca cerpen sebegini seolah-olah berpusing-pusing dalam bulatan dan membosankan. Pembaca bukan ‘hamster’ yang tak jemu berlari dalam bulatan.
2. Pemilihan tema dan persoalan. Masih banyak peserta cenderung kepada karya pop islami. GKLN secara khusus komited untuk melahirkan penulis yang menulis isu-isu ‘matang’ yang boleh menggambarkan anda seorang penulis yang kritis. Cabaran utama ialah untuk mengangkat isu-isu matang dan berat ini dengan kreatif. Sebagai contoh, anda boleh menulis tentang cinta, tetapi kalau cinta itu cinta lelaki dan wanita – ya, tema anda klise, biasa-biasa sahaja malahan anda cenderung menulis karya picisan dengan memilih tema ini. Ada banyak tema cinta yang masih tidak diangkat. Karya-karya yang menjadi sebutan di peringkat antarabangsa kebiasaannya meneroka tema-tema ini.
3. Tema juga harus umum. Memilih tema yang disukai kelompok anda sahaja tidak akan menjadikan anda penulis yang baik. Cerpen sebegini awal-awal lagi akan ditolak pembaca yang bukan dari kelompok anda. Sekilas baca sudah tahu anda dari kelompok atau kumpulan mana. Membaca tulisan anda, seolah-olah membaca naskah brainwash yang hampir pasti tidak akan difahami oleh orang diluar kelompok anda. Anda mungkin dipuji kelompok anda, tetapi tidak orang dari luar.
4. Watak dan perwatakan. Cerpen tidak perlu kepada watak yang banyak. Tiga watak pun sudah dikira banyak untuk sebuah cerpen. Masih ada cerpen yang bermewah menggunakan watak yang entah siapa-siapa dan kalau dihilangkan sedikit pun tidak mengganggu penceritaan. Malah kewujudan watak-watak kodi ini menyebabkan cerpen jadi tambah berserabut dan pembaca hilang tumpuan. Lebih mengganggu, watak itu tiba-tiba wujud dan hilang seperti chips more – sekejap ada, sekejap tak ada. Perwatakan harus sesuai dengan watak. Sedikit hairan – ustazah (layan) bercinta dengan bapa ayam sebagai contoh atau AJK keselamatan untuk aktiviti air yang tak tahu berenang terjun menyelamatkan peserta yang lemas kemudian dia yang lemas dan perlu diselamatkan orang.
5. ‘Telling but not showing’, penulis yang baik harus mampu menuntun imaginasi pembaca bukan memaksakan pembaca memahami apa yang ingin ditulisnya. Kelemahan ini ketara sewaktu penulis memilih dan menghuraikan plot cerita. Memudahkan fahaman, ambil contoh – ‘air itu jernih sehingga tampak ikan-ikan sebesar peha’ sama sahaja dengan ‘tampak ikan-ikan sebesar peha dari permukaan air itu. Kedua-duanya bermaksud air itu jernih!
6. Konflik, klimaks dan peleraian. Penulis baru harus cuba mencari identiti tersendiri buat karyanya. Anda mempunyai kelebihan kerana anda mempunyai pengalaman di luar Negara. Banyak cerpen-cerpen yang diadili; konflik, klimaks dan peleraiannya boleh dijangkakan – klise! Ciptakan kejutan-kejutan untuk menjadikan cerpen anda unik!
7. Pemilihan diksi. Anda tidak perlu memilih kosa kata yang aneh-aneh sehingga setiap baris pasti mengandungi perkataan yang tidak difahami orang kebanyakan dan harus dirujuk kamus. Membaca karya sebegitu merimaskan dan mengganggu penghayatan. Anda harus bijak menggunakan teknik-teknik penceritaan dengan menggunakan ayat-ayat yang difahami umum. Masih ada karya yang mencampur-adukkan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Penggunaan bahasa asing mungkin diperlukan dalam dialog, tetapi apa perlunya menggunakan bahasa asing tidak semena-mena ketika anda tidak terdesak menggunakan bahasa asing? Jika anda perlu menggunakan bahasa asing, sila patuhi tatabahasa – sekurang-kurangnya condongkan huruf perkataan itu (italic).
8. Pemilihan tajuk. Tajuk yang baik berdiri sebagai kesimpulan cerpen dan mampu menarik minat pembaca. Begitu juga baris pertama, perenggan pertama anda. Anda gagal di sini, serentak minat pembaca menghabiskan cerpen anda hilang.
9. Penggunaan bahan bantu. Masih ramai yang cenderung meletakkan ayat-ayat Quran dan kisah-kisah sejarah secara tempelan. Seharusnya, penggunaan bahan-bahan sokongan ini mengalir sama dengan penceritaan anda, bukan ditempel di sana sini. Ini membezakan penulis baik dan tidak; keupayaan mengadunkan fakta, ayat Quran, hadis dan sebagainya dengan cerita, bukan sekadar menempel bahan-bahan ini.
10. Cerpen ialah cerita pendek. Oleh itu anda tidak perlu memasukkan kisah-kisah sampingan yang menyebabkan cerpen anda panjang berjela-jela. Fokus kepada tema anda dan tidak perlu memperkenalkan tema dan persoalan baru di dalam usaha menghabiskan cerpen anda.
11. Secara keseluruhan, cerpen yang dihakimi bertebar dalam spektrum yang luas. Di satu hujung, tulisan-tulisan yang sangat baik manakala di satu hujung tulisan yang sangat lemah. Harus membiasakan diri dengan tulisan-tulisan penulis mapan tempatan dan antarabangsa. Cari identiti penulisan sendiri, keluar dari klise dan semoga terus menulis. Harap beroleh manfaat dari ulasan ini.
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
2:00 AM
0
comments
Wednesday, June 4, 2008
Mengatasi Lewah dalam Penulisan Puisi
Oleh: Fahd Razy
1) Kurangkan penggunaan kata ganti diri
Satu tabiat penulis baru yang menyebabkan puisi menjadi lewah adalah penggunaan kata ganti diri yang berlebihan, terutamanya dalam satu rangkap. Kebanyakan kata ganti diri seperti 'aku', 'kau', 'mereka', 'dia' dan sebagainya dimasukkan berulang-ulang, apatah lagi apabila merujuk kepada sasaran yang sama. Alternatif, cukuplah penulis sekadar memasukkannya sekali dan menggugurkan kata ganti diri yang lain.
Contoh:
Telah kautunjukkan padaku
warna hatimu yang kelabu
Baris ini lebih kemas ditulis begini:
Telah kautunjukkan padaku
warna hati yang kelabu
ATAU:
Telah kautunjukkan
warna hati yang kelabu
2) Kurangkan penggunaan kata ganda
Dalam puisi, sebahagian, bahkan sebahagian besar kata ganda yang digunakan gagal membawa perubahan besar pada maksud yang cuba disampaikan. Bahkan apabila terlalu banyak, terutamanya dalam satu puisi atau rangkap maka akan kelihatan janggal. Sebaiknya, cukuplah dengan tidak menggandakannya atau menggantikan dengan perkataan yang boleh membawa maksud jamak (contoh: 'titis-titis hujan' boleh digantikan dengan 'titisan hujan' yang turut membawa maksud jamak)
Contoh:
Ombak-ombak yang berkejaran
menyapa pasir-pasir yang berkilau
Lebih kemas ditulis begini:
Ombak-ombak yang berkejaran
menyapa pasir yang berkilau
atau begini:
Ombak yang berkejaran
menyapa pasir yang berkilau.
3) Elakkan menulis secara satu perkataan bagi baris pertama setiap rangkap.
Satu kebiasaan yang dapat diperhati dalam sajak-sajak penulis baru, mereka cenderung memudahkan penulisan dengan menulis satu perkataan pada baris pertama dalam rangkap. Fungsinya, mungkin seperti kata kunci.
Contoh:
Cinta
seringkali merangkak dalam mimpi
merasuk kewarasan diri
Cinta
Hatiku tak pernah layu
biar dibakar musim
dan kemarau yang terik
Cinta
akan kutetap setia
menyirami
biar usia dimamah jelaga
Dalam contoh ini perkataan cinta diulang dalam setiap baris pertama rangkap. Pelbagai alternatif boleh ditulis untuk mengelakkan hal ini terjadi.
Misalnya, menggabung baris pertama dan kedua (sama ada dengan tanda koma / dash ataupun tidak):
Cinta, akan kutetap setia
menyirami
biar usia dimamah jelaga
ATAU
Cinta- akan kutetap setia
menyirami
biar usia dimamah jelaga
Alternatif lain, perkataan 'Cinta' yang berulang dan lewah itu boleh dibuang terus, dan dikekalkan pada salah satu rangkap. Contohnya:
Cinta seringkali merangkak dalam mimpi
merasuk kewarasan diri
Hatiku tak pernah layu
biar dibakar musim
dan kemarau yang terik
Cinta- akan kutetap setia
menyirami
biar usia dimamah jelaga
Sekarang boleh bandingkan contoh yang asal dan selepas penyuntingan. Nampak perbezaannya?
Harap tips-tips ini membantu anda menyunting sendiri karya.
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
6:59 AM
0
comments
Labels: panduan
Sunday, May 11, 2008
Sembang Sastera: interteks dan 'spin-off'?
Tanya Adibah (http://ummuhurayrah.blogspot.com):
Assalamualaikum.
Mahu bertanya kepada yang pakar.
Dalam alam sastera, halalkah melakukan spin-off terhadap mana-mana karya yang sudah terbit? Baik filem, cerpen, novel, mahupun puisi.
Contohnya dalam cerpen yang sedang saya tulis sekarang, salah seorang pemerannya adalah Anne Frank yang popular sebagai mangsa Holocaust itu (walaupun kesahihannya masih belum pasti). Halalkah, atau saya nanti akan ditunjal-tunjal dengan tuduhan plagiat? Contoh lain, bagaimana kalau saya mengarang cerpen tentang advencer seterusnya Masdo, Amore, dan Minami selepas mereka cabut lari mengenderai tikar pandan terbang kerana dikejar dayang istana pada penghujung filem Laksamana Do Re Mi?
Nisah Haron menjawab (http://annyss.blogspot.com):
Salam buat adinda-adinda GKLN,
Mengenai persoalan yang dibangkitkan Adibah, istilah 'spin-off' ataupun penggunaan 'spin-off' hanya boleh dilakukan oleh pengarangnya sendiri. Apabila pengarang lain cuba menulis sesuatu berdasarkan suatu teks yang sedia wujud, ia dinamakan intekteks (seperti penerangan Muhammad Syukri). Mesti ada hipoteks (teks asal) yang diketahui umum akan kewujudannya. Kemudian kita sebagai pengarang pula mengubah, mengolah ataupun memanipulasi isu, watak, latar ataupun apa-apa yang berkaitan dengan teks asal di dalam teks semasa.
Perkara ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana manusia itu biasa 'meniru' apa sahaja yang ada di sekeliling kita.
Interteks bukanlah plagiat. Plagiat ertinya mengambil bulat-bulat ekspresi teks asal dan kemudian mengakui sebagai sebahagian karya kita sendiri. Plagiat menyalahi undang-undang hak cipta (tak kiralah mana-mana negara). Interteks mengembangkan dan menghidupkan lagi teks asal malah kita pula yang akan memperkuatkannya.
Benar, Faisal (Tehrani) sendiri biasa melakukan interteks ini seperti yang selalui diakuinya - Advencer Si Peniup Ney (sebahagiannya daripada kes Nabi Yusuf-Zulaikha) .
Secara peribadi, saya juga banyak menulis cerpen bersifat begini.
* Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus (mengambil daripada teks lama "Panah Patah Sangkuriang" dan "Oedipus Rex" karya Sophocles
* Sepaun Daging Hutang (dalam Antologi 9!) - (mengambil teks Shakespeare - The Merchant of Venice)
* Persidangan Agung Wanita Klasik (mewujudkan kembali watak-watak wanita klasik yang pernah kita temui dalam pembacaan seperti Dang Anum, Mahsuri, Tun Teja, Puteri Gunung Ledang, Siti Zubaidah, Tun Kudu, dan ramai lagi)
Selain itu, saya juga gemar melakukan 'spin-off' dengan karya saya sendiri seperti Mencari Locus Standi (novel remaja HSKU) kini telah saya kembangkan salah satu watak sampingannya (Ibu Ainur Mustika) sebagai watak utama dalam novel bersiri Lentera Mustika (disiarkan secara bersiri dalam majalah ANIQAH, terbitan MMP Communications - juga penerbit majalah Millenia Muslim). Kisah drama "Istimewa Dari Cenma Detara" yang disebut dalam novel Mencari Locus Standi pula merupakan cerpen saya yang benar-benar wujud dengan judul yang sama.
Kemudian cerpen tersebut, memang pernah saya pindahkan ke genre drama pentas dengan judul yang sama. Kini cerpen-yang- menjadi-drama- itu sudah berpindah genre sekali lagi dan menjadi novel yang saya judulkan sebagai Puisi Untuk Edsyzuar.
Jadi, sebagai pengarang, kita bebas untuk mengolah semula karya asal kita supaya dapat dikembangkan dalam pelbagai cara; sama ada membuat sekuel ataupun spin-off (tidak semestinya sekuel). Kalau karya itu milik orang lain, namanya interteks. Untuk menulis interteks, lebih baik menggunakan karya-karya lama yang sudah dianggap 'klasik'. Menulis menggunakan bahan/teks milik pengarang sedia ada (mungkin, ini pendapat saya sahaja) mengganggu usaha pengarang asal untuk melakukan sendiri spin-offnya.
Sekian dulu. Selamat berkarya.
ikhlas,
Nisah Hj Haron
www.annyss.blogspot.com
www.ujanailmu.com.my
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
9:38 AM
0
comments
Labels: panduan
Wednesday, April 23, 2008
Pedoman Sastera: Imej dan Puisi
(Petikan KLIK DBP)
Pedoman Sastera: Imej dan Puisi
Imej mengikut pengertian psikologi ialah hasil tanggapan akal daripada pengalaman pancaindera. Imej juga ialah gambaran mental atau asosiasi idea yang timbul dalam karya sastera terutamanya dalam puisi. Sebagai manusia biasa apa yang kita lihat akanterakam di dalam ingatan.
Misalnya titis-titis hujan yang turun di atas sebatang jalan yang membentuk lopaklopak air ialah suatu imej biasa bagi kita sewaktu musim hujan. Bagi penyair pula apa yang dilihat itu boleh menghasilkan suatu idea yang apabila diturunkan ke dalam bentuk kata-kata akan diistilahkan sebagai imej.
Dalam puisi, imej ini dimaksudkan sebagai unsur-unsur kata yang melahirkan kesan pada pancaindera pembacanya. Harus diketahui dalam puisi imej tidak semestinya terdiri daripada satu kata, ia boleh dua kata atau lebih dan boleh juga boleh terdiri daripada ungkapan yang abstrak.
Untuk menjelaskan penggunaan imej dalam puisi, hayati sebuah puisi karya penyairT. AliasTaib yang dipetik daripada kumpulan puisi beliau Seberkas Kunci.
Kemarau
Matahari meneteskan serbuknya
ke lidah sawah
awan bergulung resah
di dalam jantung
angin merekah
langit menguap
di dalam mulut kerbau
tersangkut guruh
sepi dan kering mengasap
di antara daun-daun coklat
hujan tak jadi
sebuah padang menggeliat
di kalbu kelabu
seorang petani
matahari meneteskan serbuknya
ke kerongkong kampung.
Secara keseluruhannya puisi ini mengandungi imej yang jelas, pelbagai dan berkaitan dengan persoalan yang ingin disampaikan untuk memberi kesan
yang mendalam kepada pembacanya. Dalam rangkap pertama, kita temui perkataan matahari.
Apakah yang dapat kita rasai bila menggambarkan imej matahari? Tentu sekali terasakan kesan “panas” daripada indera lihat dan pada indera sentuh. Dalam rangkap seterusnya kita temui imej awan, langit, guruh, daun-daun, hujan, padang, petani, dan akhirnya penyair mengulangi imej matahari.
Cuba kita rasakan dengan setiap indera kita pada setiap imej yang ditampilkan oleh penyair dalam puisi tersebut. Setelah selesai menghayati puisi ini dapatkah kita merasakan kesan kemarau yang menjadi judul puisi ini? Jika kita dapat merasakan bahang kemarau tersebut, bolehlah dianggap penyairnya telah berjaya menyampaikan gambaran kesan kemarau kepada pembaca.
Bagi pembaca yang lebih kaya daya penghayatan dan renungannya pula pasti dapat merasai dan menyelami perasaan petani yang menunggu hujan turun. Begitulah, dengan pemilihan imej yang tepat, sesebuah puisi itu bukan sahaja indah untuk dibaca tetapi dapat berkongsi perasaan dengan pembaca.
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
5:15 PM
0
comments
Labels: panduan
Friday, April 18, 2008
Masalah Sosial vs Sikap Sosial
Rebecca Ilham
www.rebeccailham. blogspot. com
Summer Malaysia I: Masalah Sosial vs Sikap Sosial
Acapkali kita bertemu karya-karya yang pada penilaian kita bersifat
biasa-biasa saja, dan digarap pula menggunakan pendekatan lingkungan
dekat, tetapi meraih pengiktirafan hadiah sastera.
Meneliti karya-karya sebegitu, saya tertanya-tanya. Mengapa? Kemudian
saya bertemu, atau diperkenalkan sebetulnya, dengan istilah masalah
sosial dan sikap sosial.
Masalah sosial adalah pernyataan, atau kritikan terhadap kepincangan
sesebuah masyarakat. Masalah sosial akan diketengahkan oleh pengarang
menggunakan medium kreatif agar mudah diterima oleh pembaca.
Masalah sosial, kata pengarang mapan yang bertanggungjawab
memperkenalkan saya dengan terminologi- terminologi sastera,
"siapa-siapa pun boleh buat." Asal saja pengarang itu mempunyai deria
yang tinggi, tentu saja dia mampu menterjemahkan pemerhatiannya ke
atas kertas.
"Tapi sikap sosial, hah, itulah faktor yang membezakan seorang penulis
biasa-biasa dengan penulis yang baik," kata pengarang mapan itu lagi.
Istilah sikap sosial pertama kali diperkenalkan oleh Malek Ben Nabi.
Ia merujuk kepada tanggungjawab untuk menawarkan resolusi terhadap
masalah sosial.
Sebuah cerpen yang sekali pandang "biasa-biasa sahaja" tetapi saya
pasti dimenangkan panel sebuah pertandingan sastera kerana mempunyai
sikap sosial adalah Dongeng Anak Mat Jenin oleh Siti Hawa Mohd Hassan
. Cerpen ini mengangkat konflik sepasang warga emas yang diabaikan
oleh anak-anak mereka kerana kesibukan bekerjaya. Cliché bukan?
Kebosanan menunggu bas bertolak dari Platform 17, Hentian Puduraya,
saya hampir menguap tetapi menguatkan diri agar terus membaca.
Ternyata itu keputusan yang tepat. Pengarangnya menyelitkan sikap
sosial sebagai penyelesaian. Pasangan warga emas berkenaan tidak
terus-terusan berkeluh-kesah, sebaliknya mengambil inisiatif untuk
menjual rumah dan tanah mereka dan menggunakannya sebagai perbelanjaan
mengerjakan haji tanpa bantuan anak-anak. Sepatah ayat yang dilafazkan
oleh watak utamanya yang saya cukup suka, "Ini harta kita. Suka
hatilah bagaimana kita hendak menghabiskannya. "
Sebagai konklusi, tidak perlu menulis tentang isu berat-berat jika
tidak mampu. Sebaliknya, selongkarlah apa-apa yang kita tahu (masalah
sosial) dan perlu bijak menggarap inisiatif bagi mengatasi kepincangan
sosial yang dinyatakan sebelumnya (sikap sosial). Nescaya karya itu
akan jadi luar biasa!
P.S. Entri dan kesedaran ini tak akan hadir tanpa naskhah Di Mana
Tangkai Nyawamu yang menghimpunkan cerpen dan puisi pemenang HSKU
1998. Kalungan penghargaan untuk Kak Ummu Hani yang membenarkan saya
memilih dari rak bukunya, lantas menghadiahkan.
Summer Malaysia II: Mazhab Khayal vs Mazhab Makna
Summer Malaysia III: Apa Itu Sastera Islami?
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
12:48 PM
0
comments
Wednesday, March 26, 2008
Mengapa Aku Membaca Karya Ini?
Oleh: Muhaimin Sulam
http://muhaiminsulam.blogspot.com
Assalamualaikum
Biasanya aku malas nak baca cerpen. Baca sekerat kemudian dah tak larat. Tapi aku rasa pertama kali ini (gkln.yahoogroups) aku baca habis! Persoalannya itu jarang disentuh walaupun kelihatan agak ingin mengajar pembaca. Memandangkan pembaca itu kurang mendalam tentang persoalan itu dan rasa ingin tahu menjadikan pembaca secara tak sedar telah terperangkap!
Mengapa orang nak baca karya kita? Pertama, kerana penulis itu sendiri. Aku akan baca kalau aku tau siapa yang tulis. Lebih-lebih lagi kalau penulis itu dikategorikan penulis terkenal atau hebat.
Kedua, ada orang cadangkan agar aku baca karya itu. Jika aku dapati, cadangan itu menarik, aku cari dan baca. Dulu sewaktu aku berada di Tingkatan Lima, cikgu aku cadangkan baca novel Indonesia - sebagai anak murid yang baik - aku baca semua novel klasik Indonesia yang dia ada seperti Salah Asuhan (Abdul Muis), Atheis (Achadiat K. Miharja), Keluarga Gerilya (Pram), Siti Nurbaya (Marah Rusli) dll. Sesetengah novel itu, akupun tak faham apa yang nak diceritakan. Baca sebab cikgu kata bagus. Jadi aku baca. Hasilnya, aku dah faham mengapa cikgu aku suruh baca novel-novel itu.
Ketiga bagi penulis muda dan biasa, hanya yang kerap berkarya saja yang aku baca. Aku tertarik kerana kesungguhan mereka berkarya - walaupun mungkin karyanya hanya sekadar biasa-biasa sahaja. Aku selalu pergi ke kedai buku Sarjana Media di Puduraya yang kebetulan milik kawan aku - bila aku tanya apa novel yang laris minggu ni? Dia akan sebut beberapa nama yang sama. Jadi, aku belilah novel itu (kadangkala dapat free! - sebab itulah aku selalu datang) - sebab aku nak tau apa lah hebat penulis itu sampai seminggu boleh 20-30 buah novelnya terjual di kedai itu sahaja.Cemburu juga. Baca karya dah banyak tapi masih belum berkarya hebat.
Keempat, membaca kerana karya itu mencetuskan kontroversi hebat. Contohnya karya Shahnon Ahmad - Shit. Tak pernah berlaku dalam sejarah penulisan novel tanahair, novel yang begitu laris di pasaran hingga dicetak rompak. Kedua, novel Saman tulisan Ayu Utami - novel yang mempamerkan kebebasan gila.Novel 'Larung' karya diapun aku baca sewaktu di Perpustakaan ATMA, UKM. Aku baca novel Salina karya A. Samad Said kerana novel itu adalah novel tertebal sewaktu diterbitkan. Masa itu, aku tak berapa kenal dengan A. Samad Said. Jadi kalau nak berkarya - tulislah yang bisa mencetuskan kontroversi!
Itu jalan singkat untuk terkenal sementara.
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
4:14 PM
0
comments