Wednesday, April 23, 2008

Pedoman Sastera: Imej dan Puisi

(Petikan KLIK DBP)



Pedoman Sastera: Imej dan Puisi



Imej mengikut pengertian psikologi ialah hasil tanggapan akal daripada pengalaman pancaindera. Imej juga ialah gambaran mental atau asosiasi idea yang timbul dalam karya sastera terutamanya dalam puisi. Sebagai manusia biasa apa yang kita lihat akanterakam di dalam ingatan.

Misalnya titis-titis hujan yang turun di atas sebatang jalan yang membentuk lopaklopak air ialah suatu imej biasa bagi kita sewaktu musim hujan. Bagi penyair pula apa yang dilihat itu boleh menghasilkan suatu idea yang apabila diturunkan ke dalam bentuk kata-kata akan diistilahkan sebagai imej.

Dalam puisi, imej ini dimaksudkan sebagai unsur-unsur kata yang melahirkan kesan pada pancaindera pembacanya. Harus diketahui dalam puisi imej tidak semestinya terdiri daripada satu kata, ia boleh dua kata atau lebih dan boleh juga boleh terdiri daripada ungkapan yang abstrak.

Untuk menjelaskan penggunaan imej dalam puisi, hayati sebuah puisi karya penyairT. AliasTaib yang dipetik daripada kumpulan puisi beliau Seberkas Kunci.


Kemarau
Matahari meneteskan serbuknya
ke lidah sawah
awan bergulung resah
di dalam jantung
angin merekah
langit menguap
di dalam mulut kerbau
tersangkut guruh
sepi dan kering mengasap
di antara daun-daun coklat
hujan tak jadi
sebuah padang menggeliat
di kalbu kelabu
seorang petani
matahari meneteskan serbuknya
ke kerongkong kampung.



Secara keseluruhannya puisi ini mengandungi imej yang jelas, pelbagai dan berkaitan dengan persoalan yang ingin disampaikan untuk memberi kesan yang mendalam kepada pembacanya. Dalam rangkap pertama, kita temui perkataan matahari.

Apakah yang dapat kita rasai bila menggambarkan imej matahari? Tentu sekali terasakan kesan “panas” daripada indera lihat dan pada indera sentuh. Dalam rangkap seterusnya kita temui imej awan, langit, guruh, daun-daun, hujan, padang, petani, dan akhirnya penyair mengulangi imej matahari.

Cuba kita rasakan dengan setiap indera kita pada setiap imej yang ditampilkan oleh penyair dalam puisi tersebut. Setelah selesai menghayati puisi ini dapatkah kita merasakan kesan kemarau yang menjadi judul puisi ini? Jika kita dapat merasakan bahang kemarau tersebut, bolehlah dianggap penyairnya telah berjaya menyampaikan gambaran kesan kemarau kepada pembaca.

Bagi pembaca yang lebih kaya daya penghayatan dan renungannya pula pasti dapat merasai dan menyelami perasaan petani yang menunggu hujan turun. Begitulah, dengan pemilihan imej yang tepat, sesebuah puisi itu bukan sahaja indah untuk dibaca tetapi dapat berkongsi perasaan dengan pembaca.

No comments: