Adibah Abdullah dilahirkan di Kuala Krai, Kelantan, pada 30 Ogos 1986. Mendapat
pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampong Tengah, Sekolah Kebangsaan Kuala
Nal, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra (1) di Kuala Krai
sebelum meneruskan persekolahan di Maktab Rendah Sains MARA Pengkalan Chepa,
Kota Bharu, Kelantan. Selepas dua tahun mengikuti kursus diploma International
Baccalaureate di Kolej MARA Banting, Adibah sekarang merupakan pelajar perubatan
di The University of Manchester, United Kingdom.
Telah berjinak-jinak dalam
bidang sastera sejak zaman kanak-kanak lagi dengan menulis untuk penerbitan
peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan kolej. Karya sulungnya yang
tersiar dalam penerbitan arus perdana adalah cerpen dalam ruangan Tunas Cipta
Dewan Sastera terbitan Mei 2007. Cerpennya turut tersiar di majalah Dewan Siswa (Prognosis) dan Fokus SPM (Siti Si Bintang Kecil). Karyanya juga termuat di dalam antologi cerpen Jalan Jauh ke Ramallah dan Mengemis di Kota Larangan selain antologi puisi Wilayah Cinta dan Bahasa Bumi di samping memenangi tempat kedua dalam Sayembara Puisi Berunsur Islam ke II (2006) GKLN-PPIMI.
Pernah bergiat cergas dalam bidang pidato serta debat Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sewaktu zaman persekolahannya hingga ke peringkat kebangsaan. Di samping penulisan dan pengucapan umum, Adibah juga meminati seni pentas serta pernah menulis dan mengarahkan skrip teater “Harum Cinta Aisyah” di Manchester. Weblog adalah wadah utama beliau untuk ekspresi diri dan mengasah kreativiti. Prinsipnya dalam berkarya adalah "Penulis mesti berpolitik!" yang membawa maksud penulis perlu mempunyai ideologi bernas yang ingin disampaikan melalui tulisannya untuk mencorakkan pemikiran umat. Kini merupakan salah seorang moderator Grup Karyawan Luar Negara United Kingdom. Weblognya boleh dilayari di http://ummuhurayrah.blogspot.com
Penyair
Bukan seorang penyair
kalau dakwatnya pekat
tanpa campuran air mata.
Kalau puisinya siuman
tanpa bauran unsur-unsur gila.
Kalau nukilannya waras
tanpa kemabukan cinta.
Aku sang penyair
darah-darah dari luka
aku tadah jadikan tinta.
Kami lingkungan penyair
sadis-masokis yang menghambakan diri
kepada duka dan cacamerba
supaya kalian pembaca
dapat ketawa
tanpa kehilangan jiwa.
-adibah abdullah-
7.06 p.m.
Friday, April 3, 2009
Tunas Sastera: Adibah Abdullah (United Kingdom)
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
2:34 PM
0
comments
Labels: profil
Saturday, March 14, 2009
Tunas Sastera: Hilal Asyraf (Jordan)
Profil
Nama: Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak
Nama pena: Hilal Asyraf, Laksamana Angkasa
Asal: Skudai, Johor
Tarikh lahir: 16 Januari 1989
Pendidikan: University of Yarmouk, Jordan
Genre: Novel, cerpen, puisi, artikel, motivasi.
Weblog: http://langitilahi.com
Petikan tulisan saudara Zakaria Sungib, editor kanan Galeri Ilmu Sdn Bhd:
Hilal Asyraf. Satu nama baru dalam dunia penulisan tanah air. Namun, nama ini bukan asing di kalangan komuniti alam siber. Hilal Asyraf (foto) adalah pemilik laman web LangitIlahi.Com, wadah baru yang menggantikan blog langitillahi.blogspot.com yang sudah menerima lebih 60,000 hit. Sekarang beliau menuntut di Tahun Pertama dalam bidang Usuluddin di Universiti Yarmouk, Jodan.
Saya kenal Hilal melalui alam siber sejak Oktober 2008. Kebetulan kami sama-sama orang Johor. Kebelakangan ini kami kerap berbalas e-mel kerana Galeri Ilmu Sdn. Bhd. bakal menerbitkan buku dan novel beliau – buku motivasi Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita dan novel VT.
Novel VT adalah novel paling tebal yang saya terima setakat ini untuk kami terbitkan. Melihat pada kekuatan garapan dan nilai Islami pada novel ini, saya membawa usul supaya novel ini diangkat menjadi ‘lead product’ GISB untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009. GISB menempah empat gerai untuk pesta buku tersebut.
Saya memberi penghormatan kepada bekas pensyarah saya, Dr. Amida Abdulhamid untuk menyemak manuskrip novel ini. Dr. Amida yang saya panggil Kak Anis, memberi ulasan awal selepas menyemak separuh bahagian VT dengan berkata, “Subjek luar biasa dan sentuhan Islami yang berkesan.”
Kak Anis juga berbisik kepada saya bahawa novel ini boleh bersaing dengan Ayat-ayat Cinta! Katanya, sentuhan Islami novel ini “tidak hanya di permukaan tetapi mendalam”. Ini ditambah dengan gaya penceritaan Hilal yang bijak. Walaupun tanpa watak perempuan, seperti kebanyakan novel remaja lain, Kak Anis seronok membacanya “sampai tak tidur malam”.
Baca selanjutnya temubual sdr Zakaria Sungib dengan Hilal Asyraf
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
9:25 AM
0
comments
Labels: profil
Thursday, December 11, 2008
Tunas Sastera: SYAFIQ ZULAKIFLI (Mesir)
http://typeace.blogspot.com
PROFIL
Nama : Syafiq bin Zulakifli
Nama Pena : Syafiq Zulakifli
Asal : Johor Bahru, Johor Darul Takzim
Tarikh Lahir : 08 Ogos 1985
Pendidikan : Sek. Keb. Bandar UDA 2, Johor Bahru
Sek. Agama Bandar Baru UDA, Johor Bahru
Sek. Men. Agama Kerajaan Johor, Kluang
Maahad Johor, Johor Bahru
Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir
Jurusan : Fakulti Syariah Undang-Undang, Jabatan Syariah Islamiah
Genre Penulisan: Cerpen dan Puisi
Karya Tersiar : 1. Kubur Kita Lain-Lain (Berita Minggu, Oktober 2007)
2. Rezeki Laut Mediterranian (Majalah Fokus SPM, November 2007)
3. Nur Subuh I (Majalah URTV, 1-15 Mac 2008)
4. Seorang Anak Murid II (Majalah Tunas Cipta, April 2008)
5. Sebuah Pengharapan II (Berita Minggu, 20 April 2008)
6. Sejarah Nabi Musa (Berita Minggu, 11 Mei 2008)
7. Peringatan Kecil Dari Tuhan (Mingguan Malaysia, 11 Mei 2008)
8. Cerpen – Hadiah Untuk Ustaz (Berita Minggu, 18 Mei 2008)
9. Senyuman Nakhoda Yang Ditinggalkan (Mingguan Malaysia, Jun 2008)
10. Tafakur di Makam Imam Syafie (Mingguan Malaysia, 13 Julai 2008)
Anugerah : Hadiah Saguhati, Sayembara Menulis Cerpen Jawi, Sempena 50 Tahun
Kemerdekaan, Anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (2008).
Penerbitan : Antologi “Bahasa Bumi” - GKLN 2008
Antologi “Dalam Sepuluh Yang Kugelar Cinta” – ADABUNA 2008
KARYA
PERINGATAN KECIL DARI TUHAN
(untuk mangsa-mangsa Taufan Nargis, Myanmar)
Derita malang ini
merakam dunia yang degil
saat tenat menanggung beban
insan, haiwan dan ternakan
yang sombong pada Tuhan.
Meskipun telah kau soroti peristiwa lama
saat Aceh lakar cerita derita
tsunami mencurahkan seuncang kehidupan
dan Bangkahulu mentalkinkan segugus marah bumi
mengumpan dalam diam.
Sudah puas aku bekalkan;
khasiat satu peringatan
keramat satu perdamaian
zulmat satu penindasan
tanpa dendam persengketaan
kepadamu.
Nargis yang membakar ini
adalah ladang merah buat kami
yang mengerti segeluk panah keparahan diri.
Tuhan Maha Mengerti
setiap hakikat ketulusan hati
manusiawi dan insani
agar bersatu di bawah cahaya keimanan
aman dan damai.
Syafiq Zulakifli
Mustafa Nuhas, Kaherah, Mesir.
© Mingguan Malaysia, 11 Mei 2008
SEBUAH PENGHARAPAN II
Pada sebuah kedamaian kecil
ada tinta menari lesu
dan jari-jari mula bersabda
bantulah aku
bantulah aku.
Dan ketikanya
ratapan agung yang memuncak
dikelahi tabir-tabir cinta mengharap
dari pagi ke dinihari
dari subuh ke senja begini
tunggu Izrail menjemput nanti.
Tuhan,
ajarkan aku erti takwa, latihkan
diri berkhairatkan pahala
gersang meneroka bias-bias haloba
menuntut nafsu raja.
Dari kalbu yang dingin ini
Ampunkan aku Tuhan!
SYAFIQ ZULAKIFLI
Masakin Othman, Hayyu Sabie,
Kaherah, Mesir
© Berita Minggu, 20 April 2008
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
8:58 AM
0
comments
Labels: profil
Monday, November 3, 2008
Tunas Sastera: REBECCA ILHAM (United States)
Nama Penuh: Hazwani Rameli
Nama Pena: Rebecca Ilham
Tarikh Lahir: 17 Februari 1985
Asal: Kota Bharu, Kelantan
Tempat tinggal: Pulau Pinang
Pendidikan:
1) SMK Seri Balik Pulau
2) SM Sains Sultan Muhammad Jiwa
3) Kolej MARA Banting
4) Colorado School of Mines, Amerika Syarikat
Jurusan: Kejuruteraan Petroleum (tahun akhir)
Genre penulisan: Cerpen dan artikel
Karya-karya tersiar di pelbagai majalah termasuk Dewan Siswa, Dewan Kosmik, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Sastera.Net, dan antologi-antologi cerpen:
1) Jalan Jauh Ke Ramallah, 2007, antologi cerpen 'Jalan Jauh ke Ramallah'
2) Mencari Naurah, majalah Sastera.Net, Disember 2007
3) Senja-senja Brasilia, Mingguan Malaysia
4) Wira, 2008, Antologi cerpen 'Mengemis di Kota Larangan'
5) Mencari Tuhan di Celah Cambrian, Berita Minggu 25 November 2007
6) Langit Lazuardi, Berita Minggu.
7) Yang Aneh itu Lelaki, Dewan Kosmik September 2008
Penglibatan lain dalam penulisan: Ketua I, Grup Karyawan Luar Negara.
Petikan Karya
Langit Lazuardi
Urghh. Apa-apalah. Saya meninggalkan pejabat Residence Life bersama segugus kunci baru. Torgersen sepelaung cuma, saya boleh ambil jalan pintas ikut belakang kafeteria. Tetapi saya tak mahu bersegera.
Cuaca terlalu baik - lapan puluh satu darjah Fahrenheit. Mentari memancar terik. Langit biru lazuardi tanpa sebarang calitan gemawan. Konifer mula rimbun, saujana mata memandang. Bayu musim bunga, tidak terlalu hangat, tidak juga sejuk mencengkam, berpuput lembut. Setelah berbulan-bulan berbungkus tebal bahana ribut salji menggila, saya rasa sangat rugi jika hari seindah ini tidak dimanfaat sebaik-baiknya.
Lalu saya mengambil jalan jauh. Sengaja saya lewati deretan bangunan cobblestone di tengah-tengah zon akademik universiti. Davidson. Hahn. Robeson. Williams. Burrus. Setiba di persimpangan, kaki saya terhenti.
Kalungan bunga berdiameter tiga kaki lebih kurang digantung tinggi. Bunting gergasi bersulam huruf-huruf jingga-merun membentuk frasa Hokie Hokie Hy, Techs Techs VPI berkibar-kibar. Pintu agam bertutup rapat, berkunci kejap. Saya telan liur.
Norris.
Mencari Tuhan di Celah Cambrian
Argh, siapa sangka, si geologis muda yang mengintimi batu, sedimen dan strata, tiba-tiba obses dengan organisme?
"Bukan hanya organisme, tetapi hidupan secara keseluruhan. Kalau mahu spesifik, erm, manusia." Maizurah membetulkan. Garis-garis halus di dahi Vladimir semakin jelas dan rapat. Maizurah menyambut The Origin of Species dan fail tebal berisi nota-nota dari kelas Biologinya pada tahun pertama program pra-perubatan dengan girang.
"Kau jumpa fosil yang membenarkan unjuran Darwinian?" Retina Vladimir membulat. Biru lembut di tinta hijau zamrud. Maizurah menyahut dengan tawa yang lunak. Sepasang lesung pipit melekuk. Vladimir terpesona.
"Kau percaya, kita ini anak cucu beruk?"
Posted by
GKLN Publishing House (GPH)
at
2:11 PM
0
comments
Labels: profil