Adibah Abdullah dilahirkan di Kuala Krai, Kelantan, pada 30 Ogos 1986. Mendapat
pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampong Tengah, Sekolah Kebangsaan Kuala
Nal, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra (1) di Kuala Krai
sebelum meneruskan persekolahan di Maktab Rendah Sains MARA Pengkalan Chepa,
Kota Bharu, Kelantan. Selepas dua tahun mengikuti kursus diploma International
Baccalaureate di Kolej MARA Banting, Adibah sekarang merupakan pelajar perubatan
di The University of Manchester, United Kingdom.
Telah berjinak-jinak dalam
bidang sastera sejak zaman kanak-kanak lagi dengan menulis untuk penerbitan
peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan kolej. Karya sulungnya yang
tersiar dalam penerbitan arus perdana adalah cerpen dalam ruangan Tunas Cipta
Dewan Sastera terbitan Mei 2007. Cerpennya turut tersiar di majalah Dewan Siswa (Prognosis) dan Fokus SPM (Siti Si Bintang Kecil). Karyanya juga termuat di dalam antologi cerpen Jalan Jauh ke Ramallah dan Mengemis di Kota Larangan selain antologi puisi Wilayah Cinta dan Bahasa Bumi di samping memenangi tempat kedua dalam Sayembara Puisi Berunsur Islam ke II (2006) GKLN-PPIMI.
Pernah bergiat cergas dalam bidang pidato serta debat Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sewaktu zaman persekolahannya hingga ke peringkat kebangsaan. Di samping penulisan dan pengucapan umum, Adibah juga meminati seni pentas serta pernah menulis dan mengarahkan skrip teater “Harum Cinta Aisyah” di Manchester. Weblog adalah wadah utama beliau untuk ekspresi diri dan mengasah kreativiti. Prinsipnya dalam berkarya adalah "Penulis mesti berpolitik!" yang membawa maksud penulis perlu mempunyai ideologi bernas yang ingin disampaikan melalui tulisannya untuk mencorakkan pemikiran umat. Kini merupakan salah seorang moderator Grup Karyawan Luar Negara United Kingdom. Weblognya boleh dilayari di http://ummuhurayrah.blogspot.com
Penyair
Bukan seorang penyair
kalau dakwatnya pekat
tanpa campuran air mata.
Kalau puisinya siuman
tanpa bauran unsur-unsur gila.
Kalau nukilannya waras
tanpa kemabukan cinta.
Aku sang penyair
darah-darah dari luka
aku tadah jadikan tinta.
Kami lingkungan penyair
sadis-masokis yang menghambakan diri
kepada duka dan cacamerba
supaya kalian pembaca
dapat ketawa
tanpa kehilangan jiwa.
-adibah abdullah-
7.06 p.m.
Friday, April 3, 2009
Tunas Sastera: Adibah Abdullah (United Kingdom)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment