Monday, November 3, 2008

Tunas Sastera: REBECCA ILHAM (United States)




Nama Penuh: Hazwani Rameli

Nama Pena: Rebecca Ilham

Tarikh Lahir: 17 Februari 1985

Asal: Kota Bharu, Kelantan

Tempat tinggal: Pulau Pinang

Pendidikan:
1) SMK Seri Balik Pulau
2) SM Sains Sultan Muhammad Jiwa
3) Kolej MARA Banting
4) Colorado School of Mines, Amerika Syarikat

Jurusan: Kejuruteraan Petroleum (tahun akhir)

Genre penulisan: Cerpen dan artikel

Karya-karya tersiar di pelbagai majalah termasuk Dewan Siswa, Dewan Kosmik, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Sastera.Net, dan antologi-antologi cerpen:

1) Jalan Jauh Ke Ramallah, 2007, antologi cerpen 'Jalan Jauh ke Ramallah'
2) Mencari Naurah, majalah Sastera.Net, Disember 2007
3) Senja-senja Brasilia, Mingguan Malaysia
4) Wira, 2008, Antologi cerpen 'Mengemis di Kota Larangan'
5) Mencari Tuhan di Celah Cambrian, Berita Minggu 25 November 2007
6) Langit Lazuardi, Berita Minggu.
7) Yang Aneh itu Lelaki, Dewan Kosmik September 2008

Penglibatan lain dalam penulisan: Ketua I, Grup Karyawan Luar Negara.




Petikan Karya

Langit Lazuardi

Urghh. Apa-apalah. Saya meninggalkan pejabat Residence Life bersama segugus kunci baru. Torgersen sepelaung cuma, saya boleh ambil jalan pintas ikut belakang kafeteria. Tetapi saya tak mahu bersegera.

Cuaca terlalu baik - lapan puluh satu darjah Fahrenheit. Mentari memancar terik. Langit biru lazuardi tanpa sebarang calitan gemawan. Konifer mula rimbun, saujana mata memandang. Bayu musim bunga, tidak terlalu hangat, tidak juga sejuk mencengkam, berpuput lembut. Setelah berbulan-bulan berbungkus tebal bahana ribut salji menggila, saya rasa sangat rugi jika hari seindah ini tidak dimanfaat sebaik-baiknya. Lalu saya mengambil jalan jauh. Sengaja saya lewati deretan bangunan cobblestone di tengah-tengah zon akademik universiti. Davidson. Hahn. Robeson. Williams. Burrus. Setiba di persimpangan, kaki saya terhenti.

Kalungan bunga berdiameter tiga kaki lebih kurang digantung tinggi. Bunting gergasi bersulam huruf-huruf jingga-merun membentuk frasa Hokie Hokie Hy, Techs Techs VPI berkibar-kibar. Pintu agam bertutup rapat, berkunci kejap. Saya telan liur.
Norris.



Mencari Tuhan di Celah Cambrian
Argh, siapa sangka, si geologis muda yang mengintimi batu, sedimen dan strata, tiba-tiba obses dengan organisme?

"Bukan hanya organisme, tetapi hidupan secara keseluruhan. Kalau mahu spesifik, erm, manusia." Maizurah membetulkan. Garis-garis halus di dahi Vladimir semakin jelas dan rapat. Maizurah menyambut The Origin of Species dan fail tebal berisi nota-nota dari kelas Biologinya pada tahun pertama program pra-perubatan dengan girang.

"Kau jumpa fosil yang membenarkan unjuran Darwinian?" Retina Vladimir membulat. Biru lembut di tinta hijau zamrud. Maizurah menyahut dengan tawa yang lunak. Sepasang lesung pipit melekuk. Vladimir terpesona.

"Kau percaya, kita ini anak cucu beruk?"

No comments: