Wednesday, November 12, 2008

Pedoman Sastera: Imejan

Oleh Saifulizan Yahya (Petikan KLIK DBP, http://www1.bharian.com.my/Misc/DBP)
DALAM Pedoman yang lalu, telah dibincangkan tentang imej dan kita telah meneliti imej-imej yang terdapat dalam puisi Kemarau karya penyair T. Alias Taib. Dalam Pedoman kali ini pula, kita akan melihat pula imejan dalam puisi. Apakah itu imejan? Imejan ialah himpunan imej-imej yang digunakan dalam sesebuah puisi.

Dalam menghasilkan sesebuah puisi yang baik, kita harus sentiasa sedar dan peka terhadap penggunaan dan pemilihan imej-imej yang ingin kita gunakan dalam sesebuah puisi. Pemilihan imej-imej yang tidak sekata, seimbang dan sesuai dengan persoalan yang ingin diutarakan akan menyebabkan sesebuah puisi itu tidak dapat “dirasai” oleh pembaca. Dalam erti kata yang lain, pemilihan imej yang tidak betul menyebabkan sesebuah puisi itu tidak dapat dihayati oleh pembacanya.

Kali ini, Pedoman sekali lagi memilih sebuah puisi penyair T. AliasTaib untuk kita sama-sama melihat bagaimana beliau memilih imej-imej yang sepadan untuk memberi kesan kepada puisinya.

Ladang, 1

Tanamanku terdiri daripada
akal, pengalaman, dan penemuan,
yang membesar setiap hari
yang menjalar ke dalam diri.
Aku petani cerewet
yang sukar memilih benih,
dan penanam keliru
dengan bungkusan baja bermutu.
Aku berjalan di batas usia
melihat tanaman di kiri kanan
pagi sudah jauh di belakang
petang sedang menanti di hadapan.
Sambil membongkok kugembur
dan kusiram pohon hidupku,
agar tidak segera mati
agar kuat dipanggang matahari.
dalam diriku terbentang ladang
hijau dan rimbun menentang alam.


Puisi ini dipetik daripada kumpulan puisi Petang Condong mengandungi sejumlah imej yang terpilih. Sekarang mari kita teliti puisi tersebut secara rinci.

Melalui judul puisi ini, kita sebagai pembaca sudah dapat menggambarkan sebuah ladang yang sudah tentu sahaja luas. Membaca sahaja ayat pertama, iaitu “tanamanku”, kita tahu bahawa ladang yang dimaksudkan oleh penyair adalah sebuah ladang yang menghasilkan tumbuhan bukan ternakan.

Setelah membaca keseluruhan puisi ini, dapatkah kita menemui imejan berkaitan dengan ladang? Kita tentu akan menemui banyak imej yang boleh dikaitkan dengan sebuah ladang seperti “petani”, “benih”, “baja bermutu”, “batas”, “pohon” dan “hijau”. Semua imej konkrit ini berkait antara satu sama lain.

Bukan itu sahaja, jika diteliti lagi, kita temui imej bukan konkrit yang berkaitan dengan ladang seperti “membesar”, “menjalar”, “kugembur”, “kusiram”, “rimbun”.

Begitulah, untuk menghasilkan sesebuah puisi yang baik, kita harus peka dalam membuat pemilihan agar imejan yang terbentuk itu tersusun kerana penggunaan imej-imej yang berkait antara satu sama lain akan mengharmonikan sesebuah puisi itu.

(bersambung)

No comments: