Oleh Datuk A Aziz Deraman
(Petikan KLIK DBP, http://www1.bharian.com.my/Misc/DBP)
PENULIS tergerak hati untuk menulis tajuk ini setelah membaca satu berita BERNAMA yang memetik kata-kata Tun Abdul Rahman Yaakub pada 12 November 2008 dalam Wacana Ilmu Pembangunan Pendidikan di Sarawak, di Kuching. Menurut beliau, kedudukan Bahasa Malaysia (BM) akan terus terpinggir sekiranya subjek Sains dan Matematik terus diajar dalam Bahasa Inggeris (BI). PandanganTun ini tidak harus dipandang ringan. Pada 13 November pula, sehari selepasnya, keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dikeluarkan dan YB Menteri Pelajaran menegaskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak gagal. Kedua-duanya memerlukan renungan kita bersama.
Kenyataan Tun Abdul Rahman sangat menarik perhatian penulis atas beberapa sebab. Pertama, beliau merupakan mantan MenteriPelajaran yangbertanggungjawab melaksanakan sistem pendidikan yang menggunakan Bahasa Melayu pada tahun 1970, yakni suatu penegasan semula dari Penyata Razak, Akta Pelajaran 1961 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Kedua, pandangan beliau yang amat jelas bahawa sekiranya se suatu keputusan berkaitan sistem pendidikan negara dibuat oleh golongan bukan benar-benar pakar dalam bidang tersebut, ia akan gagal mencapai objektifnya. Tun Abdul Rahman, seorang ahli politik veteran, berpengalaman luas dalam pentadbiran negara, bekas Ketua Menteri Sarawak (1970-1981) dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak (1981-1986). Maknanya pandangan beliau itu bukannya datang dari sebarang orang, dan ada keikhlasannya.
Sejak dilaksanakan pada tahun 2003 yang lalu, isu PPSMI merupakan isu hangat yang tidak bertepi. Di sana sini ada sahaja pandangan dan pendapat yang menyokong atau membantahnya mengikut alasan masing-masing. Barubaru ini telah berlangsung siri persidangan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran bertempat di Putrajaya sebagai usaha menghimpunkan profesional pendidikan dari luar Kementerian ke arah mencari pendekatan terbaik bagi menyelesaikan isu bahasa Inggeris sebagai pengantarnya. Kenyataan pimpinan sudah kedengaran tetapi satu pe ngumuman keputusan yang tegas belum lagi dibuat, mungkin akan bergantung kepada kajian terhadap keputusan UPSR tahun ini.
Isu asal kenapa PPSMI diperkenalkan adalah akibat lemahnya penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Pelajar Melayu dan bumiputera khususnya dikatakan tidak berupaya berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Inggeris (BI), lalu dicari jalannya dengan menjadikan BI sebagai alat pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik. Kelemahan BI itu pernah dikaitkan dengan peristiwa seorang di plomat muda di luar negeri yang tidak fasih berbahasa Inggeris dan seorang jurutera yang tidak berupaya menyampaikan satu taklimat projek pembangunan dengan sempurna. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi serta cabaran globalisasi, adalah juga alasan yang menyebabkan keputusan dibuat bagi menukarkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu ke BI. Selain itu ada pula sokongan kuat sekumpulan elit Melayu dan korporat yang berkepentingan, meskipun mereka bukanlah pakar pendidikan sebenar.
Pelaksanaan PPSMI pada pendapat tokoh-tokoh bahasa adalah tidak tepat bagi mengatasi kelemahan penguasaan BI kerana ia menunjukkan lain yang luka lain yang dibebat. Penyakit lain ubatnya lain. Mereka mempersoalkan sepatutnya kelemahan BI itu diperbaiki dan dipertingkatkan kaedahnya, sedangkan Sains dan Matematik adalah suatu bidang ilmu. Ilmu hendaklah disampaikan dalam bahasa sendiri, apalagi pada usia kanak-kanak. Apakah sukar sangat subjek berkenaan diperoleh atau diajar melalui bahasa sendiri? Penguasaan ilmu dengan menggunakan BI akan mematikan bahasa negara sebagai bahasa rasmi dan kemajuan masa depan tamadun bangsa. Perkara ini sudah berkali-kali dinyatakan oleh para pejuang dan cendekiawan.
Golongan elit tertentu, korporat dan pedagang melihat kepentingan BI dalam zaman globalisasi ini semacam menyamakan penguasaan BI dengan aspek PPSMI. Mereka menyokong dan mempertahankannya tanpa alasan dan manfaat akademik yang kukuh, sedangkan hal pendidikan bukanlah bidang mereka. Para pejuang dan cendekiawan tidak pernah menolak keperluan bangsa kita menguasai BI dengan baik dan cemerlang, lebih-lebih lagi mereka yang berkepentingan dalam komunikasi global.
Isu Sains dan Matematik adalah isu memperoleh ilmu. Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik yang dilakukan dalam BI itu boleh membawa mudarat yang berpanjangan. Kajian telah pun dibuat oleh penyelidik tertentu dan institusi berkenaan. Panduan mencari keputusan sudah ada. Penulis sendiri berpengalaman melihat bagaimana sekelompok para pelajar sekolah rendah di luar bandar dan pedalaman, di tahap enam tidak tahu membaca. Penulis semasa berkhidmat di Kementerian Pendidikan (1993-1994) menjelajah ke serata penjuru negara kerana tugas-tugas pembangunan dan bekalan. Di daerah-daerah pedalaman itu mungkin kira-kira 10% hingga 15% pelajar berkenaan tidak tahu membaca, itu pun dalam bahasa Melayu. Sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak masih daif infrastrukturnya, kekurangan bekalan air dan elektrik. Mungkin itu bukan alasan yang tidak diterima, tetapi jurang digital bandarluar bandar akan terus melebar.
Kami dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diketuai Datuk A. Rahim Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola ketika itu mengunjungi Tun Dr. Mahathir, pada 14 September 2002 di Putrajaya, mengemukakan pelbagai alasan pendidikan dan kebahasaan membantah dasar yang mahu beliau perkenalkan ini. Delegasi kami selain saya selaku Ketua Pengarah DBP pada masa itu, adalah antaranya Tan Sri Kamarul Ariffin, pakar Sains dan Matematik, Prof. Dr. Shaharir Mohd Zain, Dr. Awang Sariyan, Prof. Dr. Mohd Noor Salleh. Bermacam-macam hujah yang dibentangkan oleh pakarpakar ini dan DBP sebagai institusi kebahasaan, dari aspek kelemahan P&P Bahasa Inggeris, pedagogi, tradisi keilmuan, masa depan peradaban bangsa dan sebagainya. Alasan Tun pada waktu itu adalah kerana perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkembang pesat. Kepesatan itu berlaku dalam BI.
Seawal 2002, bantahan dan teguran daripada kalangan para pejuang bahasa, pemikir, budayawan, sarjana dan pendidik. Mereka yakin kelemahan penguasaan BI patut diperbaiki melalui aspek pengajaran dan pembelajaran bahasa itu bukan dengan mengorbankan subjek yang begitu penting. Sebenarnya masalah penguasaan Bahasa Inggeris ada kaitannya dengan kaedah pengajaran dan pembelajarannya. Isunya adalah keupayaan mempelajari, menguasai dan menggunakan BI dengan baik. Sesungguhnya tidak ada seorang pun pejuang bahasa menentang pembelajaran Bahasa Inggeris. Bahkan mereka mahukan beberapa bahasa utama dunia ikut diajarkan. Soalnya kaedah. Apakah pembangunan negara dan pembinaan bangsa kita itu mesti diacuankan melalui bahasa asing, sebab bahasalah yang akan mencorakkan kehidupan kebudayaan bangsa pada masa depan.
Dalam kes bantahan ini, soal semangat kebangsaan Melayu bukan isu yang ditimbulkan. Juga tidak ada pandangan yang menuduh mereka yang cintai BI itu bermakna kurang semangat nasionalisme. Apa yang dipertahankan oleh para pejuang dan pendidik adalah soal ilmu, betapa berkesannya kalau diajar dalam bahasa sendiri. Manakala kelemahan Bahasa Inggeris sebagaimana yang didakwa itu seharusnya diselesaikan melalui kaedah pengajaran dan pendidikan bahasa, bukan dalam melalui subjek yang lain. Anak-anak Inggeris, Australia, New Zealand atau di Amerika sekalipun, tidak semuanya pandai sains dan matematik walhal diajar dalam bahasa mereka sendiri. Maknanya antara tujuan memperoleh ilmu dengan menguasai bahasa ada perbezaan yang nyata. Bagi pejuang bahasa, jika pun PPSMI tidak gagal sekalipun, mungkin kita akan menemui kegagalan dalam mencorak tamadun bangsa dan tradisi keilmuan dalam bahasa sendiri.
Pendidikan memang boleh dikaitkan dengan soal kebangsaan Malaysia atau citra kenegaraan sekira sistemnya berlandaskan peruntukan Perlembagaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Setahu penulis tidak ada seorang pejuang bahasa pun menolak keperluan rakyat Malaysia terutama generasi muda mempelajari dan menguasai Bahasa Inggeris seperti dakwaan sesetengah pihak. Salah persepsi ini telah menjadi fitnah sejak awal abad ini terhadap mereka. Malahan para pejuang bahasa dan budaya menggesa agar anak-anak Malaysia perlu menguasai lebih daripada dua bahasa, sesuai dengan keperluan kita berkomunikasi dengan Asia Barat, Amerika Latin, Eropah dan Asia Timur. Belajar dan kuasailah selain BI, misalnya Bahasa Arab, Sepanyol, Jerman, Mandarin, Rusia mengikut keperluan. Jika kita mahu setaraf dengan bangsabangsa lain, maka kita patut belajar bahasa-bahasa utama dunia tanpa mengorbankan keperluan kita terhadap ilmu. Perancangan, strategi dan pendekatan hendaklah dilakukan secara tradisi ilmu dan mengikut kaedah linguistik. Kefasihan bertutur hanya akan dicapai melalui pembelajaran bahasa, kaedah amali dan cara pengajaran intensif. Jika pedagogi tidak berubah dan penekanan pembelajaran hanya tertumpu kepada keutamaan tata bahasa, maka penguasaan terhadap bahasa apa pun termasuk Bahasa Melayu tidak akan berjaya.
Tujuan mempelajari bahasabahasa lain itu penting. Tetapi kaedahnya mestilah betul, ada sistem dan ilmu lingustiknya. Di China, Russia, Jerman, Perancis, Korea, Jepun dan di beberapa negara lain kini, para pelajar mereka ikut mempelajari bermacam bahasa termasuk Bahasa Melayu, tetapi demi untuk ilmu pengajaran dan pembelajaran tetap dijalankan dalam bahasa mereka. Mereka maju dalam acuan sendiri. Pernah sarjana antarabangsa dari pelbagai negara Eropah, Russia dan Asia-Ocenia menggelengkan kepala apabila Kerajaan mahu melaksanakan PPSMI ini. Persitiwa itu terjadi semasa penulis mempengerusikan Sidang Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) 2002.
Bagi sesetengah cendekiawan, jalan yang kita pilih diumpamakan sebagai jalan songsang. Ilmu itu penting, tetapi kenapa pula dipilih bahasa asing mulai di peringkat rendah? Penguasaan bahasa sendiri pun entah ke mana. Kita rugi dalam dua perkara, pertama ilmu yang tidak diperoleh dan kedua, penguasaan bahasa yang kian kecundang, baik bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris. Kalaulah yang dikendung berciciran dan yang dikejar tak dapat, eloklah kita merenungi nya semula. Gagal atau jayanya ukuran UPSR tidak menjawab persoalan kelemahan penguasaan BI, sebaliknya memperagakan hasrat kita seolah-olah kemahuan kita memanglah terhadap BI sebagai alatnya.
Apalah ertinya peruntukan dua tiga bilion ringgit yang dihabiskan sebagai kos yang ditanggung sejak tahun 2003 itu, kalau aspirasi pembinaan masa depan peradaban terkorban. Kalaulah kita tersalah bebat di mana tempat menanah, maka bebatlah ia semula. Kalaulah kita telah tersesat jalan, tidak salah pula kita kembali ke pangkal jalan. Penulis mengharapkan kepada Kerajaan agar kita bersama-sama memenuhi harapan sebagaimana disebut sebelum ini bahawa selain daripada kajian ke atas UPSR 2008, sebarang keputusan hala tuju PPSMI tidak dibuat berlandaskan emosi, persepsi andaian ataupun tuntutan pihak tertentu semata-mata tetapi berlandaskan fakta yang me rangkumi semua aspek mengenai pelaksanaan PPSMI itu. Tuntutan cendekiawan, kajian menyeluruh yang sudah ada, pandangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) gerakan bahasa, tokoh politik, dan suara rakyat akar umbi seharusnya diberikan perhatian utama meskipun bertentangan dengan rancanganm PPSMI itu.
Sunday, November 23, 2008
PPSMI: Ke Manakah Selepas UPSR 2008?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment