Oleh Muhammad Syukri Rosli
http://janjilaxamana.blogspot.com
Habis akhirnya. Lama betul untuk menghabiskan sebuah novel setebal 272 muka surat ini. Rasanya, macam baru seusai membaca buku tiga kali ganda tebalnya. Baru aku tahu penengan Pramoedya Ananta Toer. Patutlah Cikgu Sofy (Cikgu Bahasa Melayu 5 Bestari 2005) asyik mengulang sebut novel ini dalam kelas. Rupa-rupanya memang hebat betul novel ini. Tak sangka, dengan menggunakan latar masa selama tiga hari dan watak-watak fokus adalah dalam sebuah keluarga, Pram berjaya menghasilkan sebuah novel yang baik. Khabarnya, novel ini dihasilkan beliau di dalam penjara (Penjara Bukit Duri 1949).
Novel ini aku ketegorikan sebagai novel yang tinggi. Walaupun tiada fakta atau ilmu khas yang diselitkan dalam perenggan-perenggan, tapi, nilai kemanusiaan yang wujud dalam novel ini begitu berharga. Boleh dikatakan, setiap muka surat, setiap dialog antara watak dan setiap kejadian dalam perjalanan plot novel ini menyentuh hal tersebut. Sadisme, perlakuan menyeksa watak yang dilakukan oleh Pram amat memberi kesan yang mendalam. Ini membawa rasa simpati pembaca dan betapa kejamnya perang yang melanda. Ringkasnya, dek kerana perang, habis runtuh nilai kemanusiaan. Sa'aman, Kartiman, Canimin sanggup membunuh bapa sendiri kerana bapanya berpihak pada Belanda. Amilah menjadi gila mengenangkan anak-anaknya menjadi pejuang revolusi. Salamah sanggup menggadaikan maruah diri kerana mahu menyelamatkan abangnya. Saaman dihukum mati kerana memperjuangkan kemerdekaan tanah airnya.
Dialog yang suka aku ketengahkan daripada novel tersebut:
....Kalau engkau sudah terlentang di balaimu, engkau harus bilang begini: aku akan belajar terus sampai tua. Ulang-ulangin kalimat itu sampai engkau tertidur. Dan engkau akan jadi pandai kelak. Engkau sekarang masih kecil, Hasan! Tapi kalau engkau mau belajar banyak-banyak, tahu-tahu engkau sudah jadi besar dan boleh jadi jeneral...
(Keluarga Gerilya, 218)
"Tukan beca," keluh suara dari depan sel itu.
"Dan mengapa?" tanya suara dari sel samping.
"Mengapa? Ya - mengapa? kerana aku tak suka menyerahkan tenagaku guna membantu memaksa orang lain supaya memasuki dunia penderitaan yang sia-sia. Itulah sebabnya aku membuat diriku jadi tukang beca. Engkau mesti mengerti itu. Tahu? Sebarkan keringaku seluruh jalan raya Jakarta. Tapi menyesal aku tidak."
(Keluarga Gerilya, 116)
"Saudara, aku akan ditembak mati," kata Sa'aman kepayahan. "Dosaku banyak. Lebih dari lima puluh orang ku bunuh - ku hancurkan sumber penghasilan keluarganya. Tapi kerana aku merasa bertanggungjawab atas segala perbuatanku - atas segala dosaku, aku serahkan semuanya itu kembali pada Tuhan. Dan selama aku masih hidup, selama masih ada detik dan hari buatku, dan selama masih ada nafasku, waktu itu akan ku pergunakan untuk menyerahkan kembali segala-galanya pada Tuhan."
(Keluarga Gerilya, 130)
Mantap dan membakar semangat. Itulah yang boleh aku simpulkan. Buat rakan-rakan di luar sana, pergilah memburu buku ini. Dapatlah kita belajar realiti kekejaman peperangan secara sebenar, jiwa dan fikiran seorang pejuang kebangsaan dan kehancuran institusi masyarakat kerana pemerintah yang tamakkan kuasa. Kebanyakan orang hanya pandai menggoreng dan mengomel tentang perjuangan, realiti peperangan dan kemusnahan masyarakat, tanpa mengetahui dan merasai apa yang sebenarnya berlaku. Dengan Keluarga Gerilya, harapnya lebih ramai orang mengerti, betapa jahatnya peperangan.
Rakan-rakan di Adelaide, buku ini ada untuk pinjaman. Untuk sesiapa yang berminat, sila membuat tempahan di Y! Group Lingkaran Sahabat Sastera Adelaide. Siapa cepat dia dapat!
Friday, April 25, 2008
Belanda l Keluarga Gerilya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment