Senarai panel Hakim:
Hafez Iftiqar
Adibah Abdullah
Rebecca Ilham
Komentar Umum Para Hakim Terhadap Cerpen-cerpen Peserta
1. Tema dan persoalan. Masih ada cerpen-cerpen yang dihakimi mempunya tema dan persoalan yang banyak. Dalam penulisan cerpen, tema harus tunggal. Wibawa penulis dinilai berdasarkan kemampuan mendokong tema tadi malalui pengenalan, konflik, klimaks dan peleraian. Lebih mengecewakan, ada cerpen yang langsung tidak mempunyai konflik, klimaks dan peleraian. Membaca cerpen sebegini seolah-olah berpusing-pusing dalam bulatan dan membosankan. Pembaca bukan ‘hamster’ yang tak jemu berlari dalam bulatan.
2. Pemilihan tema dan persoalan. Masih banyak peserta cenderung kepada karya pop islami. GKLN secara khusus komited untuk melahirkan penulis yang menulis isu-isu ‘matang’ yang boleh menggambarkan anda seorang penulis yang kritis. Cabaran utama ialah untuk mengangkat isu-isu matang dan berat ini dengan kreatif. Sebagai contoh, anda boleh menulis tentang cinta, tetapi kalau cinta itu cinta lelaki dan wanita – ya, tema anda klise, biasa-biasa sahaja malahan anda cenderung menulis karya picisan dengan memilih tema ini. Ada banyak tema cinta yang masih tidak diangkat. Karya-karya yang menjadi sebutan di peringkat antarabangsa kebiasaannya meneroka tema-tema ini.
3. Tema juga harus umum. Memilih tema yang disukai kelompok anda sahaja tidak akan menjadikan anda penulis yang baik. Cerpen sebegini awal-awal lagi akan ditolak pembaca yang bukan dari kelompok anda. Sekilas baca sudah tahu anda dari kelompok atau kumpulan mana. Membaca tulisan anda, seolah-olah membaca naskah brainwash yang hampir pasti tidak akan difahami oleh orang diluar kelompok anda. Anda mungkin dipuji kelompok anda, tetapi tidak orang dari luar.
4. Watak dan perwatakan. Cerpen tidak perlu kepada watak yang banyak. Tiga watak pun sudah dikira banyak untuk sebuah cerpen. Masih ada cerpen yang bermewah menggunakan watak yang entah siapa-siapa dan kalau dihilangkan sedikit pun tidak mengganggu penceritaan. Malah kewujudan watak-watak kodi ini menyebabkan cerpen jadi tambah berserabut dan pembaca hilang tumpuan. Lebih mengganggu, watak itu tiba-tiba wujud dan hilang seperti chips more – sekejap ada, sekejap tak ada. Perwatakan harus sesuai dengan watak. Sedikit hairan – ustazah (layan) bercinta dengan bapa ayam sebagai contoh atau AJK keselamatan untuk aktiviti air yang tak tahu berenang terjun menyelamatkan peserta yang lemas kemudian dia yang lemas dan perlu diselamatkan orang.
5. ‘Telling but not showing’, penulis yang baik harus mampu menuntun imaginasi pembaca bukan memaksakan pembaca memahami apa yang ingin ditulisnya. Kelemahan ini ketara sewaktu penulis memilih dan menghuraikan plot cerita. Memudahkan fahaman, ambil contoh – ‘air itu jernih sehingga tampak ikan-ikan sebesar peha’ sama sahaja dengan ‘tampak ikan-ikan sebesar peha dari permukaan air itu. Kedua-duanya bermaksud air itu jernih!
6. Konflik, klimaks dan peleraian. Penulis baru harus cuba mencari identiti tersendiri buat karyanya. Anda mempunyai kelebihan kerana anda mempunyai pengalaman di luar Negara. Banyak cerpen-cerpen yang diadili; konflik, klimaks dan peleraiannya boleh dijangkakan – klise! Ciptakan kejutan-kejutan untuk menjadikan cerpen anda unik!
7. Pemilihan diksi. Anda tidak perlu memilih kosa kata yang aneh-aneh sehingga setiap baris pasti mengandungi perkataan yang tidak difahami orang kebanyakan dan harus dirujuk kamus. Membaca karya sebegitu merimaskan dan mengganggu penghayatan. Anda harus bijak menggunakan teknik-teknik penceritaan dengan menggunakan ayat-ayat yang difahami umum. Masih ada karya yang mencampur-adukkan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Penggunaan bahasa asing mungkin diperlukan dalam dialog, tetapi apa perlunya menggunakan bahasa asing tidak semena-mena ketika anda tidak terdesak menggunakan bahasa asing? Jika anda perlu menggunakan bahasa asing, sila patuhi tatabahasa – sekurang-kurangnya condongkan huruf perkataan itu (italic).
8. Pemilihan tajuk. Tajuk yang baik berdiri sebagai kesimpulan cerpen dan mampu menarik minat pembaca. Begitu juga baris pertama, perenggan pertama anda. Anda gagal di sini, serentak minat pembaca menghabiskan cerpen anda hilang.
9. Penggunaan bahan bantu. Masih ramai yang cenderung meletakkan ayat-ayat Quran dan kisah-kisah sejarah secara tempelan. Seharusnya, penggunaan bahan-bahan sokongan ini mengalir sama dengan penceritaan anda, bukan ditempel di sana sini. Ini membezakan penulis baik dan tidak; keupayaan mengadunkan fakta, ayat Quran, hadis dan sebagainya dengan cerita, bukan sekadar menempel bahan-bahan ini.
10. Cerpen ialah cerita pendek. Oleh itu anda tidak perlu memasukkan kisah-kisah sampingan yang menyebabkan cerpen anda panjang berjela-jela. Fokus kepada tema anda dan tidak perlu memperkenalkan tema dan persoalan baru di dalam usaha menghabiskan cerpen anda.
11. Secara keseluruhan, cerpen yang dihakimi bertebar dalam spektrum yang luas. Di satu hujung, tulisan-tulisan yang sangat baik manakala di satu hujung tulisan yang sangat lemah. Harus membiasakan diri dengan tulisan-tulisan penulis mapan tempatan dan antarabangsa. Cari identiti penulisan sendiri, keluar dari klise dan semoga terus menulis. Harap beroleh manfaat dari ulasan ini.
Wednesday, July 2, 2008
Komentar Para Hakim: Sayembara Cerpen Grup Karyawan Luar Negara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment