Rebecca Ilham
www.rebeccailham. blogspot. com
Summer Malaysia I: Masalah Sosial vs Sikap Sosial
Acapkali kita bertemu karya-karya yang pada penilaian kita bersifat
biasa-biasa saja, dan digarap pula menggunakan pendekatan lingkungan
dekat, tetapi meraih pengiktirafan hadiah sastera.
Meneliti karya-karya sebegitu, saya tertanya-tanya. Mengapa? Kemudian
saya bertemu, atau diperkenalkan sebetulnya, dengan istilah masalah
sosial dan sikap sosial.
Masalah sosial adalah pernyataan, atau kritikan terhadap kepincangan
sesebuah masyarakat. Masalah sosial akan diketengahkan oleh pengarang
menggunakan medium kreatif agar mudah diterima oleh pembaca.
Masalah sosial, kata pengarang mapan yang bertanggungjawab
memperkenalkan saya dengan terminologi- terminologi sastera,
"siapa-siapa pun boleh buat." Asal saja pengarang itu mempunyai deria
yang tinggi, tentu saja dia mampu menterjemahkan pemerhatiannya ke
atas kertas.
"Tapi sikap sosial, hah, itulah faktor yang membezakan seorang penulis
biasa-biasa dengan penulis yang baik," kata pengarang mapan itu lagi.
Istilah sikap sosial pertama kali diperkenalkan oleh Malek Ben Nabi.
Ia merujuk kepada tanggungjawab untuk menawarkan resolusi terhadap
masalah sosial.
Sebuah cerpen yang sekali pandang "biasa-biasa sahaja" tetapi saya
pasti dimenangkan panel sebuah pertandingan sastera kerana mempunyai
sikap sosial adalah Dongeng Anak Mat Jenin oleh Siti Hawa Mohd Hassan
. Cerpen ini mengangkat konflik sepasang warga emas yang diabaikan
oleh anak-anak mereka kerana kesibukan bekerjaya. Cliché bukan?
Kebosanan menunggu bas bertolak dari Platform 17, Hentian Puduraya,
saya hampir menguap tetapi menguatkan diri agar terus membaca.
Ternyata itu keputusan yang tepat. Pengarangnya menyelitkan sikap
sosial sebagai penyelesaian. Pasangan warga emas berkenaan tidak
terus-terusan berkeluh-kesah, sebaliknya mengambil inisiatif untuk
menjual rumah dan tanah mereka dan menggunakannya sebagai perbelanjaan
mengerjakan haji tanpa bantuan anak-anak. Sepatah ayat yang dilafazkan
oleh watak utamanya yang saya cukup suka, "Ini harta kita. Suka
hatilah bagaimana kita hendak menghabiskannya. "
Sebagai konklusi, tidak perlu menulis tentang isu berat-berat jika
tidak mampu. Sebaliknya, selongkarlah apa-apa yang kita tahu (masalah
sosial) dan perlu bijak menggarap inisiatif bagi mengatasi kepincangan
sosial yang dinyatakan sebelumnya (sikap sosial). Nescaya karya itu
akan jadi luar biasa!
P.S. Entri dan kesedaran ini tak akan hadir tanpa naskhah Di Mana
Tangkai Nyawamu yang menghimpunkan cerpen dan puisi pemenang HSKU
1998. Kalungan penghargaan untuk Kak Ummu Hani yang membenarkan saya
memilih dari rak bukunya, lantas menghadiahkan.
Summer Malaysia II: Mazhab Khayal vs Mazhab Makna
Summer Malaysia III: Apa Itu Sastera Islami?
Friday, April 18, 2008
Masalah Sosial vs Sikap Sosial
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment