Sunday, May 11, 2008

Sembang Sastera: interteks dan 'spin-off'?



Tanya Adibah (http://ummuhurayrah.blogspot.com): Assalamualaikum.
Mahu bertanya kepada yang pakar.

Dalam alam sastera, halalkah melakukan spin-off terhadap mana-mana karya yang sudah terbit? Baik filem, cerpen, novel, mahupun puisi.

Contohnya dalam cerpen yang sedang saya tulis sekarang, salah seorang pemerannya adalah Anne Frank yang popular sebagai mangsa Holocaust itu (walaupun kesahihannya masih belum pasti). Halalkah, atau saya nanti akan ditunjal-tunjal dengan tuduhan plagiat? Contoh lain, bagaimana kalau saya mengarang cerpen tentang advencer seterusnya Masdo, Amore, dan Minami selepas mereka cabut lari mengenderai tikar pandan terbang kerana dikejar dayang istana pada penghujung filem Laksamana Do Re Mi?



Nisah Haron menjawab (http://annyss.blogspot.com):

Salam buat adinda-adinda GKLN, Mengenai persoalan yang dibangkitkan Adibah, istilah 'spin-off' ataupun penggunaan 'spin-off' hanya boleh dilakukan oleh pengarangnya sendiri. Apabila pengarang lain cuba menulis sesuatu berdasarkan suatu teks yang sedia wujud, ia dinamakan intekteks (seperti penerangan Muhammad Syukri). Mesti ada hipoteks (teks asal) yang diketahui umum akan kewujudannya. Kemudian kita sebagai pengarang pula mengubah, mengolah ataupun memanipulasi isu, watak, latar ataupun apa-apa yang berkaitan dengan teks asal di dalam teks semasa.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana manusia itu biasa 'meniru' apa sahaja yang ada di sekeliling kita.

Interteks bukanlah plagiat. Plagiat ertinya mengambil bulat-bulat ekspresi teks asal dan kemudian mengakui sebagai sebahagian karya kita sendiri. Plagiat menyalahi undang-undang hak cipta (tak kiralah mana-mana negara). Interteks mengembangkan dan menghidupkan lagi teks asal malah kita pula yang akan memperkuatkannya.

Benar, Faisal (Tehrani) sendiri biasa melakukan interteks ini seperti yang selalui diakuinya - Advencer Si Peniup Ney (sebahagiannya daripada kes Nabi Yusuf-Zulaikha) .

Secara peribadi, saya juga banyak menulis cerpen bersifat begini.

* Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus (mengambil daripada teks lama "Panah Patah Sangkuriang" dan "Oedipus Rex" karya Sophocles
* Sepaun Daging Hutang (dalam Antologi 9!) - (mengambil teks Shakespeare - The Merchant of Venice)
* Persidangan Agung Wanita Klasik (mewujudkan kembali watak-watak wanita klasik yang pernah kita temui dalam pembacaan seperti Dang Anum, Mahsuri, Tun Teja, Puteri Gunung Ledang, Siti Zubaidah, Tun Kudu, dan ramai lagi)

Selain itu, saya juga gemar melakukan 'spin-off' dengan karya saya sendiri seperti Mencari Locus Standi (novel remaja HSKU) kini telah saya kembangkan salah satu watak sampingannya (Ibu Ainur Mustika) sebagai watak utama dalam novel bersiri Lentera Mustika (disiarkan secara bersiri dalam majalah ANIQAH, terbitan MMP Communications - juga penerbit majalah Millenia Muslim). Kisah drama "Istimewa Dari Cenma Detara" yang disebut dalam novel Mencari Locus Standi pula merupakan cerpen saya yang benar-benar wujud dengan judul yang sama.

Kemudian cerpen tersebut, memang pernah saya pindahkan ke genre drama pentas dengan judul yang sama. Kini cerpen-yang- menjadi-drama- itu sudah berpindah genre sekali lagi dan menjadi novel yang saya judulkan sebagai Puisi Untuk Edsyzuar.

Jadi, sebagai pengarang, kita bebas untuk mengolah semula karya asal kita supaya dapat dikembangkan dalam pelbagai cara; sama ada membuat sekuel ataupun spin-off (tidak semestinya sekuel). Kalau karya itu milik orang lain, namanya interteks. Untuk menulis interteks, lebih baik menggunakan karya-karya lama yang sudah dianggap 'klasik'. Menulis menggunakan bahan/teks milik pengarang sedia ada (mungkin, ini pendapat saya sahaja) mengganggu usaha pengarang asal untuk melakukan sendiri spin-offnya.

Sekian dulu. Selamat berkarya.

ikhlas,
Nisah Hj Haron
www.annyss.blogspot.com
www.ujanailmu.com.my

No comments: