Oleh: Fahd Razy
1) Kurangkan penggunaan kata ganti diri
Satu tabiat penulis baru yang menyebabkan puisi menjadi lewah adalah penggunaan kata ganti diri yang berlebihan, terutamanya dalam satu rangkap. Kebanyakan kata ganti diri seperti 'aku', 'kau', 'mereka', 'dia' dan sebagainya dimasukkan berulang-ulang, apatah lagi apabila merujuk kepada sasaran yang sama. Alternatif, cukuplah penulis sekadar memasukkannya sekali dan menggugurkan kata ganti diri yang lain.
Contoh:
Telah kautunjukkan padaku
warna hatimu yang kelabu
Baris ini lebih kemas ditulis begini:
Telah kautunjukkan padaku
warna hati yang kelabu
ATAU:
Telah kautunjukkan
warna hati yang kelabu
2) Kurangkan penggunaan kata ganda
Dalam puisi, sebahagian, bahkan sebahagian besar kata ganda yang digunakan gagal membawa perubahan besar pada maksud yang cuba disampaikan. Bahkan apabila terlalu banyak, terutamanya dalam satu puisi atau rangkap maka akan kelihatan janggal. Sebaiknya, cukuplah dengan tidak menggandakannya atau menggantikan dengan perkataan yang boleh membawa maksud jamak (contoh: 'titis-titis hujan' boleh digantikan dengan 'titisan hujan' yang turut membawa maksud jamak)
Contoh:
Ombak-ombak yang berkejaran
menyapa pasir-pasir yang berkilau
Lebih kemas ditulis begini:
Ombak-ombak yang berkejaran
menyapa pasir yang berkilau
atau begini:
Ombak yang berkejaran
menyapa pasir yang berkilau.
3) Elakkan menulis secara satu perkataan bagi baris pertama setiap rangkap.
Satu kebiasaan yang dapat diperhati dalam sajak-sajak penulis baru, mereka cenderung memudahkan penulisan dengan menulis satu perkataan pada baris pertama dalam rangkap. Fungsinya, mungkin seperti kata kunci.
Contoh:
Cinta
seringkali merangkak dalam mimpi
merasuk kewarasan diri
Cinta
Hatiku tak pernah layu
biar dibakar musim
dan kemarau yang terik
Cinta
akan kutetap setia
menyirami
biar usia dimamah jelaga
Dalam contoh ini perkataan cinta diulang dalam setiap baris pertama rangkap. Pelbagai alternatif boleh ditulis untuk mengelakkan hal ini terjadi.
Misalnya, menggabung baris pertama dan kedua (sama ada dengan tanda koma / dash ataupun tidak):
Cinta, akan kutetap setia
menyirami
biar usia dimamah jelaga
ATAU
Cinta- akan kutetap setia
menyirami
biar usia dimamah jelaga
Alternatif lain, perkataan 'Cinta' yang berulang dan lewah itu boleh dibuang terus, dan dikekalkan pada salah satu rangkap. Contohnya:
Cinta seringkali merangkak dalam mimpi
merasuk kewarasan diri
Hatiku tak pernah layu
biar dibakar musim
dan kemarau yang terik
Cinta- akan kutetap setia
menyirami
biar usia dimamah jelaga
Sekarang boleh bandingkan contoh yang asal dan selepas penyuntingan. Nampak perbezaannya?
Harap tips-tips ini membantu anda menyunting sendiri karya.
Wednesday, June 4, 2008
Mengatasi Lewah dalam Penulisan Puisi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment