Monday, June 2, 2008

Puisi-puisi tersiar dari GKLN-Mei dan Jun





Di bangku tua (Siapa aku?)



Di bangku tua
dalam taman Tyepli Stan
duduk aku sepi sendirian
diam mengamati muzik alam
harmoni bunyi irama Tuhan
pesona lunak lagu penciptaan


Di bangku tua
musim semi yang berbunga
tulip indah pelbagai warna
kuning dandelion mempersona
kicau merpati yang berzikir
tua muda sama mudar-mandir
sejenak lantas aku berfikir,
'Siapakah aku dalam musafir?'

Di bangku tua
hakikat diri dan alam
rahsia setiap kewujudan
bukanlah sebuah permainan *
Sang Pencipta yang bosan
hidup sendirian tidak berteman

Di bangku tua
aku menyedari satu hakikat
aku dan dia adalah pekerja
hamba Raja segala dunia
merantau jauh kembali juga
taklif Tuhan atas penciptaan
semakin aku mengenal diri
semakin kuinsafi jiwa ini!


http://khairilidham.wordpress.com
Khairil Idham Ismail
moscow, russia
1341 sabtu
april 19, 2008
rabiulakhir 12, 1429
Disiarkan di Mingguan Malaysia 25 Mei 2008



0.2 hektar yang hilang

Mahkamah Keadilan Antarabangsa
bersidang, siapa Tuan Pedra rlanca?
Batu Putih rebutan dua nusa,
sempadannya sejarah, hujah
atau jarak yang memisah?

Ada tangis, ada senyuman,
kalah menyerah, menang kegembiraan,
Hakim Awn Shawkat memutuskan,
Batu Putih bukan di tangan
Malaysia, tapi Singapura
pulau itu bukan terra nullius, dakwanya!

Ada yang bilang,
Middle Rocks dan South Ledge pengubat walang,
sekangkang 0.2 hektar yang hilang
itu tanda menang-menang!

Namun sedarlah sayang,
pemuda-pemudi masa depan,
biar pantas mengikut zaman,
sejarah dilupakan jangan,
kelak kita tangisi,
hingga meratap tiada guna lagi,
berapa kangkang pula milik bertukar ganti!

http://khairilidham.wordpress.com
khairil idham ismail
moscow, russia
0006, may 26 , 2008
Disiarkan di Mingguan Malaysia 1 Jun 2008



SENYUMAN NAKHODA YANG DITINGGALKAN
(Monolog agung kepada Seniman Tan Sri P. Ramlee)

Bait-bait berbicara
menjalar menjadi segumpal tanah perwira
dalam warna layar skrin kaca
berkilau bagai sultan istana bernyawa.

Dikau perwira menyemarak gelora sukma
melukis watak tegar perajurit nakhoda
berlabuh di tengah-tengah laut keagungan
ukiran irama jadi warisan
tenggelam di dasar syair puitis belantara
memukul ombak-ombak perjuangan di atas tinta.

Agung karyamu laksana bulan purnama
menjunjung falsafah tersirat
menyulam wibawa sejagat
tak henti melagukan kenangan bersama
Aziz Sattar, S. Shamsudin dan Saloma
menghimpun di bawah sarwajagat lama.

Telah basah nostalgia seorang nakhoda
tatkala membasuh sejarah lampau
patah sauh tajam
padam dalam diam
hilang bawa zaman.

Lenyaplah dikau dalam dunia seni
membawa sebongkah senyuman
melukis sepetak pengertian
seorang seniman.

SYAFIQ ZULAKIFLI
http://typeace.blogspot.com
KAHERAH, MESIR
Disiarkan di Mingguan Malaysia 1 Jun 2008

No comments: