Oleh Al Fannani (Morocco)
http://alfannani.wordpress.com
Salamullahi Alaikum
Kita telah maklum bahawa gaya bahasa asonansi merupakan perulangan bunyi vokal dalam dua atau lebih daripada dua suku kata. Contohnya seperti pengulangan vokal a pada baris pertama sajak `Bunga Popi' Karya SN. Usman Awang:
Dari darah dari nanah yang punah di tanah.
Kita dapati di atas pengulangan vokal a yang begitu kerap. Namun bukanlah kerana pengulangan vokal a itu semata-mata yang membuatkan kita tertarik bahkan makna dan perasaan yang terdapat dalam baris indah itu yang nampak bersahaja namun punya daya tarikan yang istimewa.
Kemudian saya datangkan lagi contoh pengulangan yang terdapat pada tajuk novel karya SN. Shahnon Ahmad:
Detik-detik diri di daerah daif
Jelas ayat di atas kita dapat pengulangan huruf vokal `I', `e' dan juga `a' . Bagaimana pula dengan huruf konsonan `d' yang kita dapati terdapat pengulangan juga dalam ayat di atas, adakah itu juga termasuk dalam golongan asonansi? Jawapannya tidak. Kerana kita perlu lihat semula takrif asonansi yang merupakan perulangan bunyi vokal dalam dua atau lebih dari dua suku kata. Jadi persoalan itu dapat langsung kita selesaikan.
Ada juga pendapat mengatakan bahawa asonansi ini muncul berdasarkan ketebalan perasaan. Bijleveld telah mengaitkan asonansi dengan ketebalan perasaan dan beliau berpendapat bahawa apakala perasaan seseorang itu terlalu menebal, alat suaranya mengalami `kakakuan'. Maka dalam keadaan `kaku' itu, terbitlah vokal yang sama.
Baik di sini saya tidak ingin berceloteh panjang mengenai definisi asonansi yang saya rasa sudah diketahui khalayak . Saya ingin bawa kalian mengenali jenis-jenis asonansi secara ringkas.
Terdapat dua jenis asonansi:
Asonansi parallelistiche : Perulangan bunyi pada tempat-tempat yang sejajar dalam susunan kata. Contoh : `titah lalu sembah berlaku' mengandung perulangan bunyi `a' dan `u' pada tempat-tempat yang sejajar. Asonansi ini menetapkan rentak pada tempat yang bunyinya berulang. ` dahulu parang sekarang besi, dahulu sayang sekarang benci'. Kita boleh dapati kehadiran bunyi tertentu pada tempat tertentu walaupun barisnya panjang.
Contohnya seperti yang telah diberikan di atas. Contoh bagi perulangan bunyi vokal `a' pula ialah: `masa kecil teranja-anja sudah besar terbawa-bawa'. Dalam contoh ini kita dapati perulangan bunyi vokal `a' sebanyak 4 kali bagi perkataan-perkataan `teranja-anja' dan `terbawa-bawa'.
Asonansi chiastische : Perulangan bunyi secara berselang-seli. Ia juga disebut sebagai disonansi. Seperti perkataan `bilang' dan `baling', kita dapati kedua-dua perkataan itu mempunyai vokal `I' dan `a' namun kedudukannya diterbalikkan. Begitu juga pada perkataan `buka' dan `baku','pisang' dan `pasir' dan banyak lagi.
(Rujuk buku Memahami Gaya Bahasa – Rahman Shaari)
Wednesday, May 6, 2009
Asonansi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment