Thursday, August 7, 2008

Adakah Saya Seorang Penulis Elitis?


Oleh Rebecca Ilham
(Dipetik dari http://rebeccailham.blogspot.com )




Seorang blogger yang rancak juga menghentam beberapa penulis mapan tanah air tanpa menghadam karya-karya mereka mendefinisikan penulis elitis sebagai pengarang yang menulis untuk orang-orang yang sedia pandai. Oleh sebab itu katanya lagi, dia tidak berselera meneliti karya-karya elit ini kerana kepalanya sedia berat diisi oleh pelbagai tanggungjawab lain.

Reaksi saya: kalau belum baca, macam mana boleh disimpulkan karya-karya yang dihentam itu sebagai karya elit? Dan, salah penuliskah awak sendiri enggan mengasah minda berfikir?

Persoalan menulis untuk khalayak sedia pandai tidak seharusnya timbul. Secara peribadi, saya berpendapat manusia secara lahiriah gemar dicabar secara intelektual pertama dan lain-lain kedua, ketiga dan seterusnya. Tiada siapa di dunia ini yang mahu mengaku dirinya bodoh dan sebagai pengarang, saya kira ada tanggungjawab besar untuk tidak mempersendakan keintelektualan pembaca. Apabila menulis dengan tanggapan pembaca sedia pandai (atau setepatnya bersedia untuk dipandaikan), tidak akan timbullah rungutan-rungutan ‘cerita tak logik,’ ‘ending mengarut’ dan ‘aku tak sebodoh itulah!’ kerana pengarang dan penulis akan dituntut menjadi lebih kreatif, inovatif dan imaginatif.

Jadi, jikalau menulis dengan prinsip ini suatu hari nanti menjadikan saya penulis elitis, saya terima gelaran itu!

No comments: