Tuesday, April 21, 2009

Sukma Angin- SN Arenawati

Oleh Muhammad Teja
http://janjilaxamana.blogspot.com

"Membaca karyanya, Sukma Angin saya dapat merasakan minda pasca moden dan toleransi yang pintar terhadap kepelbagaian budaya masyarakat di Asia Tenggara. Saya kagum dengan daya kreatifnya yang diletakkannya dalam konteks kepelbagaian budaya ini. Dunia kesusasteraan Melayu kehilangan seorang tokoh yang cemerlang."

Prof. Dr. Soleha Ishak,
Pengarah Pusat Kebudayaan di Universiti Malaya
Utusan, 26/1/2006


Melewati novel Sukma Angin, buah tangan SN Arenawati yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia, seolah-olah membawa pembaca untuk merasai susah senang, suka duka dan kepintaran dan kelestarian budaya Melayu di dalam sebuah kapal layar Melayu yang bernama Sukma Angin. Ketinggian pengetahuan pelayaran dan penjelasan terperinci mengenai aspek pemikiran masyarakat dan latar masa perang dunia kedua, menjadikan karya besar SN Arenawati ini wajib dibaca oleh peminat sastera.

Di dalam novel ini, SN Arenawati menjelaskan setiap satu komponen kapal layar, baik dari segi pemilihan kayunya sewaktu pembinaan, lubang dan sambungan kapal sewaktu pemasangan kapal layar, tiang layar dan kedudukan tertentu kapal layar sewaktu kapal ini berada di lautan dan peranan dan jiwa krew Sukma Angin sewaktu menghadapi masalah-masalah sewaktu pelayaran. Selain itu juga, SN Arenawati juga menukilkan bagaimana corak budaya masyarakat Asia Tenggara yang berada di bawah cengkaman penjajah, Belanda dan Inggeris dan kepintaran penduduk tempatan dalam menangani kerenah penjajah yang menjarah harta dan khazanah tanah air. Di dalam novel ini, semangat jati diri dan kebanggaan menjadi bangsa Melayu yang menguasai daratan dan lautan amat pekat dihidangkan pengarang. Kepintaran reka cipta dan pengurusan kapal di tengah lautan yang masih dihuni peperangan, keteguhan terhadap agama dan adat setempat sungguhpun terpaksa menghadapi situasi yang menggoyahkan pegangan dan ketelitian dan kepekaan terhadap unsur-unsur alam telah menjadikan novel ini sangat berharga. Yang paling mengujakan adalah apabila SN Arenawati menjelaskan bermacam-macam nama angin berserta sifatnya serta pelbagai bentuk ombak di lautan tertentu dengan fiilnya tersendiri.


Selain itu, cerita yang berlatarkan pelayaran Sukma Angin, seolah-olah membawa pembaca untuk ikut sama mengunjungi pelabuhan demi pelabuhan – dari Makasar, Sulawesi, singgah sebentar di Singapura dan Johor, melencong sekali ke Perth, Australia, sebelum meneruskan pelayaran hingga ke Durban, Afrika Selatan. Bagi pembaca yang terasa asing dari dunia laut, SN Arenawati bijak menggunakan watak Darusi yang tabah, sebagai nakhoda yang baru dilatih, untuk membantu pembaca mendalami setiap pengetahuan yang diperlukan dalam pelayaran di lautan. Selain daripada ilmu bantu pelayaran yang padat, SN Arenawati juga mengetengahkan latar sejarah di Asia Tenggara sewaktu serangan Jepun.

Penggunaan bahasa yang ringkas, namun masih tegar semangat kemelayuannya, menjadikan novel ini memerlukan kesabaran sebelum pembaca menemui inti yang mengikat, supaya selesai membaca novel ini sampai ke hujung. Kadangkala penceritaan yang berkisar di lautan dirasakan agak membosankan, namun jika direnung kembali, ternyata terdapat elemen yang penting ingin diketengahkan pengarang supaya novel ini menjadi kuat dan mempunyai kesinambungan antara bab demi bab. Selain itu, pembaca juga diperkenalkan dengan watak yang terdiri daripada latar belakang kebudayaan yang pelbagai, daripada pegawai penjajah, sehinggalah tukang masak di atas kapal, supaya pemikiran setiap dari mereka dapat didalami dan dihayati. Yang menarik mengenai sudut ini adalah apabila pengarang menukilkan adat sirik, milik masyarakat Makasar, seperti mana dijelaskan dalam pantun mereka;

Biar tujuh kali dibuang negeri,
Walau sembilan kali dipenjara,
Aku tak akan jera,
Apabila sirik akan hilang,
Di sinilah erti dan peranan badik mereka.


Kesimpulannnya, novel ini wajib dibaca bagi pencinta sastera Melayu. Gaya penyampaian dan ilmu yang dikongsi pengarang mampu menghidupkan semangat kebangsaan di samping meningkatkan jati diri, sebagai seorang Melayu Islam. Tambahan, novel ini akan menjadi suatu pengalaman baru buat pembaca, baik yang meminati bidang pelayaran atau yang mahu menekuni kekayaan khazanah bangsa.



Sukma Angin bukan sekadar riwayat sebuah kapal. Ia merakamkan keagungan bangsa Melayu dalam ritual, ilmu serta seni pertukangan, pelayaran dan perniagaan maritim. Arena Wati, Sasterawan Negara yang kelima, dalam novel ini mengimbas keagungan lampau itu dalam hubungan Sukma Angin sebagi "kapal dagang Melayu tradisional yang terakhir". Oleh itu, novel ini meninggalkan kesan nostagia, juga rasa benci terhadap penjajah yang berhasrat untuk melumpuhkan penguasaan maritim bangsa Melayu di rantau ini. Dunia protagonis novel ini ialah dunia Melayu dan Eropah, watak yang mengerti akan agama dan budayanya, serta prihatin terhadap perjuangan kemerdekaan yang dijalin dengan begitu terperinci, indah lagi dramatik. Cakupan pemikirannya amat memikat, sehinggakah apabila protagonis samudera bernama Sukma Angin, berganding dengan pelaut telah berhasil mengapungkan suatu renungan seni dan intelektual tentang budaya, sejarah dan falsafah yang segar. Dalam kesusasteraan Melayu moden, belum ada pengarang yang boleh menandingi Arena Wati dalam menggambarkan dan menghidangkan dunia pelaut sebagai cereka. Kearifan pengarang mengeksploitasi ilmu maritim ke dalam cereka menjadikan novel ini menarik dan wajar dibaca serta dihayati oleh pembaca daripada pelbagai latar belakang kehidupan. – Sinopsis, Sukma Angin.

No comments: