Oleh: Muhammad Lutfi Ishak
http://muhammadlutfi.blogspot.com
Disiar di Mingguan Malaysia 29 Mac 2009
Ketika membicarakan beberapa persoalan tentang masa depan kebebasan dan dunia politik kontemporari dalam bukunya The Future Of Freedom, Fareed Zakaria (2004) mengungkapkan beberapa sisi gelap demokrasi. Menurut Fareed Zakaria, demokrasi boleh mengubah dan membentuk persepsi. Beliau mengambil kesenian sebagai contoh. Menurutnya, penilaian seni pada zaman moden menekankan kuantiti dan meminggirkan kualiti. Maksudnya, sesuatu objek seni tersebut tidak lagi dinilai dari sudut estetikanya, tetapi berapa ramai yang menyukainya. Kualiti sudah menjadi ‘angka’ dan bersifat duniawi semata-mata. Fareed Zakaria menggambarkan pandangan budaya popular yang mendominasi pandangan dunia pascamoden dengan tepat.
Pandangan tersebut bukanlah baharu malah sudah mengukuhkan pandangan dalam dunia keilmuan khasnya sejak August Comte menyisihkan pandangan ‘metafizik’ dan mengutarakan hujah positivistiknya. Malah, Rene Geunon seorang filsuf dan sarjana perbandingan peradaban Perancis memberi julukan ‘Rejim Kuantitatif’ kepada paruh pertama abad ke-20 kerana faham kuantitatif menjadi kerangka kepada semua hal (Osman Bakar, 1997).
Pandangan bersifat kuantitatif ini mengundang beberapa persoalan. Persoalan itu wujud akibat kecenderungan pandangan kuantitatif yang menerapkannya untuk keseluruhan mauduk seni termasuk hasil kreatif dalam bentuk penulisan. Hal ini kerana hasil penulisan kreatif seperti novel dan puisi mempunyai keperibadian yang kukuh dan tradisi yang panjang dalam tamadun manusia. Memang, pasaran lebih luas dan berkuasa namun hasil penulisan kreatif sering lahir dan berkembang untuk menghancurkan dominasi negatif dan mempertahankan kebenaran.
Novel Animal Farm tulisan George Orwell misalnya – kalaupun mempunyai beberapa lapis makna dan tujuan, namun, kepelbagaian maknanya itu tentulah masih bersangkutan dengan kebuasan komunisme dan tujuannya tentulah untuk mengkritik sikap dan tipu daya pemimpin komunis pada zaman tersebut. Tulisan Steinbeck, jika kita mengambil suara dari luar benua Eropah, sentiasa mengkritik amalan perhambaan di Amerika Syarikat. Victor Hugo, seorang sasterawan legenda dari Perancis, mengkritik sisi gelap revolusi dalam novelnya Les Miserable. Malah, kalau mahu berundur jauh ke belakang, Nabi Muhammad S.A.W jelas memuji puisi-puisi Hasan bin Tsabit kerana penyair tersebut menjawab celaan dan fitnah yang ditujukan kepada baginda dalam puisi-puisinya.
Jelaslah, soal mempertahankan kebenaran dalam karya sastera bukanlah pengalaman baharu dalam dunia kesusasteraan dan disepakati secara sejagat. Oleh sebab itu, ramai sekali intelektual yang mengukuhkan pandangan ini. Roland Barthes dalam bukunya, Penulisan Pada Tahap Kosong melihat sesuatu hasil penulisan yang murni sering lahir daripada wadah dan perjuangan. (1988 : 10). Malah, hasil sastera pernah menduduki tempat istimewa dalam dunia ilmu sebelum kedatangan wujudnya ilmu falsafah.
Jarang-jarang hasil sastera yang agung lahir daripada kehendak murahan masyarakat. Hasil penulisan kreatif sering di depan untuk meruntuhkan dominasi yang negatif termasuk kuasa pasaran yang jelas mengikut kemahuan dan cita rasa pembaca semata-mata. Soalnya, dengan mengikuti kehendak pasaran, apakah kemungkinan yang boleh dimiliki oleh hasil penulisan kreatif lebih-lebih lagi pada zaman ‘kematian makna dan pengarang’? Berkompromi dengan kehendak pasaran bukan sahaja berpotensi melunturkan estetika dan melunturkan perwatakan asli penulisan – malah, mungkin akan menghilangkan aspirasi dan idea dalam hasil penulisan itu sendiri, yang menjadi satu tradisi panjang sejak manusia mula mengenal idea besar dalam karya kreatif. Di sini, penulisan kreatif sering berkonflik dengan faham kuantitatif.
Biarpun begitu, tradisi kesusasteraan ini akan terus dicabar pandangan kuantitatif dan popular. Perkembangan di Malaysia sendiri menunjukkan faham ini terus mencengkam dunia kesusasteraannya. Lambakan novel popular dan hasil jualan yang laris terhadap novel-novel popular menunjukkan realiti yang berlaku. Oleh itu, tidaklah menghairankan apabila timbulnya beberapa pandangan tentang pentingnya dunia penulisan kreatif disesuaikan dengan kehendak masyarakat seperti yang pernah diutarakan oleh Ahadiat Akashah dalam satu wawancara dengan Dewan Sastera edisi Oktober 2006. Malah, beliau turut menuduh, tulisan yang sukar difahami sebenarnya tidak menyumbang apa-apa selain melempar seseorang pengarang ke dalam dunia syok sendiri. Sebagai seorang penulis sastera popular yang mewakili aliran ini, pandangan beliau bolehlah dijadikan satu hujah bahawa memang wujud golongan yang sangat ekstrem terhadap pandangan kuantitatif.
Faham kuantitatif sebenarnya satu cabaran dalam dunia sastera moden di Malaysia. Sama ada penulis menyukainya atau tidak, faham ini akan terus berkembang dan mencabar faham kualititatif yang menjadi faham konvensional sastera Melayu. Tidak mustahil faham kuantitatif akan menjadi satu faham perdana dan menolak faham kualitatif ke pinggiran. Oleh sebab itu, penulis sepatutnya mempunyai kekuatan dan prinsip kepenulisan yang jelas agar tidak terlarut dalam faham tersebut.
Analogi Plato tentang empat orang pengemis buta (blind beggars) bertemu gajah menarik untuk dikaitkan dengan konteks tulisan ini. Ketika berjumpa dengan gajah, keempat-empat pengemis ini menggambarkan pengalaman yang dialami oleh mereka. Seorang pengemis mengatakan bahawa gajah seperti ular apabila memegang belalai. Seorang pengemis lagi menafikannya kerana berpendapat gajah sebenarnya seperti tiang rumah apabila dia memegang kaki. Pendapat itu juga dinafikan oleh pengemis yang lain kerana dia merasakan gajah seperti tali apabila memegang ekor. Pengemis yang keempat menafikan pendapat ketiga-tiga kawannya dengan mengatakan bahawa gajah sebenarnya seperti selimut apabila tangannya menyentuh telinga gajah tersebut.
Perbandingan ‘gajah’ itu digunakan Plato bertujuan membuktikan bahawa panca indera tidak dapat memberikan kebenaran dan cuba mengukuhkan cengkaman rasionalisme dalam falsafah ilmu (epistemologi). Namun pada kali ini analogi tersebut cuba membawa tafsiran bahawa apabila kita berada dalam situasi yang tidak lengkap, apa sahaja yang ditanggapi akan tersasar dan salah. Kegagalan mendapatkan sumber dan maklumat yang benar serta keengganan kita menerima kebenaran samalah seperti pergi berperang tanpa alat dan persiapan yang cukup dan tidak cukup setakat itu, kita mengharapkan kemenangan pula. Jadi, tanpa kelengkapan yang lengkap (buta) pastilah kebenaran (gajah) tidak dapat diketahui seadanya.
Dalam Risalah untuk Kaum Muslimin, Syed Naquib al-Attas (2001) memperjelas konsep keadilan daripada perspektif Islam. Menurut beliau, adil beerti 'keadaan di mana sesuatu itu berada tepat pada tempatnya'. Seorang guru diberikan tugas mengajar kepadanya atas kapasiti ilmu dan tabiatnya yang memang berkemampuan untuk melaksanakan tugas itu. Tetapi jika sebaliknya yang berlaku, itu adalah zalim. Zalim menurut Syed Naquib Al-Attas (2001) ialah 'keadaan di mana orang-orang yang diberikan tanggungjawab, tugas dan amanah yang tiada layak baginya masing-masing, kerana kedudukan dan bawaan dirinya tiada memadai bagi sifat tanggungjawab, tugas dan amanah yang diberikan kepadanya itu. Malah, Syed Naquib berpendapat untuk berlaku adil ilmu yang benar memainkan peranan penting untuk merealisasikannya. Ketiadaan ilmu yang benar atau kejahilan adalah faktor tercetusnya kezaliman.
Kejahilan, seperti yang dipetik daripada kitab Lisan al-Arab karya Ibn Manzur oleh Wan Nor Wan Daud dalam bukunya yang terbaharu, Masyarakat Islam Hadhari, Suatu Tinjauan Epistemologi dan Kependidikan ke Arah Penyatuan Pemikiran Bangsa terbahagi kepada dua jenis. Yang pertama ialah kejahilan ringan. Kejahilan jenis ini disebabkan kurangnya ilmu atas sesuatu subjek yang sepatutnya diketahui. Kejahilan yang kedua pula ialah kejahilan berat. Kejahilan jenis ini diakibatkan keyakinan yang salah yang bertentangan dengan fakta, meyakini sesuatu yang berbeza dengan realiti sesuatu itu sendiri, ataupun melakukan sesuatu dengan cara yang berbeza dengan yang seharusnya. Walaupun kedua-dua kejahilan itu berada pada tingkat yang berbeza dan disebabkan faktor yang berlainan namun kesannya adalah jelas iaitu penolakan dan penafian kebenaran (Wan Nor Wan Daud, 2006).
Oleh itu, bersandarkan perspektif tersebut maka wajiblah golongan penulis memikirkan sekali gus memahami konsep-konsep penting ini agar tidak mengakibatkan kezaliman dalam dunia kesusasteraan berlaku. Kezaliman tidak semestinya berlaku apabila seseorang itu menghunuskan pedang lalu membunuh manusia yang tidak berdosa atau membunuh diri sendiri. Mengambil hak orang lain, menerima tanggungjawab yang tidak mampu dipikul, menulis berdasarkan emosi semata-mata juga merupakan sejenis kezaliman. Jika kita melihat aktiviti penulisan kreatif sebagai suatu aktiviti penyebaran ilmu, tentulah tahap kezaliman itu lebih teruk lagi.
Ibn. Hazm misalnya telah menyatakan betapa pentingnya seseorang itu menghindarkan diri daripada niat-niat keduniaan ketika menceburi dunia keilmuan. Menurut Ibn. Hazm, sikap memperalatkan ilmu untuk mendapatkan kekayaan akan menyebabkan kerugian bukan sahaja kerana menggunakan cara yang paling lambat untuk mendapatkan kekayaan malah telah meletakkan nilai ilmu terlalu murah. Jika pandangan Ibn. Hazm ini diambil kira dalam konteks dunia kesesusasteraan kontemporari, maka, penulisan yang berbentuk popular yang bertujuan untuk mendapatkan keuntungan material tentunya akan menjadi agen untuk menghancurkan masyarakat. Hal ini tentunya tidak mustahil kerana kebanyakan karya popular yang berada dalam pasaran hanya mementingkan aspek emosi dan bertujuan untuk menimbulkan keharuan dan keseronokan yang palsu. Penulisan sebegini tentunya hanya menyemarakkan hedonisme dalam masyarakat dan mengukuhkan hedonisme itu agar terus menjadi nilai hidup. Ataupun, jika tidak menyemarakkan hedonisme, namun, kebanyakan karya yang berkiblatkan fahaman kuantitatif ini tetap mengalihkan perhatian pembaca daripada pelbagai realiti kehidupan yang menuntut ketinggian pemikiran juga untuk menyelesaikannya.
Sebagai kesimpulannya, penghayatan konsep-konsep yang disebutkan tadi sangat penting. Kegagalan untuk memahami dan menerapkannya sebagai falsafah kepenulisan seseorang pengkarya ketika berkarya bukan sahaja menyebabkan penulis dianggap tidak berprinsip, tidak berilmu, tidak sedarkan diri, dan boleh dijadikan bidak-bidak catur dalam mengatur kepentingan orang lain malah akan menyebabkan pelbagai kezaliman dan kerosakan dalam skala yang lebih luas. Jika perkara ini terjadi, ironisnya, yang menyemarakkannya kezaliman itu, ialah penulis itu sendiri.
Saturday, April 18, 2009
Faham Kuantitatif dan Prinsip Penulis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment