http://rebeccailham.blogspot.com
Pertanyaan Sdr Syukri di laman LSS
Adelaide:
"Saudari nampaknya cenderung membuat cerpen dengan menggunakan teknik
anti-plot atau dialog. Boleh saudari kongsikan kepada sahabat sastera
sekalian apakah rujukan yang saudari gunakan untuk menghasilkan karya
berbentuk begini. (rujukan pengarangan) . Dan apakah saranan saudari
untuk sahabat-sahabat kita yang mahu juga menghasilkan karya seperti ini."
Jawapan Rebecca Ilham:
Saya tidak mempunyai rujukan atau metodologi khusus, selain sentiasa
memastikan masa diisi dengan membaca. Fikiran saya begini: bacalah
sebanyak termampu kerana informasi yang dihadam mungkin akan berguna
suatu masa nanti, jika tidak digunakan sebagai bahan penulisan sekali
pun, ia akan mengayakan pengetahuan. Tiada kerugian di situ. Namun
alhamdulillah, banyak juga material bacaan lalu yang dapat saya
gunakan dalam penulisan kemudiannya. Selain itu, saya juga meski
jarang berpeluang menekur peti televisyen, tetapi kadang kala ada
gunanya juga membiarkan tv terpasang tatkala muzik dari komputer juga
berkumandang semasa menyelesaikan tugasan akademik. Informasi tentang
Taim dalam Perca-Perca Cinta Untuk Palestina (PPCUP) misalnya, saya
perolehi melalui rancangan masakan "Throwdown with Bobby Flay" di
saluran Food Network yang mnejadi saluran default saya sewaktu cuti
musim sejuk tempoh hari.
Informasi daripada background knowledge ini andai relevan dengan karya
yang sedang diperam atau dikerjakan akan diikuti dengan rujukan lebih
dalam. Mengambil PPCUP lagi sebagai contoh, pada awalnya saya ingin
menjadikan kaffiyeh sebagai pusat penceritaan, namun saban hari
meladeni laman agensi-agensi berita antarabangsa (dan capaian URL yang
dikirimkan seorang teman) menimbulkan kejelekan terhadap Majlis
Keselamatan PBB. Saya teringatkan tentang kedudukan US sebagai ahli
tetap Majlis Keselamatan yang mempunyai kuasa veto (salah satu
pengisian subjek Sejarah, saya lupa sewaktu tingkatan berapa), maka
pembacaan tentang PBB bermula.
Pembacaan itu menemukan saya dengan United Nations Plaza dan Bangunan
Sekretariat. Sementelah sedang mencari lokasi untuk karya, maka saya
berkeputusan untuk menempatkan dua watak (Wafeya dan babanya Isham -
nama Isham tidak saya pilih sewenang-wenang, maksudnya pelindung maka
sebagai bapa, dia terlalu ingin melindungi anak gadisnya
Wafeya)berhampiran kompleks pejabat PBB itu. Dua beranak itu berada di
sebuah restoran dan menyantap hidangan Barat kerana saya ingin
mneyampaikan mesej asimilasi dan integrasi watak dengan persekitaran
tanpa melupakan asal usul sendiri. Argh, tidakkah di mana bumi dipijak
di situ langit dijunjung? Dan Wafeya masih bercita-cita untuk pulang
ke Palestin kerana hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu
di negeri sendiri.
Tetapi menulis juga KERJA LANGIT. Acapkali saya sendiri tak tahu dari
mana datangnya ilham (sebuah buku tafsir Al Quran yang sedang saya
baca mendefinisikan ia sebagai "divine inspiration" dan saya fikir
itulah terjemahan paling tepat) dan apakala menemukan hubung kait
antara material bacaan, saya yakin itu adalah kehendak Tuhan jua. Oleh
itu, saya kira nawaitu kita menulis sangat penting kerana asal sahaja
niat kita baik dan kita berusaha ke arah itu, Tuhan akan menunjukkan
jalan. Sekadar berkongsi, nawaitu saya adalah untuk mendidik; khalayak
dan diri sendiri. Oleh itu, saya berazam untuk tidak memperbodohkan
pembaca dengan menulis sambalewa. Biar pun membaca dan menjalankan
kajian untuk mengumpul bahan penulisan kadang kala memeritkan dan
mengambil masa, tetapi saya fikir saya terhutang kepada khalayak
pembaca sebuah karya yang matang dan mampu mencabar intelek mereka.
Tulislah apa yang kamu mahu baca - ini moto peribadi saya.
Selain itu, Sdr Syukri juga ada menyebut tentang 'penyelesaian' yang
ditawarkan dalam PPCUP. Jika anda membaca karya-karya saya yang
terdahulu (sejak setahun setengah yang lalu) barangkali anda perasan
bahawa ini memang formula yang saya gunakan sejak 'ditegur' oleh Abang
FT melalui kata pengantar dalam Antologi Jalan Jauh ke Ramallah (GPH,
2007). Kata Abanag FT:
"Keduanya,'kesedara n sosial' dalam karya ini terasa ketara. Hampir
setiap karya memuatkan resah dan gelisah ummah. Hampir setiap karya
memuatkan kesedaran tentang penyakit dan kelesuan yang umat Islam
tanggung. Sayang, kalimat tepatnya malang, 'kesedaran sosial' dalam
karya-karya mereka ini tiak diterjemah dengan 'sikap sosial' yang
pernah Malek Ben Nabi sebut sebagai tuntutan paling penting dari
kesedaran tersebut."
Apa itu sikap sosial? Kata FT lagi:
" ' Sikap sosial' ialah apabila intelektual mengesani masalah yang
mengulit masyarakatnya tetapi bukan sekadar membincangkan, mereka juga
harus menyediakan pelan bertindak untuk keluar darinya."
Penulis bukan sekadar pemerhati, tetapi juga pemikir. Tambah pula kita
rata-rata adalah graduan luar negara yang pernah jadi creme de la
creme negara, jadi ayuh, mari kita manfaatkan peluang dan kelebihan
fikrah kurniaan Tuhan untuk beramal!
Wassalam,
RI, Colorado.
Wednesday, February 4, 2009
Bagaimana Saya Menulis?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
HEBAT!
TERPAKU SEKETIKA..
salam berKARYA..
Opsst..
Salam Ziarah menziarahi..
Saya telah terbaca karya anda di Ruangan Sastera - Berita Harian..
Hebat!
Tahniah
Post a Comment