Wednesday, February 4, 2009

Bagaimana Saya Menulis?

http://rebeccailham.blogspot.com

Pertanyaan Sdr Syukri di laman LSS Adelaide:

"Saudari nampaknya cenderung membuat cerpen dengan menggunakan teknik anti-plot atau dialog. Boleh saudari kongsikan kepada sahabat sastera sekalian apakah rujukan yang saudari gunakan untuk menghasilkan karya berbentuk begini. (rujukan pengarangan) . Dan apakah saranan saudari untuk sahabat-sahabat kita yang mahu juga menghasilkan karya seperti ini."

Jawapan Rebecca Ilham:

Saya tidak mempunyai rujukan atau metodologi khusus, selain sentiasa memastikan masa diisi dengan membaca. Fikiran saya begini: bacalah sebanyak termampu kerana informasi yang dihadam mungkin akan berguna suatu masa nanti, jika tidak digunakan sebagai bahan penulisan sekali pun, ia akan mengayakan pengetahuan. Tiada kerugian di situ. Namun alhamdulillah, banyak juga material bacaan lalu yang dapat saya gunakan dalam penulisan kemudiannya. Selain itu, saya juga meski jarang berpeluang menekur peti televisyen, tetapi kadang kala ada gunanya juga membiarkan tv terpasang tatkala muzik dari komputer juga berkumandang semasa menyelesaikan tugasan akademik. Informasi tentang Taim dalam Perca-Perca Cinta Untuk Palestina (PPCUP) misalnya, saya perolehi melalui rancangan masakan "Throwdown with Bobby Flay" di saluran Food Network yang mnejadi saluran default saya sewaktu cuti musim sejuk tempoh hari.

Informasi daripada background knowledge ini andai relevan dengan karya yang sedang diperam atau dikerjakan akan diikuti dengan rujukan lebih dalam. Mengambil PPCUP lagi sebagai contoh, pada awalnya saya ingin menjadikan kaffiyeh sebagai pusat penceritaan, namun saban hari meladeni laman agensi-agensi berita antarabangsa (dan capaian URL yang dikirimkan seorang teman) menimbulkan kejelekan terhadap Majlis Keselamatan PBB. Saya teringatkan tentang kedudukan US sebagai ahli tetap Majlis Keselamatan yang mempunyai kuasa veto (salah satu pengisian subjek Sejarah, saya lupa sewaktu tingkatan berapa), maka pembacaan tentang PBB bermula.

Pembacaan itu menemukan saya dengan United Nations Plaza dan Bangunan Sekretariat. Sementelah sedang mencari lokasi untuk karya, maka saya berkeputusan untuk menempatkan dua watak (Wafeya dan babanya Isham - nama Isham tidak saya pilih sewenang-wenang, maksudnya pelindung maka sebagai bapa, dia terlalu ingin melindungi anak gadisnya Wafeya)berhampiran kompleks pejabat PBB itu. Dua beranak itu berada di sebuah restoran dan menyantap hidangan Barat kerana saya ingin mneyampaikan mesej asimilasi dan integrasi watak dengan persekitaran tanpa melupakan asal usul sendiri. Argh, tidakkah di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung? Dan Wafeya masih bercita-cita untuk pulang ke Palestin kerana hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negeri sendiri.

Tetapi menulis juga KERJA LANGIT. Acapkali saya sendiri tak tahu dari mana datangnya ilham (sebuah buku tafsir Al Quran yang sedang saya baca mendefinisikan ia sebagai "divine inspiration" dan saya fikir itulah terjemahan paling tepat) dan apakala menemukan hubung kait antara material bacaan, saya yakin itu adalah kehendak Tuhan jua. Oleh itu, saya kira nawaitu kita menulis sangat penting kerana asal sahaja niat kita baik dan kita berusaha ke arah itu, Tuhan akan menunjukkan jalan. Sekadar berkongsi, nawaitu saya adalah untuk mendidik; khalayak dan diri sendiri. Oleh itu, saya berazam untuk tidak memperbodohkan pembaca dengan menulis sambalewa. Biar pun membaca dan menjalankan kajian untuk mengumpul bahan penulisan kadang kala memeritkan dan mengambil masa, tetapi saya fikir saya terhutang kepada khalayak pembaca sebuah karya yang matang dan mampu mencabar intelek mereka. Tulislah apa yang kamu mahu baca - ini moto peribadi saya.

Selain itu, Sdr Syukri juga ada menyebut tentang 'penyelesaian' yang ditawarkan dalam PPCUP. Jika anda membaca karya-karya saya yang terdahulu (sejak setahun setengah yang lalu) barangkali anda perasan bahawa ini memang formula yang saya gunakan sejak 'ditegur' oleh Abang FT melalui kata pengantar dalam Antologi Jalan Jauh ke Ramallah (GPH, 2007). Kata Abanag FT:

"Keduanya,'kesedara n sosial' dalam karya ini terasa ketara. Hampir setiap karya memuatkan resah dan gelisah ummah. Hampir setiap karya memuatkan kesedaran tentang penyakit dan kelesuan yang umat Islam tanggung. Sayang, kalimat tepatnya malang, 'kesedaran sosial' dalam karya-karya mereka ini tiak diterjemah dengan 'sikap sosial' yang pernah Malek Ben Nabi sebut sebagai tuntutan paling penting dari kesedaran tersebut."


Apa itu sikap sosial? Kata FT lagi:

" ' Sikap sosial' ialah apabila intelektual mengesani masalah yang mengulit masyarakatnya tetapi bukan sekadar membincangkan, mereka juga harus menyediakan pelan bertindak untuk keluar darinya."


Penulis bukan sekadar pemerhati, tetapi juga pemikir. Tambah pula kita rata-rata adalah graduan luar negara yang pernah jadi creme de la creme negara, jadi ayuh, mari kita manfaatkan peluang dan kelebihan fikrah kurniaan Tuhan untuk beramal!

Wassalam,
RI, Colorado.

3 comments:

Dearie Pearls said...

HEBAT!

TERPAKU SEKETIKA..

salam berKARYA..

Dearie Pearls said...

Opsst..
Salam Ziarah menziarahi..
Saya telah terbaca karya anda di Ruangan Sastera - Berita Harian..

Hebat!

Anonymous said...

Tahniah