Friday, September 26, 2008

Karya-karya ahli GKLN di akhbar (september)

Kehangatan kempen 'Jom Tembus Media' semakin hangat apabila semakin ramai ahli-ahli GKLN menyahut cabaran untuk menghantar karya-karya ke media cetak. Berikut antara karya-karya yang berjaya menembusi akhbar Berita Harian dan Mingguan Malaysia sepanjang September ini.

Sarah Mohd Shukor, Rusia. Dua puisinya tersiar selang seminggu di Berita Harian dan Mingguan Malaysia


1) Pada Tanah Ini

Pada tanah ini yang memerah
ada darah datukku
dahulu menghunus parang
membuang petualang
terkubur bukan kalah
dialah pahlawan bertaruh nyawa
demi tanah ini
bergadai jasad sangguplah jua.

Demi tanah ini tempat berdiri
galang-ganti harga diri
tanah junjungan pertiwi
asyiknya idamkan berdiri sendiri
bunuh itu British!
usir itu Jepun!
biar bercerai kasih
takkan dia berganjak sedikit pun.

Tanah ini tanah bebas
kerana tangan-tangan berdarah itu
melihat neraca hidup seperti roda
yang zalim pastinya tewas
yang benar menanglah jua.

Jaga tanah ini baik-baik
jangan biar retak
jangan biar dipajak
tanah ini ada harta
dari tangan berdarah dahulu
buat warga bumi merdeka.

Sarah Mohd Shukor
16 Jun 2008
Moscow, Rusia


2) Monolog Anak Merdeka

Merdeka itu
kisahnya berdarah
mayat bersepah
laung rakyat penuh amarah
British menjajah
Jepun meludah
Komunis melapah
pada pertiwi yang cekal
kala dahi ditunjal-tunjal.

Merdeka itu
datangnya bukan senang
datang bukan kerana dagang
carik-carik surat dilayang
orang tak dengar, tak pandang
lagi dihina katanya Malaya ini belum matang.

Merdeka itu
cerakin ilmu si pemimpin pertiwi
penuh diplomasi
canai integrasi
disuruh emosi letak ke tepi
demi maruah, ego meninggi
demi merdeka, sepakat termetrai.

Merdeka itu
lahirnya bukan mudah
pertahan berganda payah
semakin zaman berubah
semakin sejarah dimamah tanah
semakin kita gah
semakin kita pandang renyah
pada hartanya merdeka
pada hartanya jiwa bangsa
pada hartanya bebas suara
pada hartanya bangsa kita!

Merdeka itu
boleh luput
andai,
diri dinyah-patriotismekan
jiwa dijajah idealis moden syaitan
bangsa dituba sumpah sesama insan.
Andai,
pembelot dinomborsatukan
kesatuan dinomborduakan
dan Tuhan di buang dari ingatan.

Merdeka itu
kita coret tatkala kita masih di bawah.
Mahukah,
ia hilang setelah angkasa berjaya kita cecah?

Sarah Mohd Shukor
30 Ogos 2008
Moscow, Rusia.



Dakwat Fikir (atau Abd Rahim Zainudin), Morocco. Puisinya tersiar di Berita Harian

Azimat Seru

Fikir itu membawa aku ke satu jazirah
langsung ke sudut itu, Bakkah.
Betapa lembang itu gersang dulu
kering, berkuping-kuping
saat rekah umat bagai takkan ketemu
noktah aman kian kelabu.

Namun kaurenjis jua liurmu
kendati kian likat, kelat
buat damak-damak hidayah
menusuk liat ke lurah hati
yang gelap nan pekat.

Kaukikis kudis kepuakan, lantas
kausapu penawar syahadah
di atas tali Muhajirin dan Ansar
beralaskan sutera ukhuwah.

Pernah,
kauratip sendu kasihnya Ilah,
kauratap sayu hilangnya Khadijah,
kautatap kaku syahidnya Hamzah,
kaurentap ego pamanmu turus Jahiliah.

Kini laungan yang kauserak
mencakah seinci demi seinci
hingga terendus aku haruman itu
jauh di khatulistiwa ini
dek gaharu azimat serumu.

Oleh Dakwat Fikir
14 Mac 2008, 08.40,
Bouhlal, Rabat.

No comments: