Tuesday, March 11, 2008

Hamka dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Oleh Muhammad Shah Ahmad Nor





Buku tulisan HAMKA berkisar tentang soal jawab agama adalah buku karya HAMKA yang pertama dibaca oleh saya. Mungkin, buku tersebut masih belum mencerahkan saya kepada ketokohan sastera Pak HAMKA. Beberapa tahun selepas itu, keberadaan di KMB memberi lebih ruang kepada saya dalam mendalami tulisan HAMKA, tapi kini dalam arena tafsir. Sekali lagi, Tafsir Al-Azhar ini juga pada saya masih belum menonjolkan HAMKA sebagai seniman di samping tokoh dalam bidang dakwah.

Angkatan Baru adalah karya beliau yang pertama saya baca. Karya ini sekalipun pendek, tetapi mesejnya jelas terpapar di dalamnya yang mengisahkan dua tafsiran cinta yang berbeza antara sang suami seorang pendidik bangsa dengan sang isteri seorang yang memuja cinta romantik.

Buku Pemikiran Etika Hamka yang ditulis oleh Abd Rahman Abd Aziz, seorang pensyarah UUM-lah yang benar-benar memberi satu semangat baru saya untuk lebih mendalami tulisan HAMKA. Maka, sekalung ucapan terima kasih buat saudara Shukri kerana meminjamkan saya novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Novel ini secara umumnya berkisar tentang perjuangan seorang pemuda, Zainuddin yang telah ditimpa nasib malang sejak dilahirkan yang akhirnya mendapat pencerahan semangat setelah bertemu dengan gadis Minangkabau, Hayati. Perkenalan awal Zainuddin bersama Hayati telah membuahkan cinta. Mereka berdua telah berjanji untuk hidup bersama. Namun disebabkan status yang berbeza daripada perpekstif adat Minangkabau, pihak keluarga Hayati telah menolak peminangan Zainuddin. Hal ini ditambah lagi dengan pengaruh sahabat Hayati, Khadijah yang cuba memberikan gambaran buruk kepada Hayati tentang ketidakmampuan Zainuddin untuk membina keluarga yang bahagia bersama Hayati kerana kemiskinan Zainuddin.

Akhirnya, Hayati telah memungkiri janjinya untuk menunggu Zainuddin dan telah mengambil keputusan untuk menerima lamaran Aziz, abang kepada Khadijah, seorang kaki judi dan kaki perempuan yang disangka Hayati bakal memberinya kebahagiaan. Akibat daripada pernikahan dua insan ini, telah menyebabkan Zainuddin terlantar sakit selama 2 bulan, namun semangat hidupnya dihidupkan semula oleh Muluk yang membawa kepada penceburan Zainuddin dalam bidang penulisan yang membawa kepada kejayaan hidup beliau.

Setelah habis membacanya, benarlah apa yang ingin disampaikan oleh Abd Rahman daripada bukunya pemikiran etika Hamka, bahawa penulisan Hamka dalam novel bukanlah sekadar novel picisan, tetapi mesej dakwah yang lebih utama untuk disampaikan. Apa yang menarik daripada buku antaranya adalah pada mukadimah yang ditulis oleh Hamka sendiri, iaitu beliau menceritakan sedikit sebanyak penentangan yang diterima beliau kerana jarang sekali seorang ulama menulis novel percintaan sepertinya. Namun penentangan itu tidak bertahan lama, kerana masyarakat telah mula sedar akan kepentingan seni dan sastera dalam mesej dakwah. Hal ini selari dengan apa yang diungkapkan oleh Syeikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam mukadimah kitab Al—Munthalaq yang mengungkapkan mesej yang lebih kurang sama dengan kata-kata Hamka.

Dari segi metod penulisan, saya dapati Pak Hamka gemar menampilkan penulisan surat antara dua watak yang berkasih sayang. Hal yang sama juga saya dapati daripada cerpan Angkatan Baru. Pada pendapat saya, hal ini akan lebih menyebabkan pembaca cuba menghayati watak dalam novel. Misalnya, begitu banyak perutusan surat antara Zainuddin dan Hayati telah dimuatkan dalam novel ini. Antara kelebihan kaedah ini bagi saya adalah penulis akan lebih mudah dalam menggambarkan isi hati para watak dalam cerita.

Seperti yang telah diterangkan, bahawa matlamat Hamka adalah demi dakwah. Maka, di antara persoalan yang ingin disampaikan adalah persoalan dua taraf cinta yang berbeza, iaitu cinta dan CINTA cuba dibawa oleh Hamka melalui watak Zainuddin dan Hayati. Hal ini ditunjukkan dalam peristiwa pesta keramaian yang diadakan di Padang , sebuah kota yang mempunyai cara hidup yang berbeza dengan dusun. Dalam hal ini, demi ingin melepaskan rindu untuk bertemu jejaka idaman, Zainuddin, Hayati rela mengorbankan busana muslimahnya dan termakan ugut oleh sahabatnya (kalau boleh saya katakana sahabat) Khadijah untuk memakai pakaian yang terdedah yang sekiranya Hayati enggan, maka Hayati tidak akan dibawa ke pesta keramaian yang membawa kepada implikasi tidak dapat bertemu dengan Zainuddin. Kerana cinta Hayati pada Zainuddin, Hayati gagal dalam menuruti perintah Tuhan dalam hal ini.

Ketika dua insan yang berkasih ini bertemu, Zainuddin terkejut atas penampilan ‘kurang sopan’ Hayati. Cinta Zainuddin pada Hayati tidak menghalang Zainuddin untuk mengutus ‘ surat bantahan’ kepada Hayati atas penampilannya yang jelas membelakangi perintah Allah. Perbuatan Zainuddin ini pada saya adalah antara kaedah Hamka untuk memberikan contoh cinta yang suci iaitu cintakan manusia kerana Allah. Teguran Zainuddin pada Hayati bukanlah bertujuan untuk menghina, tetapi adalah manifestasi cinta Zainuddin pada Hayati yang ingin menjaga kekasihnya baik dalam hal kebajikan dunia dan akhirat.

Selain itu, persoalan kebenaran itu terletak pada isi dan bukan pengucapnya juga turut ditampilkan dalam novel ini. Hal ini ditunjukkan oleh watak Muluk, sahabat Zainuddin, seorang perewa ataupun tukang judi yang memberikan ‘tazkirah’ yang paling berkesan kepada Zainuddin tentang perjuangan hidup yang masih luas sekalipun kekasihnya Hayati telah berkahwin dengan Aziz. Sekalipun Zainuddin yang pernah mengaji di pondok, beliau tidak ego dengan mengenepikan nasihat Muluk semata-mata kerana beliau kaki judi. Bahkan kata-kata Muluk-lah yang memberikan beliau suatu titik perubahan dalam hidupnya yang akhirnya membawa beliau kepada kejayaan dalam memberikan cinta pada umat secara amnya.

Mungkin juga Hamka ingin menyampaikan mesej terutamanya kepada golongan pendakwah, janganlah sekali-kali meremehkan sesiapa sahaja sekalipun seseorang itu mungkin seorang penjudi atau pelaku maksiat. Sikap rendah diri Zainuddin kepada Muluk, akhirnya menginsafkan Muluk daripada melakukan perlakuan judi dan sudi menjadi sahabat setia Zainuddin dalam perjuangan penulisannya.

No comments: