Sunday, March 9, 2008

Kenapalah Perlu Sastera Sangat?

OLEH MUHAMMAD SYUKRI ROSLI
http://janjilaxamana.blogspot.com



PERSOALAN ini aku yakin bersimpongang dalam relung hati kalian tatkala membaca tajuk celoteh ini. Kenapalah aku sibuk-sibuk menyeru kalian; budak-budak luar negara yang ditaja bermacam-macam jenis badan, lembaga, korporat atau apa-apa sekalipun, membaca teks yang tidak ada kaitan dengan subjek yang sedang dipelajari di universiti sekarang. Ramai di kalangan kalian, sudah mendengar tentang sastera, barangkali semenjak KOMSAS yang kalian terpaksa hadapi di sekolah dahulu dan sudah berperang dengan soalan-soalan mencabarnya dahulu. Aku pasti, kalian juga merusuh, kenapa pula untuk masa ini, aku datang kembali dengan membawa panji perkataan-perkataan, ingin menjajah kembali wilayah hati kalian yang sudah merdeka daripada soldadu sastera Melayu.

Sebelum aku terus terjun menghunjam tombak-tombak hujah kepada kubu yang mengikat hati kalian, aku ingin bercerita sedikit sebanyak.

Zaman pasca-moden ini, ramai antara makhluk yang berstatus manusia mudah mengukur kejayaan hidup mereka melalui benda yang yang nampak dek bebola mata; seperti rumah banglo besar dua pintu utama, kereta besar empat tayar campur satu tayar ganti, dan helaian-helaian kertas warna-warni yang terpampang wajah Raja dan ditulis nombor berbilang angka. Aku tidak katakan salah kepada kayu ukur yang digunakan dalam menentukan kepanjangan kejayaan manusia itu, tapi pernahkah kalian terfikir, berbaloikah kepanjangan tersebut andai tidak ada kecerdikan dalam menggunakan kertas-kertas bernombor, keindahan dalam penghasilan pintu-pintu banglo, malah tiada nyanyian yang sedap didengar dalam kereta yang mempunyai satu tayar ganti itu. Dan paling dihajati antara tiga itu adalah perasaan aman dan permai dalam menjalani kehidupan di muka bumi. Manusia yang berlabel hamba juga ingin berkongsi kata sesama manusia, memiliki anak yang cukup ajar, dan dikelilingi oleh masyarakat yang tidak menculik budak dalam kekayaan banglo, kereta dan wang. Bagaimana sesebuah negara yang mempunyai rakyat 26 juta misalnya mampu memiliki keamanan dan kepermaian yang diidamkan itu?

Aku tahu kalian juga tahu jawapannya. Pembangunan unsur kedua manusia adalah jawapan yang bergema-gema dari hati kalian. Projek kemajuan rohani yang mega ini bakal menghasilkan budi bahasa budaya kita, masyarakat glokal, kepercayaan agama yang utuh, nilai-nilai murni beretika, sopan santun dan keselamatan sosial. Namun, dapatkah kalian rabai, rasai dan nikmati bagaimana lurah bonjolnya perasaan kerukunan, kebudian, bahasaan, keglokalan, keagamaan, kenilaian, kemurnian, keetikaan, kesopanan dan kesantunan yang menjadi tunjang negara yang aman dan permai itu? Sekali lagi kalian akan menjawab, tentulah tidak dan mustahil dengan menggunakan lima indera ini. Jadi, aku ingin sekali halakan panduan pemikiran kalian ke arah bagaimana kita mencapai puncak kepuasan kehidupan dunia itu sungguhpun tidak dapat dirasa oleh panca indera.

Keamanan dan kepermaian hidup adalah ciri masyarakat yang berperadaban. Peradaban di sini adalah manusia yang hidup benar-benar sebagai manusia, tidak dicemari oleh falsafah kebabunan atau kesiamangan, atau tidak mengamalkan apa-apa tatacara rimba belantara tropika. Hakikat manusia yang mencapai peradaban adalah manusia yang maju dari segi rohani dan fizikal. Aku mendapati dalam era kecanggihan teknologi maklumat ini, manusia sudah mencapai tahap kemajuan jasmani secara total, namun masih mundur dalam pembangunan rohani. Aku juga seperti kalian, mahasiswa yang ditaja oleh sebuah kompeni, yang tidak lari daripada ketinggalan mencapai taraf kemajuan rohani sungguhpun dirian-dirian fizikal sudah pesat membangun. Ingin sekali aku melipur lara pada kalian bagaimana kita sama-sama boleh mencapai kemajuan dan wawasan manusia berperadaban badaniah dan rohaniah secara sekali gus. Tidak lain tidak bukan, adalah dengan melalui salah satu lorong daripada banyak-banyak lorong yang akan membawa kita ke destinasi yang diimpikan iaitu dengan melalui lorong sastera.

Tidak perlulah aku huraikan tema, gaya bahasa atau plot kerana itu sudah kalian belajar. Tapi, apa yang ingin aku ketengahkan di sini adalah persoalan: kenapalah sastera. Secara secara rasminya ditafsirkan oleh Kamus Dewan sebagai kesusasteraan hasil seni (karya tulisan) dlm bentuk prosa atau puisi yg mempunyai ciri-ciri keistimewaan yg tertentu. Dalam hal ini, ingin sekali aku gunakan novel sebagai salah satu perkakas untuk memahamkan kalian dengan lebih lanjut tentang amali sastera ini.

Kalian lihatlah novel, terdiri daripada susunan huruf-huruf yang dikurung dalam ayat-ayat dan disempadankan dalam perenggan-perenggan. Setiap perenggan itu menjadi rakyat-rakyat dalam negara bab dan negara-negara bab membentuk kesatuan sehingga terhasilnya dunia novel. Sebuah novel adalah sebuah jasad yang tidak bermaya dan mati sementara. Dalam penghasilan novel, penulis yang diserabutkan dengan idea dan pemikiran akan menyusunnya semula untuk dihidupkan menjadi sebuah cereka yang mencakup latar tempat, masa, masyarakat, diberi belok-belok serta diletakkan konflik antara watak di sana-sini. Pada sela masa ini, novel itu menjalani `kehidupan' dengan ghairah. Kemudian novel itu akan `mati' semula. Apabila datangnya kalian untuk membacanya, novel itu akan ghairah kembali menjalani `kehidupan.' Ini disebabkan oleh, kalianlah yang menghidupkan kembali cerita dalam novel itu dengan pembacaan.

Untuk penulis dan pembaca novel yang baik; seperti kalian, novel dilihat sebagai satu kesatuan pengalaman manusia yang memiliki ciri kompleks manusia dan berpintal-pintalan dengan pelbagai keperibadian manusia. Melalui kekompleksitian dan kepintal-pintalan peribadi manusia, novel akan membangkitkan kesan emosi dalam diri pembaca, satu demi satu. Kita boleh anologikan sebagai satu masukan makanan ke dalam perut seperti ini; ibu yang memasak makanan mempunyai dua cara untuk memberi anaknya makan. Pertama adalah dengan menonyoh makanan itu ke dalam mulut secara kasar atau menyuap anaknya dengan penuh lemah lembut. Ini juga seperti novel, di mana huluran pengajaran dan peribadi kompleks manusia adalah dengan penuh kasih dan disenangi hati, tidak seperti tonyohan-tonyohan yang keras dan kasar. Seperti seorang ibu yang menyuapkan makanan tadi, kesan pengajaran terhadap perasaan akan lebih menusuk dan lebih berkesan. Inilah kelebihan dalam sastera.

Dalam kesusasteraan yang mempunyai keindahan estatika itu, kalian akan ditarik untuk menilai masyarakat secara langsung atau tidak langsung. Kalian; golongan intelektual yang terpelajar, disara oleh majikan atau kerajaan secara elaun bulanan, perlu menjadi aset yang berguna kembali kepada masyarakat. Memanglah masyarakat memerlukan kepakaran kalian dalam tekonologi, namun; di ruang luar negara ini, kalian mempunyai peluang untuk mengasah bakat keintelektualan itu. Keintelektualan tidaklah berharga seandainya kalian hanya meletakkan nilai pada sijil-sijil sahaja, tapi ia akan menjadi semahal nyawa seandainya kalian memasukkan harga keprihatinan kepada masyarakat, setaraf dengan nilai-nilai graduan kalian. Aku pasti, majikan kalian mahu melahirkan produk yang cemerlang dari segi akademik, sahsiah dan pemikiran. Maka sastera adalah salah satu kenderaan laju untuk kalian memecut mencapai matlamat itu.

Di sini, ingin sekali aku ceritakan bagaimana. Melalui sastera, pelbagai kritikan sosial, tindak tanduk, gerak laku manusia dalam satu-satu situasi akan diceritakan baik dalam genre puisi, cerpen atau novel melalui pelbagai teknik. Ada adegan yang dilalui manusia secara jenaka, ironi, simbolik, satira dan sebagainya. Malah ada juga episod-episod manusia akan dilalui dengan rawan hati, kehibaan, kerinduan, kegundahgulanaan dan ia akan menggerakkan simpati kalian secara dalam dan halus. Selain itu, ia juga membantu kalian melangkau realiti dengan menaiki karpet terbang fantasi yang menjangkau lapis-lapis hidup yang tidak tersampai oleh logik kalian. Ini semua akan menjadi nilai tambah pada kalian dalam mendepani hidup. Secara tidak langsung, kalian akan menokok pengalaman yang akan mematangkan perjalanan kehidupan kalian.

Sastera memperihalkan kehidupan manusia kepada kalian. Ia membenih cinta yang murni, belas kasihan, radang, benci, sabar, rusuh, pongah, suka menunjuk perangai, hasrat untuk menerima atau hasrat untuk menolak dan pelbagai-bagai lagi tindakan yang kalian ambil dalam kehidupan. Ini akan menyedarkan kalian bahawa kita ini manusia sahaja, yang menjalani realiti hidup yang pelbagai. Kita akan mengenali kepelbagaian hidup manusia dan mengenali manusia yang terlibat dalam kepelbagaian itu. Melalui pembacaan teks-teks sastera, kita akan turut sama dilibatkan dalam kepelbagaian kehidupan watak. Sekali lagi ingin aku katakan, ia secara langsung dan tidak langsung akan mengayakan pengalaman kalian. Ini bukan sahaja membantu kalian mengenali diri sendiri, malah juga mengenali manusia secara terus. Nah, hebat tak sastera ini?

Bagi aku, sastera mempunyai kelebihan berbanding dengan teks-teks akademik. Aku melihat sastera mampu mengusik jiwa aku, memanggang seketul daging bernama hati untuk terbakar dengan semangat-semangat padu dan menggerakkan sensitiviti indera aku melalui nada yang dekat dengan kalbu. Aku pasti, ramai orang suka mendengar cerita. Sastera juga bercerita kepada aku. Aku mendengar watak-watak itu bersembang sesama sendiri, berkonflik di dalam hati malah bermonolog seorang diri. Aku tidak dapat tidak terkesan dengan semua itu. Kalau baik watak yang ada dalam teks sastera, maka aku akan sedaya upaya mahu contohi. Kalau jahat wataknya, aku mahu usaha bersungguh-sungguh untuk jauhi. Kemajuan sastera dalam bidang yang dekat dengan jiwa menyebabkan aku lebih senang terkesan jika hanya membaca huraian-huraian yang disusun dalam bentuk point, kata-kata kunci, atau cabang-cabang peta minda.

Jadi, aku pasti kalian sudah berminat dan jatuh cinta pula pada sastera ini. Aku yakin, kalian mahu bersama dalam sastera dan berdamping dengannya dengan asmara-asmara untuk menegakkannya. Tapi, apalah cinta tanpa pengobanan. Pengorbanan kekasih yang bernama sastera itu perlukan adalah pembacaan teks-teksnya dan penghasilan karya-karyanya. Siapa lagi kalau bukan kalian. Maka, aku ada cara untuk bagaimana kalian boleh memikat buah hati bernama sastera itu supaya menjadi pasangan hidup yang membahagiakan rohani kalian iaitu dengan melalui gerbang Lingkaran Sahabat Sastera Adelaide. Selamat datang aku ucapkan.

Rujukan:

Baha Zain, Kenapalah Sastera, Dewan Sastera Februari 2008, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shahnon Ahmad, Gubahan Novel, 1989, Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments: