Saturday, March 15, 2008

Panduan ringkas kepada calon penulis

Oleh: Nisah Haji Haron
(Petikan kertas edaran Bengkel Penulisan Online GKLN-Adabuna)
www.annyss.blogspot.com










i) Format penulisan

Masih ada peserta yang tidak jelas tentang bagaimana format sesebuah manuskrip sepatutnya dihantar kepada editor. Paling utama, bagaimana kedudukan judul dan nama pengarang pada halaman pertama.

Judul seharusnya diletakkan sekitar 2 – 2.5 inci dari jidar (margin) atas. Ertinya, dalam komputer boleh tekan enter 5 kali (single spacing) sebelum menaip judulnya. Di bawah judul, mestilah diletakkan nama pengarang – sama ada nama pena ataupun sebenar (jika pengarang memilih untuk menggunakan nama sebenar).

Pengecualian kepada manuskrip sayembara/pertandingan. Nama pengarang tidak boleh diletakkan pada manuskrip sama sekali.

Jidar sebelah kiri dan kanan pula adalah sekitar 1 inci. Jidar bawah 1.5 ke 2 inci.

Tujuan jidar ini ialah untuk memberi ruang kepada editor membuat suntingan kepada karya. Bayangkan jumlah manuskrip yang mungkin diterima seseorang editor. Secara peribadi, saya akan membaca karya-karya yang diformat dengan lebih kemas berbanding yang padat dengan tulisan serta tidak memberi ruang suntingan.

Pastikan setiap karya ditaip dengan menggunakan double spacing. (Ingat ya, bukan langkau sebaris ataupun satu setengah, tetapi langkau dua – double spacing). Ini sangat asas dan sangat penting bagi memastikan kekemasan manuskrip.

ii) Tanda baca dan lain-lain

Pastikan pengarang menguasai sedikit sebanyak tanda baca yang asas. Contohnya, pada penghujung ayat ada noktah. Tidak perlu tekan space bar sebelum noktah. Tetapi selepas noktah perlu tekan space bar. Begitu juga dengan koma. Saya temui seorang peserta yang berbuat sebaliknya.

Jika mahu menggunakan apa-apa kata asing, seperti kata tertentu dalam bahasa Inggeris, tidak perlu ditaip dalam pengikat kata ( “kata Inggeris”) sebaliknya gunakan huruf condong ataupun italic.

Pastikan juga setiap halaman diberikan nombor muka surat. Jika karya anda diemel dan dicetak editor, dan kemudian halaman-halaman tersebut ditiup angin. Editor akan mengalami kesukaran menyusunnya semula dan karya anda mungkin sahaja akan dilupakan. (worst case scenario).

No comments: