Saturday, February 23, 2008

Menghantar Karya ke Media- 10 minit sahaja.

Oleh Fahd Razy







Melawat ke weblog-weblog peribadi ahli GKLN, saya dapati ramai yang gigih dan konsisten dalam menghasilkan karya. Ini suatu perkembangan yang positif. Tetapi malang, dalam masa yang sama kemeriahan berkarya secara peribadi tersebut tidak dicerminkan melalui jumlah karya yang tersiar di media cetak, bahkan amat sunyi sekali. Sayang sekali, karya-karya yang sebahagiannya baik tinggal saja di weblog masing-masing, tanpa sampai kepada khalayak pembaca yang lebih luas. Jadi di sini, saya sertakan ringkas panduan menghantar karya, ringkas saja, supaya tidak ada lagi tulisan-tulisan yang hanya jadi bahan nostalgia penulisnya semata-mata.

Sebelum Menghantar

1) Kenal pasti tema karya anda. Patriotik? Keagamaan? Kasih sayang? Sebahagian media cetak mempunyai khalayaknya yang tersendiri, jadi sudah tentu anda tidak mahu menghantar karya ke media yang salah. Misalnya Pelita Bahasa dan Dewan Bahasa tentu sekali menerima karya berkaitan soal Bahasa Melayu, Dewan Budaya pula menerima karya yang memaparkan budaya. Dalam masa yang sama, Sastera.Net, Tunas Cipta, Berita Minggu, dan Mingguan Malaysia temanya lebih luas dan terbuka, oleh itu saingannya lebih sengit. (walaupun terbuka, pilihlah karya yang sesuai dibaca umum. Janganlah hantar karya tentang anda yang putus cinta dan sebagainya). Juga kenal pasti kesesuaian khalayak. Karya yang lebih mudah misalnya, berkisar tentang remaja- pilihlah Dewan Siswa, E-Siswa, Fokus, dan sebagainya.

2) Kenal pasti media cetak yang disasarkan. Pastikan anda tahu keterbatasan ruang yang disediakan untuk media terbabit. Misalnya, berapakah panjang cerpen yang sesuai. Dan paling penting, wujudkah ruangan cerpen di majalah itu. Sesetengah majalah menyediakan kedua-duanya, cerpen dan puisi. Sebahagian lagi hanya salah satu. Jangan peningkan kepala editor menghantar cerpen ke majalah yang tidak menyiarkan cerpen, dan sebaliknya.

3) Dapatkan alamat surat-menyurat/ emel editor terbabit. Kebiasaannya, anda perlu mendapatkan majalah tersebut dan pada beberapa muka surat awalnya ada disenaraikan sidang editorial. Emel dan alamat editor biasanya ada di situ. Dalam situasi luar negara, janganlah jadi malas. Kreatif ! Layari website majalah tersebut (majalah-majalah DBP misalnya) atau minta rakan/ keluarga/ kekasih/ bekas kekasih/ jiran di Malaysia untuk mendapatkannya. (Maaf, saya tak akan senaraikan emel-emel tersebut secara terbuka di sini. Nanti masuk spam pula emel editor-editor tu)

Format Karya

Cerpen
1) Pastikan karya anda diberi tajuk umum. ‘Puisi’ atau ‘Cerpen’.
2) Kemudian selang sebaris, pastikan karya anda berjudul. Rapat ke kiri, dan ditulis dengan huruf besar. Selang sebaris, tuliskan nama anda. ‘OLEH FAHD RAZY’
3) Selepas nama anda, selang sebaris dan letakkan satu garisan memanjang memisahkan isi cerpen dengan nama penulis.
4) Selang sebaris, mulakan cerpen. Ayat pertama, rangkap pertama cerpen anda perlulah ditulis dengan HURUF BESAR dan rapat ke kiri. Perenggan-perenggan seterusnya, tulis seperti biasa (santak sedikit ke kanan bagi permulaan perenggan).
5) Keseluruhan cerpen perlu ditulis dalam format langkau 2 baris, times new roman, size 12.
6) Pastikan setiap helai diletakkan ‘page number’.

Puisi
1) Mulakan dengan tajuk umum. Langkau sebaris, tuliskan judul dan ditebalkan.
2) Selang sebaris, tuliskan isi puisi anda. Penting untuk anda memastikan huruf besar, tanda koma, dan noktah di tempat yang sepatutnya.
3) Pada akhir puisi, tuliskan nama/nama pena anda, lokasi, dan tarikh puisi ditulis. Lokasi dan tarikh ‘optional’.
4) Keseluruhan puisi perlu ditulis dalam format langkau 1.5 baris, times new roman, size 12.
5) Pastikan setiap helai diletakkan nombor muka surat (jika panjang)

Nota: Karya untuk pertandingan, JANGAN sekali-kali meletakkan nama, alamat, tarikh, atau sebarang butir diri atau petanda yang boleh menjadi petunjuk kepada identiti penulis.

Semasa Menghantar

1) Tiga perkara yang perlu disiapkan untuk menghantar karya

a) Surat iringan
b) Butir diri (kepilkan bersama surat. ‘optional’, sekadar ‘backup’)
c) Karya
d) Gambar

2) Surat iringan: Format surat rasmi biasa. Perkenalkan diri dan tujuan- ‘Memohon Disiarkan Karya’. Jelaskan judul akhbar/majalah dan ruangan. Sesetengah editor/penerbit ada lebih dari satu majalah/ruangan. Misalnya Dewan Siswa ada dua ruangan cerpen.
a) Sertakan butir diri, termasuk nama, nama pena, tarikh lahir, alamat surat menyurat, kolej, dan sebagainya. Sertakan juga biodata ringkas mengenai penglibatan anda dalam penulisan. Ahli GKLN, tuliskan saja anda ahli GKLN dan sebagainya. Peserta bengkel, pernah menyertai antologi GKLN, boleh saja muatkan semua itu. Seperti anda menulis CV. Sesetengah media seperti Berita Minggu mewajibkannya.
b) Sertakan pengakuan, bahawa karya ini adalah tulisan anda yang asli dan belum pernah disiarkan. (AWAS!: Jangan hantar karya yang sama ke dua media cetak berlainan).

3) Butir diri: Sama seperti butir dan biodata dalam surat. Sekadar ‘backup’ memudahkan editor (supaya tak perlu belek surat anda yang panjang untuk rujukan segera)

4) Karya: rujuk format karya

5) Gambar: Melalui penghantaran pos, pastikan anda mengetahui keperluan majalah tersebut. Adakah memerlukan gambar atau tidak? Sesetengahnya seperti Berita Minggu dan Mingguan Malaysia mewajibkan gambar. Melalui penghantaran emel, sentiasakan sertakan gambar (gunakan saja file gambar yang sama).

6) Melalui emel, attachkan surat, butir diri, karya, dan gambar dalam satu emel. Salinkan isi surat ke dalam emel.

7) Template surat, biodata, dan gambar yang sama boleh digunakan setiap kali menghantar karya. Jadi, secara puratanya anda boleh menghantar karya dalam tempoh kurang 10 MINIT! Mengapa ragu-ragu lagi? Kecuali karya anda disiarkan, tiada siapa yang tahu anda menghantar karya tersebut (kecuali editor). Maka kenapa perlu malu?

Selepas Menghantar

1) Pastikan anda membuat rekod peribadi. Catatkan judul, tarikh hantar, dan nama majalah/akhbar yang dihantar. Ini penting, untuk mengelakkan karya bertindan dan membantu anda merangka strategi seterusnya jika karya tak tersiar.
2) Ikutilah perkembangan majalah tersebut, untuk melihat sama ada karya anda tersiar atau tidak. Sekali lagi, gunakanlah kreativiti anda!
3) Kebiasaannya, jika karya anda diluluskan editor akan tersiar dalam tempoh 6 bulan. Ada juga karya yang tersiar selepas setahun! Ada yang dalam masa seminggu. Jangan putus asa. Perlu berstrategi (tapi jangan hantar karya yang sama ke dua media berlainan).
4) Apabila dah tersiar, ha…apa lagi. War-warkan lah kepada orang kampung, biar mereka semua dapat beli. =D

JANGAN BIARKAN KARYA ANDA BERSAWANG DI LAMAN SAWANG (WEB SITE)

No comments: