Friday, February 22, 2008

Mahabbah- Sinopsis Novel

Oleh: Muhammad Syukri Rosli, Uni of Adelaide, Australia
http://janjilaxamana.blogspot.com









Aleykumsalam wbt,

Sekadar mencelah di ruang ini, mahu berkongsi sedikit sebanyak sebuah naskhah yang dikira perlu dibaca oleh khayalak sastera. Maaf kerana hadir tanpa ketahuan punca. :D

http://www.ujanailmu.com.my/prod_images_large/Mahabbah1.JPG .....

novelnya yang bertajuk Mahabbah memenangi hadiah dalam Sayembara Penulisan Novel Kemerdekaan 50 Tahun. Karya ini membicarakan tentang perpecahan orang Melayu. Kemudian bangsa ini bersatu semula dengan kudrat-iradat Allah dengan "kun fayakun"nya. Apakah novel yang membawa tokoh besar Melayu yang bernama Endar dengan dua orang anak, Abdul Rahim dan Abdul Rahman yang saling berbantah-bantahan, akhirnya bersatu padu dalam ikatan ukhuwah yang berkekalan, boleh dianggap sebagai karya agung Shahnon yang diidam-idamkannya itu?

Kini lahirlah novel Mahabbah yang membawa pengertian dan maksud kasih sayang, kasihan belas, permohonan kemaafan, penagihan keampunan, nilai kebitaraan, keakraban persahabatan, jalinan ukhuwah, kekariban keluarga, keteguhan patriotisme, solidariti kebangsaan, keintiman kenegaraan dan kekukuhan saf akidah, syariah dan akhlak addinul Islam. Novel dimulakan dengan maksud sebuah firman Allah: "Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara; kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat" - al-Hujurat ayat 10 dan maksud sebuah Hadis Nabi SAW. "Barangsiapa melihat kemungkaran hendaklah ia mencegah dengan tangannya. Jika dia tidak ada kuasa hendak mencegah dengan tangannya, maka hendaklah dia mencegah dengan lidahnya. Dan sekirannya juga dia tidak ada kuasa dengan lidahnya, maka hendaklah dia mencegah dengan hatinya. Dan yang demikian ini adalah selemah-lemah iman" - Riwayat Imam Muslim

Ternyata tujuan novel Shahnon ini adalah untuk mendamaikan "antara dua saudara" dan untuk mencegah kemungkaran dahulunya melalui "tangan" dan "lidah" sebagai guru, pensyarah, pendakwah dan YB ahli politik dan kini melalui "hati" dalam bentuk novel Mahabbah.

(Mohd Yusof Hasan, Dewan Sastera Februari 2008)

Membaca Mahabbah, novel terbaharu Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, terkesan bahawa novel ini memberi kelainan daripada novel-novelnya yang terdahulu dan daripada novel-novel yang dihasilkan oleh novelis yang lain. Ia tidak sahaja memaparkan cerita, malah mengejutkan pemabca dengan beberapa kelainan sehingga sebahagian ciri penting yang menidentifikasikan dan memantapkan sesebuah novel yang telah dianggap tidak penting lagi dirombak dalam Mahabbah. Kelainan persembahan Mahabbah mempunyai hubungan yang erat dengan pemusatan cerita tertumpu pada perjalanan minda ikon Endar sahaja. Ikon lelaki tua yang mengalami serangan penyakit 'Myasthenia Gravis' sehingga melumpuhkan anggota badannya dan terlantar di perbaringan hanya berupaya menggerakkan mindanya pada dua persoalan yang utama: Bangsanya yang berpecah dan bertelagah serta dirinya yang telah bersedia untuk meninggalkan alam fana dan berpindah ke alam barzakh.

(Sinopsis Mahabbah)

Mahabbah tiba tatkala aku dalam persiapan untuk kembali ke negara perantauan semula. Kemarau jiwa dan kekontangan rohani yang melanda relung jiwaku seakan sudah dibasahi dengan titisan-titisan kata yang bermakna daripada Sasterawan Negara yang benar-benar aku kagumi ini. Mahabbah, yang membawa cerita seputar perjalanan minda dan hati Endar, yang menderitai Myasthenia Gravis yang menyebabkannya lumpuh sama sekali. Kekentalan dan kecekalan semangat seorang insan yang ingin berbakti sungguhpun tidak mempunyai kudrat dan daya sungguh terasa dalam setiap perjalanan bab dalam Mahabbah. Aku tidak terasa langsung perjalanan plot yang ada naik turun, klimaks dan antiklimaksnya; tetapi novel ini seolah-olah kita mendengar rintihan-bisikan dan bisikan-bisikan seorang watak yang sudah tua tetapi begitu mendalam cita-citanya untuk berbakti sementara nyawa masih dikandung badan. Walaupun terkapuk di atas ranjang, dia masih berusaha untuk mendamaikan dua anaknya; Abdul Rahman dan Abdul Rahim yang berlainan saf kefahaman.

Dalam novel ini, kiasan dua batang sungai yang dipisahkan melalui satu tebing amat-amatlah menusuk dan berkesan. Tambahan, sepanjang perjalanan novel, metafora sungai dengan pemakaian diksi yang membekas terasa sungguh akrab dengan situasi bangsa yang berlaku.Mahabbah berjaya membuktikan kekuatan yang tersendiri. Semangat kebangsaan dan keislaman yang terpapar terasa sungguh jelas maknanya dan sungguh waja perjuangannya. Walaupun terkedang kaku, Endar masih lagi berupaya dan berusaha untuk menyatupadukan dua batang sungai yang berlainan saf dengan degupan hati dan denyutan akalnya; selaras dengan hadis Nabi yang menjadi permulaan cerita. Mungkin SN Shahnon Ahmad ingin menyampaikan nasihatnya kepada generasi bangsa yang akan ditinggalkan, supaya kembali bersatu atas nama ukhuwah seagama dan ikatan darah bangsa yang sama. Tidak dinafikan, SN Shahnon Ahmad berjaya menghurai satu persatu krisis bangsa, usaha yang dia mampu lakukan dan penyerahan segalanya kembali kepada Allah Azzawajjalla. Yang paling istimewa dalam Mahabbah, bagaimana Endar bertungkus lumus berperang dengan bisikan-bisikan yang datang supaya dia dapat mengekalkan mahabbahnya dengan Mahabbah-Nya.

Bagi aku, novel ini sungguh romantik dan amat dekat dengan jiwa. Pemikiran dan gerak hati yang disalurkan melalui penceritaan yang begitu teliti dan kiasan yang bermakna menjadikan Mahabbah sebuah novel yang kuat membicarakan isu besar yang berlaku dalam bangsa Melayu. Aku seolah-olah terlayar dalam lautan sukma Endar yang sentiasa bergelora dengan pemikiran, bisikan, igauan, mimpi, ketakjuban, kesedihan, kegembiraan, kecintaan dan ke-mahabbah- an. Yang menarik bagiku sepanjang pembacaan novel ini; aku harus menumpukan segenap ruang perhatian dan kalbu untuk menghadam dan mencerna cerita dan penceritaannya. Ada ketikanya, aku dapat mengikuti rentak dan tempo cerita kerana diri berada dalam ketenangan, kedamaian, kepermaian, keamanan, kesejahteraan minda dan emosi. Namun apabila diri dilanda pongah, bongkak, gelora, gelombang, marah, bebal, panas, hangat, kritikal dan cacamarba, aku tidak dapat menikmati novel ini dengan baik. Bagiku, untuk membaca novel ini, aku perlu mempunyai kekuatan dan kesungguhan untuk memahami dan menghayati di samping jiwa yang perlu dikawal dengan perasaan sabar dan setia.Aku galakkan novel ini menjadi bacaan. Perpecahan dan krisis bangsa yang melanda membuatkan aku sedar, usaha yang berlipat ganda untuk pengembalian ukhuwah perlu dilakukan, dengan tangan, lidah dan hati; sungguhpun usaha hati itu adalah selemah-lemah iman.

(Muhammad Syukri Rosli, Uni of Adelaide, Australia)

No comments: