Monday, January 14, 2008

Penulis ulul albab dan “New Man” (GKLN dalam akhbar)

Oleh S.M. Zakir
(Petikan Mingguan Malaysia, 13 Januari 2008)




PADA 10 Januari 2008 bermulalah tahun baru 1429 Hijrah. Tentunya ia mengundang retrospeksi untuk melihat masa yang ditinggalkan di belakang, sekali gus melihat apakah yang akan mendatang, yang menunggu di hadapan.

Kehadiran perkara-perkara baru dalam kehidupan berlaku setiap masa dan ketika. Perubahan dan pembaharuan sering kalinya mencipta dogma dan label baru terhadap suasana yang sedang atau akan didepani.

Jargon-jargon negarabangsa, kapitalisme, komunisme, pascamodenisme, pascakolonialisme, dunia tanpa sempadan, dunia rata (flat world), kematian sejarah, pascakapitalisme dan sebagainya muncul menandai segala bentuk kehadiran perubahan dan pembaharuan yang berlaku dalam masyarakat. Walaupun ada kalanya ia tidak lebih daripada permainan atau spekulasi intelektual yang dighairahi fantasi dan ilusi.

Gottfried Leibniz (1646-1716) seorang ahli falsafah pramoden yang mencari ruang percambahan fikiran dalam tradisi Kristian, pada suatu ketika menyatakan bahawa kesulitan atau ketakutannya bukan kerana pertelagahan antara Katolik dan Protestan atau perbezaan antara dua sektor itu tetapi iaitu kepada bahaya kemunculan agama baru akibat hilangnya kepercayaan tulen dan sejati terhadap sifat kuasa alamiah dan alam ketuhanan - agama baru ini beliau sebut sebagai agama sekular (secular religions).

Agama sekular ini bagi Leibniz akan muncul membentuk kuasa tirani dan menindas kebebasan manusia. Seabad kemudian muncul seorang ‘nabi’ golongan liberal, Jean-Jacques Rousseau yang mengabsahkan ketakutan Leibniz itu. Rousseau menyarankan bahawa masyarakat harus menegakkan satu bentuk kawalan ke atas cara kehidupan dan pemikiran manusia individu, yang akhirnya melahirkan apa yang disebut sebagai “New Adam”.

Ia merupakan satu bentuk manusia sejagat yang sempurna, dalam masa yang sama meletakkan ‘individualiti’ sebagai subordinat kepada cita-cita kehendak bebas (free will) yang disebut sebagai super-personal volonte generale. Marxisme kemudian mengungkapnya sebagai objective laws of history, dan kemudian berjuang melahirkan masyarakat utilitarian yang berkiblatkan material dialektisme. Marxisme mencipta prototaip “New Adam”, iaitu konsep manusia sejagat yang realistik dan mundane, lalu melihat agama serta alam ketuhanan sebagai racun candu yang mengkhayalkan manusia. Namun protaip ciptaan Marxisme terlalu kasar, longgar dan rapuh, lalu akhirnya ia runtuh berkecai.

Idea Rousseau kemudian berkembang kepada perjuangan mewujudkan apa yang disebut kini sebagai “New Man”, iaitu manusia sejagat yang sangat realistik dalam konteks pemahaman dialektikal materialisme – yang sifatnya antiagama, non-spiritual, skeptikal, neurosis, dan duniawiniah.

“New Man” diuar-uarkan sebagai antitesis dan antagonis kepada “Old Adam” yang korup, tamak, gila kuasa, dengki iri, dan menyeleweng. Pada zaman awal kemunculan renaisans, “Old Adam” dilabelkan kepada golongan paderi, feudal dan borjuis. Kesinambungan dari itu, “Old Adam” kini seperti turut diironiskan kepada golongan agamawan yang melaksanakan hukum syariah (dalam konteks negara beragama rasmi Islam) selain golongan neo-feudal, neo-borjuis, dan tirani.

Idea dan perjuangan mewujudkan manusia sejagat “New Man” melahirkan apa yang dikenali hari ini sebagai konsep liberalisme, muncul sebagai agama sekular yang paling berwewenang dengan pelbagai cabang mazhab seperti feminisme, pascamodenisme, hak asasi individu, kebebasan bersuara, undang-undang sivil dan sebagainya. Maka dalam konteks Malaysia, muncullah golongan liberal yang lantang bercakap tentang kebebasan bersuara, hak asasi individu dan kesucian undang-undang sivil. Golongan ini termasuk ‘manusia-manusia Islam’ antaranya amat lantang mempertikaikan hukum Islam amalan mahkamah syariah seperti dalam isu murtad dan pemelukan agama Islam. Yang terbaru ialah isu berkaitan penggunaan kalimat Allah dalam agama lain.

Kelahiran ‘agama sekular’ di atas label liberalisme ini turut menyebar dalam dunia budaya dan sastera. Kehadiran filem yang mempromosikan ideal masyarakat baru yang sekular serta filem-filem buruk sosial remaja memperlihatkan bagaimana cita-cita untuk mewujudkan “New Man” sedang dijayakan. Di Malaysia, cita-cita untuk melahirkan “New Man” belum berlangsung hebat dalam dunia sastera seperti berlaku di Indonesia.

Bangga

Apa yang dapat dibanggakan di Malaysia ialah kehadiran penulis-penulis muda yang sangat kukuh jati diri, etika, moral dan nilai keislamannya sehingga tidak keterlaluan jika dikatakan mereka sebagai generasi penulis ulul albab. Usaha oleh Dr. Irwan Abu Bakar melalui kelompok e-sasteranya berjaya menghimpun penulis muda yang bukan sahaja berpendidikan tinggi, ilmuwan, dan kritis tetapi juga tinggi keperibadian Islamnya.

Karya-karya generasi ulul albab ini bukan sahaja memperlihatkan mutu estetika yang tinggi tetapi kekukuhan etika dan moral yang mengagumkan. Antologi cerpen terbitan E-Sastera, Jalan Jauh ke Ramallah, antologi puisi Wilayah Cinta dan Al-Andalus Menangis menampilkan cerpen-cerpen yang cukup menarik dan bersih dari segi mutu, estetika dan nilai etika.Kebanyakan penulis merupakan penuntut institusi pengajian tinggi di luar negara yang berinteraksi di laman maya.

Sementara itu keghairahan golongan muda menceburi dunia penulisan turut melahirkan kelompok penulis Malaysia di Asia Barat yang lahir daripada interaksi di komuniti siber Adabuna. Kelompok ini merupakan penulis-penulis muda yang menuntut di Mesir. Mantan Universiti Al-Azhar, Mohd Nazmi Yaakub dan Amiza Khusyri Yusof antara yang berusaha keras menonjolkan kelompok penulis muda ini yang berjaya menerbitkan dua buah antologi karya Khali Kota Fustat serta Cinta dan Rona Kinanah.

Keterampilan para penulis muda ini dalam berkarya terlihat jelas dengan penggarapan isu serta tema yang luas, memberikan pemikiran yang kritis serta mempunyai penguasaan bahasa yang cukup baik untuk memberikan nilai estetika yang tinggi. Nilai estetika ini muncul oleh kesatuan karya yang mencakupi kesempurnaan gaya garapan cerita dan nilai etika penulisan yang terpuji.

Golongan ulul albab merupakan golongan muda yang bijak (berpengetahuan tinggi), beriman takwa dan berketokohan untuk menjadi pemimpin masyarakat. Penglibatan golongan ini dalam pembangunan tamadun Islam berlaku sejak awal sejarah Islam lagi. Mereka menjadi golongan penting dalam pembebasn masyarakat daripada belenggu kejahilan dan kezaliman. Dan pada era penyebaran ‘agama sekular’ liberalisme yang giat mencapai cita-cita melahirkan “New Man”, kehadiran generasi ulul albab dilihat sebagai benteng yang dapat menghalang kerosakan besar ini.

Kehadiran karya yang memperlihatkan pemikiran yang melihat Islam sebagai ‘jiwa kebebasan yang hakiki’, menepati apa yang disebut oleh Racid Ghannouchi dalam bukunya Al-Hurriyat al-‘Ammah yang menyatakan Islam adalah revolusi yang membebaskan manusia daripada penyembahan berhala.

Berhala dalam konteks ini bukan sahaja patung-patung sembahan tetapi juga kuasa manusia, idealogi, dan fahaman yang membekukan manusia dalam ruang kejahilan. Islam memberi kebebasan yang hakiki kepada manusia, kerana kebebasan itu disertai dengan amanah iaitu tanggungjawab memelihara kebenaran.

Maka dalam Islam, seperti yang diutarakan oleh Iqbal muncul apa yang disebut sebagai insan al-kamil yang bertentangan dengan konsep ubermancsh (superhuman) dalam konsep Nietzsche seterusnya bertentangan juga dengan konsep “New Man” yang membentuk tiang liber alisme itu.

Insan al-kamil merujuk kepada konsep khudi (ego yang kuat dalam membina peribadi unggul) yang berteraskan prinsip amanah. Maka apabila insan al-kamil ini dipertentangkan dengan “New Man” maka ia jelas memberikan satu antitesis terhadap cita-cita liberal-sekular yang hidup dalam dunia yang serba chaos.

Kehadiran generasi penulis ulul albab ini diharap akan membina wilayah ketamadunan yang kukuh dengan nilai keunggulan Islam dan menyedarkan golongan yang menggiatkan cita-cita “New Man” bahawa “Old Adam” yang difahami mereka sebenarnya tidak wujud dalam Islam sebaliknya merekalah yang terkurung dalam dunia chaos yang memberi mereka sebuah berhala kebebasan yang palsu.

No comments: