Saturday, January 12, 2008

Oh Tanah Airku...!

Teks sekolah tak senarai karya SN ?
Sumber http://www.bharian.com.my



KUALA LUMPUR: Tiada karya Sasterawan Negara tersenarai sebagai antara buku yang dicadangkan untuk teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada 2010.

Turut tidak tersenarai ialah puisi, cerpen, novel dan drama penerima Anugerah Penulisan Sea dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), hadiah sastera peringkat negeri dan swasta baik bertema Islam mahupun kemerdekaan, meskipun diberi perhatian panel pemilih.

Sumber memberitahu Berita Harian, tindakan tidak menyenaraikan karya SN dan penerima serta pemenang anugerah untuk buku teks yang baru kerana Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran, mendapati sebahagian teks sedia ada berat dan tidak sesuai untuk pelajar.

“PKK yang menyelenggara Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas mengatakan karya SN berat dan sarat dengan pemikiran sehingga sukar difahami pelajar. Justeru mereka mencari penulis popular dan teks yang mendapat sambutan pelajar dalam usaha menarik minat mereka dalam Komsas,” katanya.

Sumber itu berkata, tidak wajar SN yang mendapat pengiktirafan negara, karyanya dinafikan daripada turut disenaraikan dalam cadangan teks baru untuk Komsas kerana masih ada jalan menghormati mereka iaitu dengan memilih karya mudah agar memenuhi selera remaja.

Berita Harian difahamkan antara penulis yang karya mereka termasuk dalam senarai cadangan ialah Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan Mohamad Yazid Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai Zaid Akhtar.

“Hanya novel Zaid Akhtar pernah memenangi hadiah sastera. Pendekatan baru PKK ini akan merugikan pelajar kerana pemikiran dan penggunaan bahasa penulis karya popular boleh dipersoalkan, di samping tidak menepati matlamat asal Komsas,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu turut memberitahu, PPK tidak lagi melantik sarjana sastera dan pengarang sebagai ahli Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas, sebaliknya melantik Guru Pakar Bahasa Melayu dan Guru Pakar Sastera untuk mengeluarkan senarai pendek teks untuk penilaian akhir.

2 comments:

amar hensem said...

Oh Tuhan..

Guna novel Ahadiat Akashah sebagai Komsas?

Dunia dah nak kiamat..

FahdRazy said...

Nasib Bahasa dan PErsuratan Melayu. Dahlah Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris. Subjek Bahasa Melayu sendiripun, tak dapat memelihara khazanah bahasa kita. Nanti jadi macam Ireland, Bahasa Inggeris lebih utama daripada bahasa tempatan, sampaikan mereka terpaksa bergulat untuk memupuknya kembali kepada generasi baru/