Sunday, December 16, 2007

Panduan Penulisan Puisi III- Diksi yang segar!

Oleh: Fahd Razy





Salah satu unsur penting dalam meghasilkan puisi/cerpen yang baik adalah dengan memilih diksi/perkataan/ayat yang unik, lain dari yang lain. Saya selalu menyebutnya original. Cikgu Shamsudin Othman (dan penulis mapan lain) selalu menyebutnya- diksi yang segar. Jadi di sini, saya akan membantu kawan-kawan lebih memahami bagaimanakah yang dikatakan diksi yang segar dan asli itu, atau sekurang-kurangnya dapat melihat contoh-contoh diksi yang segar.

Sebagai latihan, kita pilih satu subjek. Contohnya ‘Angin’. Sebelum membaca lebih lanjut, cuba kawan-kawan cipta satu baris sajak (atau dua atau tiga) yang berkenaan angin. Dengan kata lain, sertakan ‘angin’ dalam binaan ayat-ayat yang puitis anda. Contoh daripada saya:

‘angin yang sepoi-sepoi bahasa
terasa dingin menampar-nampar pipiku’


ataupun

‘angin yang dingin itu
menyamankan jiwa ini.’


Ini sekadar contoh. Sebenarnya, apa yang saya tonjolkan di sini, tanpa disedari kita sering mencetuskan sajak dari diksi-diksi atau pemilihan perkataan yang dianggap klise atau stereotaip. Seperti contoh di atas, ‘angin yang sepoi-sepoi bahasa/ terasa dingin menampar-nampar pipiku’ mungkin sudah dianggap puitis jika dimuatkan dalam sajak anda. Bahkan kalau dimuatkan dalam esei Bahasa Melayu SPM, pemeriksa akan tertarik. Tapi dalam penulisan kreatif,khasnya untuk penghasilan sajak, kita harus terokai teknik dan fungsi baru untuk perkataan 'angin'. Lontarkan imaginasi dan kreativiti kita jauh. Biar fleksibel. Jangan terbatas kepada realiti angin yang kita tahu itu. Daripada angin tu bertiup, kita bayangkan angin tu bertangan, atau berkaki- lalu kitapun menulis:

“Angin yang berkejar-kejaran
membuatkan dinginnya kurasakan mesra”


ataupun kalau kita bayangkan angin itu bermulut,

“Angin yang menegur dengan keramahan
melepaskan dingin ke segenap tubuhku”


atau

“Angin yang berhambatan
dan bertengkar merebut sehelai daun gugur
mengganggu resahku”


Lihat, betapa mudah unsur sastera, iaitu 'personifikasi' telahpun kita serapkan dalam puisi. Mulai hari ini mari kita layangkan kreativiti kita melepasi batas stereotaip dan tipikal untuk mencuba sesuatu yang segar. Bukan angin saja- hujan, atau cahaya matahari, atau sungai, atau burung yang terbang, bahkan tentang diri, hati, perasaan, semuanya boleh ditampilkan melalui pendekatan yang segar.

Untuk bantuan, di sini saya petik sajak-sajak yang menggunakan perkataan‘angin’(atau yang seerti), tapi dalam pendekatan yang segar dan ‘original’. Mereka bukan sahaja menggunakan ‘angin’ dalam pendekatan baru, tapi cuba menanamkan makna baru pada fungsi angin itu. Jadi, angin di dalam sajak-sajak di bawah ni bukan sekadar angin yang bertiup, tapi ada peranannya.


Angin musuh memburunya, dan dirinya
sekacau kelawar sesat.”
Tikaman Dalam Seloka, SN A. Samad Said

“Awan yang mudah resah sanggahan angin
yang sesekali membentang ruang”
Inti Masa, SN A. Samad Said

“Bertiup kini angin mesra dan bersih
meluhuri takhta dan panji bangsa merdeka”
Menyemai Hikmah, SN A. Samad Said

“Hembus angin mengusir langsir
terdengar rentak rebana terlalu jauh”
Dari Langkawi Selepas Itu, SN A. Samad Said

“Kau mengajar menjadi lebih berani
mengharung gelombang tanpa melabuh sauh
meredah belantara tanpa menduga petualang
jua menyusur angin tanpa mengukur langit
Kemilau Dari Tanah Ini, Shamsudin Othman

“Gerimis di luar sana
kaudengarkah cemara yang patah itu
tatkala angin mengirimi
serpihan kristal,
sepi telahpun menjauh”
Kau Dengarkah Cemara Yang Patah Itu, Rahimidin Zahari

“Kutangkap beberapa makna yang terlepas
dari jendela malam. Angin seakan terkurung
seluruh sepi mengirimi bau murung”
Aku Berdiam, Rahimidin Zahari

Angin meriwayatkan kembali
pantai yang berdebur
dan musim yang diserbakan hari”
Sebaris Kata, Rahimidin Zahari

“Di pantai cantik, tubuh kurusnya
dihadap ke laut dan rambutnya
yang kusut panjang disisir angin
Sajak Landskap, Rahimidin Zahari

“awan curiga yang ditiup angin sangsi dari langit utara
menggugurkan hanyir darah di laman pondok”
Perawan Selatan, Shahrunizam Abd Talib

“Yang menggelisahkan angin adalah kita
bahawa ada tanda-tanda angin
dan rebut bergelut dengan awan
berarak sepi”
Persidangan Akhir Tahun, Amirudin Ali

“saat angin Mediteranean berpeleseran dirasuk rindu buat Tariq
mencari jika masih tercicir
lagu muazzin yang rendah berbicara dengan langit
di mimbar Cordoba ini,”
Al Andalus Menangis, Fahd Razy

Angin itu yang berbisik pada tanah
adalah angin sejarah
yang menghimpunkan aroma darah
dari sekebun makam syuhada’”
Angin Sejarah, Fahd Razy

“Terbang lekas terik mentari
pesona angin membawaku pergi
kabut sembunyi hujan berisi”
Bawah Awan Atas Bumi, Ida Munira Abu Bakar

Angin damai melena rasa
melambai pepohon dunia
merawat naluri yang lara”
Khazanah Alam, Ida Munira Abu Bakar

Buaikan bayu meramah budi
melilau arah lalunya kaki
berontak hati mencati hakiki
alam diri penyerlah nurani”
Jalan Jiwa, Ida Munira Abu Bakar

Menjulang panji perjuangan dalam alur jejantas silam
Berkibar layar merdeka ditiup angin rahmat
Dan detik itu tinggal sejarah
Terukir di kanvas memori silam
Layar Merdeka, Syarifah Salha Syed Ahmad