Sunday, December 16, 2007

Menulis Cerpen: Beberapa Keperluan Asas

Oleh: Norhisham Mustafa




1. Apakah cerpen? Kita memang sedia maklum bahawa cerpen adalah cerita pendek, atau sebuah cerita panjang yang dikompakkan sependek mungkin. Ada juga orang berkata, sebuah cerpen adalah sebuah karangan cerita yang ditulis mengikut takat atau hadnya yang tersendiri. Namun satu adalah jelas. Sebuah cerpen bukanlah sinopsis atau ringkasan sebuah cerita yang panjang, misalnya bukanlah sinopsis sebuah novel. Cerpen memiliki identitinya yang tersendiri, dan identiti itu pasti berbeza daripada identiti novel atau hikayat.

2. Kalau sudah pendek, sudah tentulah tidak sepanjang novel. Jadi sependek mana? Ukuran ini pun relatif. Cuma pada umumnya, sesebuah cerpen itu biasanya sekadar lima atau enam ribu perkataan. Tetapi boleh juga sekadar seribu perkataan. Walaupun dengan jumlah dua puluh atau dua puluh lima ribu perkataan itu, sesebuah karangan cerita sudah sudah dianggap novelet (novel pendek), tapi masih ada pentaksub cerpen yang mengatakan karya sepanjang itu pun masih sebuah cerpen. Orang Tua Dengan Laut oleh Hemingway, panjangnya dua puluh ribu perkataan. Satu pihak mengatakan, karya itu adalah novelet. Pihak lain mengatakan itu adalah cerpen. Di Malaysia dan Indonesia, juga Brunei, terdapat pengarang-pengarang cerpen yang gemar menulis cerpen panjang. Zaid Ahmad, Umar Khayyam dan Muslim Burmat adalah antara mereka. Walaupun kemudiannya muncul kalangan pengarang muda yang gemar cuba menulis cerpen pendek atau cerpen mini (cermin), namun secara konvensional sebuah cerpen adalah sebuah karangan cerita yang memakan sekitar lima belas halaman kertas quarto.

3. Okey, baik kita terus masuk ke topik utama kita. Kita sedang bercadang untuk menulis cerpen, atau untuk menjadi penulis cerpen. Seumpama seorang pengarang yang merancang untuk mengembara jauh, seorang penulis cerpen juga harus punya atau harus membuat persediaan.

Persediaan harus dilihat dari dua sisi. Pertama, sisi dalaman. Kedua, sisi luaran. Dimaksudkan dengan sisi dalaman ialah sesuati yang sedia ada dalam diri sendiri, milik semula jadi yang biasanya berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Sisi dalaman ini ialah sifat dan sikap manusia yang asasi.

Satu, bakat. Betul bahawa ini agak relatif. Tetapi, tidak sedikit pengarang besar dunia yang berpendapat bahawa bakat adalah syarat utama bagi sesiapa yang hendak menjadi pengarang.

Dua, sensitiviti.

Tiga, persepsi. Kendati ada pepatah yang berbunyi: “belakang parang, kalau diasah lagikan tajam”, tetapi hakikatnya bakat itu tidak seperti belakang parang. Kalau sudah tidak berbakat, diasah bagaimanapun, tidak akan menjadi juga. Tetapi, saya lebih suka beradil saja. Sesiapa yang memang punya minat untuk menjadi penulis, menulislah. Jangan dihalang mereka. Berusahalah. Yang pokok, harus ada usaha. Harus ada kerajinan. Apakah dengan bantuan sifat sensitifnya, tidak mustahil seseorang boleh mengarang dengan baik. Sensitif atau mudah terasa tidak mungkin dilepaskan dari jiwa seorang pengarang atau calon pengarang. Dia juga harus seseorang yang berpersepsif. Punya daya tanggap yang tajam. Cepat memahami. Sisi luaran pula sesuatu yang boleh didapatkan dari luar. Boleh dicari. Suatu bentuk input. Misalnya, untuk menjadi seorang pengarang apapun, syarat nombor wahidnya adalah Menguasai Bahasa. Proses penguasaan bahasa ini tidak mudah. Tetapi, juga tidak rumit. Apabila seseorang banyak membaca – dalam pelbagai bahasa – mengenai apa sahaja, ianya akan menguasai bahasa dengan sempurna.

Cara lain adalah dengan bergaul dan berkomunikasi, kalau boleh antara-bahasa dan antara-dialek. Mendengar radio, menonton tv, hadir ke perjumpaan ramai, turut membantu seseorang menjadi penguasa bahasa. Yang penting, harus bertolak dari kepekaan. Prasyarat lain ialah harus menjadi orang berilmu dan berpengetahuan luas. Sekali lagi, ini juga boleh didapati melalui pembacaan, pergaulan, mendengar radio, menonton tv dan sebagainya. Menjadi orang berilmu ialah memahami ilmu-ilmu yang pelbagai, kalau pun tidak mahir mengenainya, cukuplah dengan mengetahuinya. Inilah yang dikatakan pengetahuan am dan ilmu bantu. (Tetapi, juga patut digalakkan, bahawa mendapatkan ilmu secara langsung [yakni dengan bersekolah] itu akan lebih relevan).

4. Dengan berkumpulnya semua itu (bakat, ilmu, penguasaan bahasa, sensitiviti dan persepsi yang tajam) dalam diri seseorang calon penulis, biasanya bolehlah seseorang itu mengarang. Maka kini, bak pengembara yang sedia melengkapkan bekal dan mula mengembara, kita pun sudah sepantasnya mula menulis. Yakni menulis cerpen.

Apakah yang paling penting dalam sebuah cerpen? Tentu saja ceritanya. Bohonglah sesiapa yang berkata cerita tidak penting, kerana kononnya yang lebih mustahak ialah cara mengolah cerpen. Okey. Itu boleh saja betul. Tetapi tanpa cerita, bagaimana hendak mengolah cerita. Kononnya nasi tidak penting. Yang penting ialah bagaimana mahu menghidangkan nasi, kalau sudah tanpa nasi, bagaimana akan menukan nasi? Ada seibu lauk pauk pun, namanya bukan hidangan nasi kalau nasinya tidak ada. Kalau sudah cerita tak mustahak, apa namanya cerita pendek?

Mahu tidak mahu, memang ceritalah yang mustahak. Tinggal lagi, adakalanya antara kita sampai menjadi tertekan gara-gara cerita. Seringkali pengarang-pengarang yang sudah mapan ditujukan pertanyaan oleh bakal penulis: “Saya selalu berasa macam tak ada cerita yang hendak saya karang. Bagaimana ini?”

Pertanyaan sedemikian agak lucu, tetapi ianya bukan mustahil. Sebenarnya, saban hari kita ini hidup di dalam cerita, berhadapan dengan cerita. Sebagai apapun kita, di tengah orang-orang bagaimana pun kita langsungi hari-hari kita, siapa-siapa saja jiran kita, di mana-mana sahaja kita bertapak, cerita demi cerita menerawang di hadapan mata kita.

Untuk lebih mudah, seorang pengarang biasanya akan menulis:

1, berdasarkan pengalamannya sendiri;
2, berdasarkan penglihatannya;
3, berdasarkan pendengarannya.

Selebihnya, kerana seorang pengarang memang memiliki sifat sensitif, imajinasi adalah modal termahal. Pengarang wajar berimajinasi untuk mendapatkan cerita. Berkhayallah sikit! Apa salahnya!? Kadangkala dengan berkhayal kita jadi lebih bersemangat!

5. Dan, apabila di dalam kepala, atau di atas kertas, telah kita sematkan cerita, kini kita mulai berdepan dengan tanggjungjawab untuk membina rangka cerita. Ia biasa disebut sebagai rangkarita. Bukan sinopsis ya! Kita belum siapkan cerita kita, bagaimana mungkin tulis sinopsisnya. Ini hanya rangkarita. Apa perlunya rangkarita ini? Kerana di atas atau pada kerangka cerita inilah bakal kita letakkan elemen-elemen atau unsur-unsur dalam cerpen kita. Dari pengalaman, banyak pengarang memberitahu kita bahawa tanpa rangka, proses penulisan jadi terbatuk-batuk; tersangkut-sangkut. Disebabkan tidak menyediakan rangka inilah, sampai ada pengarang yang merungut: “Baru saja saya tulis lima halaman, saya sudah hilang modal. Tidak tahu macam mana nak kembangkan cerita, apatah lagi nak sudahkan cerita.”

Bak wau, tak mungkin dilekatkan kertas-kertas bersobek bunga, andai tak disediakan kerangkanya dulu!

Di atas kerangka inilah, kita letak pelbagai elemen di dalam cerpen:

Misalnya WATAK. Sebuah cerpen perlukan watak, pelaku atau pemain peran/peranan. Watak atau karakter ini perlu dikenal pasti lebih dahulu; diberikan nafas dan nyawa. Watak apapun yang cuba kita jelmakan ke dalam cerpen, kita perlu arif mengenainya. Dan, harus diingat, watak dalam sebuah cereka tidak semestinya manusia. Ia boleh saja haiwan; boleh juga pohon-pohonan; boleh saja aksesori yang kita gunakan seharian (sepatu misalnya). Namun, apabila ianya kita watakkan, kita perlu memberi jiwa kepadanya, memberi keupayaan bertutur kepadanya. Ia harus hidup. Harus bergerak. (Sekadar catatan, dalam sebuah cerpen, biasanya cuma ada satu watak utama sahaja, dibantu oleh watak-watak sampingan).

Untuk mempastikan ianya hidup dan bergerak, sang pengarang harus komited watak-watak yang dibangunkannya. Pembangunan watak ini akan seiring dengan pembangunan ceritanya.

Membangun cerita adalah teknik. Maka dari segi tekniknya, sebuah cerpen konvensional selalu diharuskan mempunyai tema. Tema ialah pokok kepada cerita kita. Orang selalu menyebut: cerpen ini temanya begini, cerpen itu temanya begitu. Ada tema cinta. Ada tema perjuangan. Ada tema kemanusiaan. Ada tema keagamaan. Ada tema patriotik. Walaupun pada umumnya antara satu tema dengan satu tema yang lain sering bertindihan dan saling merangkumi, kita patut juga memberi klafisikasi; sekurang-kurangnya di peringkat awal kita mengarang.

Begitu juga, cerpen-cerpen konvensional turut dikatakan perlukan PLOT (dan sub-sub plot). Secara mudah, plot adalah sebab musabab. Sesuatu tidak terjadi tanpa sebab musabab. Di dalam cerpen, plot seumpama benang ketika pakaian dijahit. Tanpa benang, bagaimana akan merajut? Tanpa plot, bagaimana cerita boleh berlaku?

Bilamana kita tahu cerita kita punya plot yang kuat, secara tidak langsung kita telah memiliki sesuatu untuk kita hadirkan kepada pembaca. Sesuatu itulah yang kita namakan mesej, perutusan, matlamat atau apa saja yang patut dipadankan kepadanya. Barangkali kita hendak menyindir, hendak mengkritik, hendak meratap, hendak mengajak masyarakat agar berasa begitu berasa begini.

Dalam keadaan ini, kita sebagai penulis sebenarnya mempunyai pendirian yang tersendiri. Sikap kita yang tersendiri. Sikap itulah yang orang panggil approach, satu macam pendekatan. Pendekatan secara keras. Pendekatan secara lembut. Sikap yang bersahaja. Sikap indikatif. Apatah kita telah pun awal-awal mempunyai watak. Dari aspek approach, kita barangkali hendak menjadi pencerita semata-mata, tanpa cenderung atau mentereng kepada mana-mana watak. Boleh jadi juga kita ingin menjadi pembela kepada satu-satu watak, dan menghukum watak-watak lain. Pendirian dan pendekatan atau approach ini juga penting kita ceratkan dalam fikiran kita.

Semua itu akan kita paparkan melalui ayat-ayat yang kita tulis. Ada dua bahagian ayat dalam sesebuah karya cereka. Pertama, ayat-ayat narrative atau naratif. Naratif ialah ayat-ayat yang (di mana pengarang cerpen) bercerita.

Dan kedua, ayat-ayat dialog atau kata-bual. Dialog ialah apabila watak-watak di dalam cerpen kita “bercakap”. Selain dialog, ada juga monolog dan interior-monolog. “bercerita” dan “berdialog” dan bercakap sendirian itu tentulah bertempat. Maka sebuah cerpen, pada umumnya akan berlaku pada satu-satu tempat tertentu.

Tempat ini kita sebut sebagai latar (atau setting). Latar cerita dan latar dialog cerpen kita mungkin di kota, mungkin di desa. Mungkin di dalam rumah, mungkin di luar rumah. Mungkin-mungkin di mana-mana sahaja. Lalu, apabila ada latar, akan ada pula waktunya, ketikanya. Inipun harus diambil-kira. Waktunya bila: zaman sebelum perang, zamaan selepas perang, zaman sains teknologi, zaman komputer, zaman internet, pagi, petang, malam, dinihari dan sebagainya???? Setiap elemen yang disebutkan itu, apabila kita padankan di atas kerangkanya, tentu saja dengan pemadanan yang cermat dan bijaksana, akan memungkinkan terciptanya sebuah cerpen yang cantik.

Tetapi, untuk benar-benar melihat cerpen kita cantik, ada beberapa syarat lain. Kecantikan itu tidak sekadar diperasankan oleh kita, tetapi harus juga dinikmati oleh pembaca. Seumpama makanan, kesedapannya tidak sekadar diangkat-ibujari oleh tukang masaknya, tetapi harus dicicip-giuri oleh pemakannya.

Maka sebuah cerpen yang cantik biasanya mempunyai:

Intro atau pembukaan yang menarik. Dengan membaca baris pertama atau baris kedua sahaja orang sudah berasa seronok. Inilah apa yang orang sebut sebagai kecapan pertama. Intro yang segar, penuh rontaan, dan sekali gus agak suspen, membuatkan pembaca ingin terus membaca. Apatah apabila ceritanya pula dibangunkan dengan begitu teliti.

MEMBANGUN cerita (kita ulangi) adalah antara tugas terberat seorang penulis cerpen. Untuk membangunkan cerita, kita perlukan beberapa teknik. Misalnya teknik flash-back (imbas-belakang), teknik cerita berbingkai, teknik flash-shadow (imbas-depan) dan macam-macam teknik lagi. Sudut pandangan juga adalah teknik. Kita menggunakan sudut pandangan orang petama (sudut pandangan terbatas), atau sudut panangan orang kedua an ketiga (sudut pandangan [dia/mereka] yng serba tahu. Ini semua bergantung kepada kita.

Dengan adanya teknik-teknik itu, kita akan membuat cerita kita mencapai klimaks (kemuncak). Kemuncak dalam sebuah cerpen ialah pertembungan plot pokok dengan sub-sub plot. Sebuah cerpen tanpa klimaks akan menjadi datar. Penceritaan yang mendatar biasanya tidak akan menggugah, apatah lagi apabila ENDING (atau penamat) cerita itu sendiri tidak menimbulkan sebarang kejutan. Wajar juga diingat, penamat sebuah cerpen bukan penyudah kepada cerita di dalam cerpen. Cerpen kita boleh saja tamat, tetapi ceritanya belum tentu “selesai”.

Terakhir, kerana kita tadi, awal-awal lagi, telah menyatakan betapa pentingnya seseorang pengarang atau calon pengarang itu menjadi penguasa bahasa, maka setelah diyakini bahawa kita pun turut menguasai bahasa kita, maka kini terpulanglah kepada kita hendak menggunakan gaya bahasa bagaimana dalam karya cereka kita. Gaya bahasa kita di dalam penulisan cerpen secara tidak langsung akan dilihat sebagai identiti dengan diri kita sendiri sebagai pengarang. Gaya bahasa atau stail (sebagai mungkin kepada teknik), boleh saja menunggal, pun boleh juga rencam. Kita boleh menulis dengan gaya bahasa standard, gaya bahasa baku, atau dengan gaya bahasa seni, bahasa sastera. Tidak salah juga untuk menulis dengan gaya bahasa harian, bahasa basahan, bahkan juga bahasa-bahasa daerah (dialek). Begitu juga, gaya bahasa kita mungkin keras, sesuai dengan cerita, mungkin juga lembut, melankolik, romantik, retorik, sesuai dengan wataknya. Apapun, semuanya harus saling berkaitan.

Yakni dengan bergantung kepada sejauh mana kita telah menguasai bahasa kita!

Bagaimanapun jua, untuk menjadi seorang penulis cerpen yang baik dan berjaya, sesiapapun harus banyak membaca sastera. Untuk menguasai bahasa, kita perlu membaca apa sahaja bahan bacaan bermanfaat. Untuk menjadi orang berilmu dan berpengetahuan, antara lain kita pun kena membaca apa sahaja tulisan yang mengandungi ilmu dan pengetahuan. Tetapi, akhirnya apabila kita mahu menjadi penulis cerpen, kita tidak boleh lari daripada membaca sebanyak-banyak karya sastera (atau yang membahas perihal sastera: seperti pendidikan sastera, pedoman sastera, pelajaran mengarang sastera, kritikan sastera, ulasan sastera, polemik sastera dan sebagainya) dalam pelbagai genre; terutamanya karya-karya cerpen itu sendiri, yang ditulis oleh pengarang-pengarang besar, baik dari wilayah mana pun, baik dalam bahasa apa pun (yang kita kuasai).

Sebenarnya inilah, walaupun pernyataan ini diletakkan pada perenggan terakhir catatan ini, satu-satunya perkara awal yang perlu dikerjakan oleh sesiapa saja yang hendak mula mengarang cerpen, atau yang hendak terus mengarang cerpen, sepanjang proses pematangan dan pemapanan diri.