Friday, December 28, 2007

Petisyen Tunas Cipta



Sedikit berkenaan petisyen Tunas Cipta yang turut dijayakan oleh Grup Karyawan Luar Negara:-

Bermula Januari 2007, majalah Tunas Cipta yang khalayaknya khusus untuk penulis-penulis baru dan muda sekadar diterbitkan sebagai ruangan sisipan di dalam majalah Dewan Sastera. Hal ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya apabila majalah tersebut telah diterbitkan sebagai majalah yang sendiri dan berasingan. Kami sebagai kelompok penulis baru yang bergantung sepenuhnya terhadap majalah Tunas Cipta sebagai wadah utama untuk berjinak-jinak dalam dunia penulisan melihat keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan manfaat dan pertumbuhan penulis-penulis baru.

Sehubungan dengan itu, ahli-ahli GKLN telah menghantar surat rayuan dan sokongan agar majalah Tunas Cipta kembali diterbitkan secara autonomi kerana sebab-sebab yang berikut:

a) Memberi ruang penulisan yang lebih besar kepada penulis baru menyumbangkan karya kreatif dan non-kreatif untuk penerbitan. Pada hari ini, ruang di dalam majalah sisipan Tunas Cipta hanya terhad kepada penulisan cerpen dan puisi semata-mata, manakala bagi genre skrip drama/teater, artikel, dan berita, penulis-penulis baru ini perlu bersaing dengan para penulis mapan yang lain untuk mendapat tempat di majalah Dewan Sastera.

b) Karya-karya yang tersiar di dalam majalah Tunas Cipta sebelum Januari 2007, khususnya bagi ruangan puisi dan cerpen, telah mendapat bimbingan berbentuk komentar/kritikan yang berterusan dari pengulas yang terdiri daripada penulis mapan. Hal ini membantu golongan penulis yang baru bertapak ini mengenal dan membaiki kelemahan-kelemahan kami dalam penulisan. Setelah diterbitkan sebagai ruangan sisipan, ruangan komentar/kritikan bagi karya yang tersiar ini sudah tidak diwujudkan lagi sekaligus kurang membantu dalam pembinaan kemahiran penulisan penulis-penulis baru ini.

c) Melalui penyerapan majalah Tunas Cipta ke dalam Dewan Sastera sebagai ruangan sisipan juga telah menambah beban muka surat, sekaligus beban kos yang ditanggung oleh khalayak kedua-dua majalah ini. Pada Disember 2006, majalah Tunas Cipta sekadar berharga RM 3.00 senaskhah berbanding RM 6.50 senaskhah yang perlu dibayar untuk Dewan Sastera hari ini. Hal ini sedikit sebanyak membebankan khalayak Tunas Cipta yang majoritinya terdiri daripada golongan pelajar sekolah menengah dan institut pengajian tinggi, dan dalam masa yang sama turut dirasai oleh pembaca Dewan Sastera sendiri.

d) Dengan kembalinya Tunas Cipta sebagai sebuah majalah yang berasingan dan autonomi, bahan-bahan yang tersiar di dalamnya akan menjadi lebih relevan dan khusus kepada khalayak penulis baru. Tidak dinafikan bahan-bahan yang terdapat di dalam Dewan Sastera juga penting sebagai pendedahan dalam pembinaan pengetahuan penulis baru, namun ketiadaan bahan yang merujuk khusus kepada hal ehwal dan pembentukan penulis baru sedikit sebanyak menimbulkan rasa terasing dan tersekat kepada kami dalam menikmati dan bergiat dalam penulisan.

------------------

Dalam masa yang sama, rentetan daripada penyerapan majalah Tunas Cipta ke dalam majalah Dewan Sastera, Hadiah Sastera Tunas Cipta yang baru sahaja sekali berlangsung turut lenyap. Setelah terkubur Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat (HSSBR), tidak ada lagi sebarang anugerah atau hadiah sastera yang konsisten dan khusus untuk golongan penulis-penulis baru dan muda ini. Kami melihat kewujudan hadiah dan anugerah sastera seperti ini sangat penting dalam usaha penggalakan penulisan di kalangan penulis baru di samping mewujudkan suasana berkarya yang kompetitif dan aktif. Bahkan keberkesanan hadiah dan anugerah sastera seperti ini telah terbukti apabila Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat telah melahirkan generasi penulis muda yang berkualiti termasuklah Faisal Tehrani, Nisah Hj Haron, Shamsudin Othman, Rahimidin Zahari, Zaid Akhtar, Siti Hajar Mohd Zaki, dan ramai lagi.

Moga-moga rayuan penulis-penulis kerdil ini mendapat pertimbangan yang sewajarnya.