Friday, December 28, 2007

Apa Untungnya Jadi Penulis?

Oleh: NORDIN ABDULLAH


SEDANG kita terus giat menghasilkan karya demi karya dengan penuh minat dan iltizam yang mantap, sesekali tentu ada kalangan masyarakat yang melontarkan persoalan kepada kita, apa untungnya jadi penulis?

Bagi menjawab soalan semacam ini, tentu kita akan berdepan dengan kesukaran. Dikatakan sebegini kerana jawapan yang biasa kita berikan kepada soalan ini ialah kita jadi penulis untuk mencari kepuasan, selain untuk menyumbangkan bakti kepada khalayak melalui karya-karya yang dihasilkan.

Jawapan begini tentu saja akan diketawakan oleh masyarakat yang rata-rata memandang sesuatu dari aspek kebendaan semata-mata.

Dalam hal ini apakah lagi yang mampu untuk kita perjelaskan kerana hakikatnya, dalam konteks Malaysia, belum ada penulis yang mampu hidup kaya raya kalau menjadi penulis sepenuh masa.

Ini adalah realiti kerana bayaran yang diterima lewat dan karya yang diterbitkan hanya sekadar ada.


Bagi penulis semacam ini, ia pemberian yang cukup bermakna. Selain disyukuri, ia merupakan pemberi semangat untuk kita meneruskan usaha dalam menghasilkan karya-karya kreatif mahupun non-kreatif yang lebih berkualiti dan memberi makna untuk kesejagatan pembaca yang sudi membaca dan menghayati hasil kerja itu.

Kalau kita telah memantapkan jiwa dan raga untuk menjadi penulis, jangan terlalu menaruh harapan besar untuk mencari imbuhan yang keterlaluan. Biarlah niat dan perjuangan di atas landasan yang tulus. Memanglah imbalan itu satu keperluan. Namun yang perlu difahami ialah kerja kita untuk memberi impak kebaikan bagi kesejahteraan manusia sejagat.

Untuk menjadi penulis yang benar-benar dihormati, janganlah terlalu menghitung akan untung rugi yang kita peroleh. Kerja-kerja penulisan kita lakukan dengan benar-benar bersistematik yang nantinya mampu disiarkan di media, seterusnya dibaca oleh khalayak pembaca yang prihatin dan sudi.


Jangan dihirau akan tanggapan orang keliling kerana sebagai penulis, kita mesti memantapkan semangat juang yang benar-benar jitu. Maknanya kita sanggup berjuang dalam meletakkan diri untuk menjadi seorang penulis yang benar-benar hebat dan hasil-hasil karya kita akan terus dinikmati oleh khalayak.

Memang sukar untuk meyakinkan khalayak masyarakat tentang makna perjuangan kita sebagai penulis. Siapa yang tak inginkan wang dan kebendaan, namun perjuangan kita dalam bidang penulisan bukan itu matlamat utamanya. Ia sekadar matlamat sampingan kerana yang lebih penting ialah segala mesej lewat karya-karya kita mampu difahami, lantas diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Kita jadikan sagu hati karya yang kita peroleh sebagai pembakar semangat untuk kita meneruskan usaha dalam menukilkan lebih banyak karya-karya yang berkualiti, bermakna dan mampu memberi impak kemanfaatan untuk pembaca dan masyarakat keseluruhan. Jelasnya, wang memang penting tapi ia bukan segala-galanya dan bukan matlamat utama kita menerjunkan diri dalam bidang penulisan yang memungkinkan segala kemungkinan.

Kalau orang lain tak memandang apa-apa tentang puisi, cerpen mahupun novel dan lain-lain, itu tidak mengapa. Namun bagi kita, harta kita yang paling memberi makna ialah karya-karya yang kita hasilkan. Inilah salah satu keuntungan yang mampu diperoleh dalam penulisan. Selain dapat menyumbang bakti untuk masyarakat, kita dapat buktikan kepada umum bahawa kita menghasilkan sesuatu yang begitu bermakna yang tak mampu dihasilkan oleh mereka yang tidak dikurniakan bakat dan kebolehan.

Menyedari hakikat ini, wajar kita ucap syukur kerana kita diberi bakat dan kebolehan berkarya yang bukan kepalang kurniaannya. Maknanya kita merupakan kalangan insan yang diberi keuntungan yang bukan calang-calang.


Untuk kita mensyukuri keuntungan dan bakat yang kita peroleh, adalah wajar kita menjadikan diri kita kalangan penulis berjiwa besar. Langkah dan tindakan perlu diadun bagi menghasilkan karya-karya untuk disumbang bakti kepada khalayak pembaca semata-mata bagi memberi mereka kefahaman dalam mengharungi kehidupan ini agar terus mencintai kedamaian dan kesejahteraan yang diredai Allah.

Inilah perjuangan kita sebagai penulis yang akan terus berkarya selagi akal masih mampu berfikir dan kudrat masih bergerak. Kita melakukan segala-galanya untuk mencari kebaikan bagi kehidupan manusia sejagat. Inilah realiti perjuangan penulis yang sanggup membakar diri bagi menerangi kehidupan orang lain.

Tidak kisah akan imbuhan yang diperoleh, penulis yang berjiwa luhur akan terus menghasilkan karya tanpa jemu. Semuanya dilakukan dengan niat yang tulus. Kalau karya yang disiarkan diberi bayaran, kita akan mengucap kesyukuran. Seterusnya kita meneruskan jejak untuk menjadi penulis bergelandangan, mencari idea yang bernas, untuk dijadikan karya puisi, cerpen mahupun novel buat santapan minda khalayak pembaca dan masyarakat keseluruhannya.