Saturday, December 29, 2007

Tulis apa? - dengan ‘Teori YES!’

Oleh Nasriah Abdul Salam
http://puteribongsu.wordpress.com











‘Apa yang kamu perjuangkan dalam penulisan?’

Saat yang sesuai atau tidak, mesej itu masuk ketika saya sedang menyiapkan sebuah cerpen. Acuh dan tidak, saya balas; ‘orang berjuang tidak akan beria-ia mencanang apa yang dia perjuangkan. Yang penting, dia pasti dia mahu laksanakan perjuangannya’ untuk menutup ‘acara berbalas mesej’ dan kembali menghadap komputer. Benar, apa yang ditulis oleh seorang penulis selalunya membiaskan pendapat, pandangan dan pendiriannya terhadap sesuatu perkara. Bahkan, pandangan (yang mungkin mewakili perasaannya juga) terhadap sesuatu perkara akan nampak ketara lewat karyanya. Shit! yang cuma menggunakan perut panjang manusia sebagai latar tempatnya, dan najis pelbagai rupa, bentuk, cair, kesat atau panjang pedek menjadi wataknya. Cuma itu. Tetapi, itulah yang mewakili keloyaan (juga mewakili perasaan, pandangan, pendirian) SN Shahnon Ahmad lewat novelnya terhadap politik semasa sekitar 1998-1999 ketika itu.

Selepas komputer ditutup, saya tatap SMSnya yang lain. – ‘kan setiap penulis punya subjek yang jadi tunjang penulisannya. Pak Samad dengan era selepas perang, Cikgu Shahnon dengan korupsi politik, Faisal Tehrani dengan isu umat Islam dll.’ Saya mengiyakan sendiri tanpa membalas apa-apa, terus melayan kantuk mata. Subjek penulisan – atau dalam bahasa yang lebih mudah, apa yang ditulis? Atau, idea-idea apa yang diterap melalui penulisan?

Jika ditanya saya sekali lagi, apa yang ditulis? – saya tentu ‘gamam’ untuk menjawapnya kerana tentu sahaja jawapan menjadi panjang. Apa yang ditulis – yang bermain dalam fikiran saya ialah, saya tulis tentang kucing yang terbiar di tengah jalan, saya tulis tentang pencemaran alam yang dikerjakan oleh orang yang bersikap ‘tidak apa.’ Juga, tentang pengguna tandas awam yang ‘bongkak’ mengguna tandas kerana beranggapan cleaner ada untuk membersih buangannya, tentang tarif air dan elektrik yang semakin naik. Oh ya, juga tentang jalan berlubang-lubang di kampung saya yang berlopak-lopak.

Itukah? Jika itu, maka jawapannya akan jadi berganda panjang lebarnya. Jawapan itu betul, tetapi barangkali ada jawapan lain yang lebih tepat. Mudahnya, saya mahu simpulkan jawapan saya; “subjek penulisan atau idea yang saya (dan kita) mahu (dan perlu) bumbukan ialah yang elok-elok sahaja.”

Yang elok-elok sahaja? Jika ini yang ditanya lagi, saya mahu katakana inilah tugasan saya, kamu, kalian, kita – sebagai penulis beragama Islam yang mengakui ketauhidan (bukan hanya seperti tertera dalam Mykad). Pokoknya, konsep amar makruf itulah dasar penerapannya dan prinsip ini akan didukung oleh prinsip Islam dalam Quran dan Sunnah – yang saya nyatakan sebagai ‘Yang Elok-elok Sahaja’ tadi (yang saya namakan sesedap rasa saya sebagai Teori YES)

Dan bagaimana Teori YES ini berlangsung? Tidak lain dan tidak bukan, hanya satu – dengan menerapkan nilai yang dibawa oleh Islam juga. Prinsip adab dan akhlak, ibadah dan syariah, dan sebarang bentuk kebaikan mesti diacu, dicanai, ditempa dalam penulisan supaya menepati subjek dan falsafah yang dibawa oleh Islam. Oleh yang demikian, penulis yang menyampaikan ideanya lewat penulisan perlu sentiasa beringat bahawa kerja menulisnya adalah satu ‘pekerjaan’ yang akan membawa ke salah satu tempat sahaja- sama ada syurga atau neraka kerana penulis Muslim yang mukmin akan percayakan kewujudan benda-benda ghaib yang gagal dibuktikan oleh Barat lewat eksperimen makmalnya.

Oleh sebab itulah, Barat (atau lebih tepatnya orang yang tidak meletakkan ketauhidan sebagai dasar kehidupannya) akan melakukan apa-apa sahaja tanpa apa-apa batasan. Misalnya, berpegang kepada idea ‘imaginasi tanpa batasan,’ atau freedom of expression akan membawa penulis untuk berimaginasi setinggi mungkin (melampau) tanpa apa-apa sekatan sehingga lahirnya kekaburan (absurdity) dan existentialism dan teori-teori yang tidak menyekat pemikiran atau imaginasi ini. (boleh semak http://en.wikipedia.org/wiki/Absurdism dan http://en.wikipedia.org/wiki/Existentialism )

Kesannya, ‘nilai makna’ pada sesuatu karya akan beraduk dan diolah dengan perkara-perkara ‘melampau’ yang berpunca daripada kebebasan ini. Kebebasan ini menatijahnya nihilisme, ateisme, dan bermacam lagi kekalutan yang mungkin akan menafikan adanya kuasa lain yang lebih mencipta iaitu Yang Maha Pencipta. Bukankah kuffar yang menafikan al-Quran sebagai kitabullah menyatakan bahawa Quran itu tidak lain hanyalah syair sahaja? Kenapa? kerana lumrah jahiliyyah zaman itu ialah mencipta syair-syair yang penuh ‘kemabukan’ sehinggalah al-Quran (yang begitu indah mengalahkan syair-syair kuffar) dituduh sebagai syair hasil ciptaan imaginasi Nabi Muhammad S.A.W (boleh semak dan baca di http://en.wikipedia.org/wiki/Nihilism juga http://en.wikipedia.org/wiki/Atheism )

Dalam surah Yasin:69, firman Allah bermaksud ‘Tidaklah kami mengajar syair kepada Muhammad itu dan tidak patut syair itu baginya. Kitab (al-Quran) ini tidak lain ialah pelajaran dan petunjuk yang terang.’

Jadi, adakah Islam menolak imaginisi? Tidak, Islam tidak sebegitu rigid sehingga membunuh fitrah atau kemahuan untuk berimaginasi kerana dengan wujudnya imaginasi, maka seseorang akan mencipta sesuatu yang baru dan lain dengan menggunakan janaan kretiviti. Namun, imaginisai ini mempunyai sekatan-sekatan tertentu, dan ketauhidanlah yang menyekatnya, atau dalam bahasa yang lain tauhid dan ketauhidan dibawa dan diajar untuk mengimbangi kebobrokan. Saya berikan contoh mudah, Barat berimaginasi untuk mencipta manusia dan imaginasi ini dijana sebaik mungkin sehingga begitu ‘kreatif’ mencipta manusia dengan kaedah klon, sedangkan, imaginasi dan kretiviti ini ditolak sepenuhnya oleh prinsip Islam.

Aplikasi yang sama boleh diambil dalam menulis dan mencipta karya, iaitu berimaginasi tidak salah, tetapi perlulah dalam konteks yang seiring dengan Islam. Ciptalah apa-apa sahaja yang baru, terokalah apa-apa sahaja yang belum pernah ditemui oleh orang lain namun, jangan sesekali mencipta sesuatu yang sudah menjadi milik hakiki Allah S.W.T . Oleh itu, jika anda pengarang cerpen, puisi atau apa-apa sahaja karya, plot, dialog, watak dan perwatakan perlu dicipta dengan ‘berhati-hati’ agar tidak melampau batas yang sewajarnya kerana orang yang melampaui batas tergolong dalam golongan orang yang tidak disukai oleh Allah (al-‘Araf: 31) Rentetan ‘sekatan dan imbangan’ berpandukan prinsip ketauhidan inilah, penulis akan menghasilkan sesuatu yang indah dan bermakna, bukan hanya indah tetapi penuh kekaburan sebagai mana yang dibawa oleh prinsip sastera Barat. Bahkan pada mereka, semakin sukar sesebuah karya itu difahami, maka semakin tinggilah nilai dan estetikanya. Bukankah sehingga kini peminat lukisan Monalisa masih ’bertelingkah’ untuk menjawap sama ada wanita dalam gambar itu sedang senyum, atau sedang ‘muncung’? http://en.wikipedia.org/wiki/Monalisa

‘Keindahan’ dalam konteks ini bukanlah keindahan yang dipandang dengan mata dan ditafsir dengan ideologi buatan manusia, tetapi dirasai dengan hati dan jiwa Islam. Justeru, Islam mementingkan kedua-duanya – bentuk kata, bahasa juga keindahan bentuk makna, falsafah dan pengajaran.

Rumusan dan contoh mudahnya, ‘indah’ dalam Islam tidak sama dengan ‘pleasure’ pada kaca mata sekular. Juga, ‘baik’ dalam prinsip Islam tidak akan sama dengan ‘beneficial’ cadangan Barat, ‘ruh,’ hikmah atau estetika dalam Islam tentunya akan jauh berbeza dengan ‘spirit’ buatan Barat.

Oleh itu, jika anda berpegang kepada ‘penulis ialah orang yang mencipta persoalan dan bukan melerai atau menajawapnya kerana itu ialah tugas pembaca’ anda wajar berhati-hati agar tidak terjatuh ke gaung dalam absurdity dan anda mendapat ‘kreditnya’ secara tidak langsung. Meninggalkan persoalan kepada pembaca supaya pembaca diberi peluang menaakul dan mecari sendiri adakalanya memberi manfaat tetapi perlulah dalam konteks ‘fleksibal’ dan bersederhana, bukan mencipta sesuatu persoalan yang secara terus akan mengakibatkan taakulan pembaca tergelincir daripada jalan yang sudah digariskan Islam. Dan disinilah letaknya keistimewaan agama ini. Maka, apakah ‘ukuran’ kejayaannya Teori YES ini?

Saya rumuskan, Teori YES tidak akan berjaya sehingga bila-bila sekalipun kerana amar makruf, nahi mungkar ialah kerja berpanjangan dan tugas wajib semua individu Muslim. Pun, jika suatu hari nanti tiada lagi kemungkaran yang boleh dicegah kerana semua orang di dunia ini sudah melakukan kebaikan/kemakrufan sahaja, tugas dalam Teori YES ini tidak juga akan berhenti kerana Allah menyuruh berpesan-pesan dengan perkara kebaikan dan berpesan kepada kesabaran (bukan untuk nahi mungkar sahaja). (Surah al-’Asr)

Sekadar memetik kata Imam Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin, antaranya menyebut- “hendaklah tukang-tukang cerita waspada terhadap hal-hal bohong dan hikayat-hikayat yang menyajikan perbuatan salah, atau yang tujuan baiknya tidak dapat difahamkan oleh umum. Atau, cerita itu merupakan satu pertarungan antara yang baik dengan buruk, lalu yang buruk mendapat pembelaan yang berlebihan sebelum dikalahkan oleh yang baik. Tanpa disedari, hal ini memberanikan orang berbuat dosa.

Oleh itu, jika ditanya soalan yang sama, apa yang anda mahu tulis, gagasan apa yang mahu anda bawa, subjek apa yang mahu anda perjuangkan – biarlah saya, kita, kalian, dan anda mejawap; apa-apa juga asalkan yang elok-elok sahaja – YES. Ya, skop jawapan ini akan menjadi luas, tetapi bukankah cakupan agama Iskam itu sendiri juga luas, universal dan meliputi semua capahan kehidupan? Oleh itu, jika anda (dan kita) menjadikan politik sebagai subjek penulisan, ambillah yang YES dan jangan terlalu menonjolkan yang tidak. Jika, akademik dan isu semasa menjadi pokok idea, ambillah yang YES dan kalahkan yang batil.

Bunyi macam begitu ekstrim atau jumud? Hah, anda putuskan sendiri. Tetapi pastikan anda menilai dengan hanya menggunakan worldview yang sahih kerana perkara yang benar dah salah sudah jelas ditentukan.

(Saya bukan ‘anak jati’ yang dilahirkan dalam bidang sastera dan mengenali pelbagai teori sastera. Maaf jika ada bicara yang tidak konsisten dengan terma-terma sastera dan teorinya. )

Dan kalian yang membaca, boleh meninggalkan komentar jika bersudian begitu.

2 comments:

Khadijah Khalilah Abdul Rashid said...

Menarik artikel ini.Tahniah!

Dalam surah Yasin:69, firman Allah bermaksud ‘Tidaklah kami mengajar syair kepada Muhammad itu dan tidak patut syair itu baginya. Kitab (al-Quran) ini tidak lain ialah pelajaran dan petunjuk yang terang.’

Tiada apa-apa komentar yang ingin diberi cuma berkenaan ayat tersebut,saya ada terfikir akannya.Melalui huraian penulis,dapat juga bayangan saya tentang maksud ayat tersebut.Terima kasih.

Fahd Razy said...

Hari ini ada kecenderungan, tak kira dalam penulisan, filem, drama, dan sebagainya untuk menyampaikan pedoman melalui pemaparan realiti masyarakat secara berlebihan (iaitu, senario negatif- penagihan dadah, pelacuran, gejala sosial anak muda, dan sebagainya) dan kemudian watak-watak itu diberi 'poetic justice'. Misalnya kena AIDS, mati kemalangan (mat rempit) dan sebagainya. Walaupun pengajarannya jelas di akhir cerita melalui poetic justice tu...tapi pemaparan realiti yang melampau dan berlebihan2 tu saya rasa akan merosakkan lagi masyarakat. Gejala sosial jadi 'immune' di telinga masyarakat, bahkan menganggap itu adalah sebahagian cara hidup kita. Sebab itu saya rasa teori YES ini patut diketengahkan untuk penulis2 GKLN agar penulis pelapis tidak terlalu ghairah memaparkan adegan-adegan yang tak sepatutnya.