Oleh: Nasriah Abdul Salam
Ya Habibi Ya Muhammad.
Mengaku sebagai umat Muhammad
Mengaku baginda Rasul sebagai qudwah hasanah
Mengaku rindukan Kekasih Allah itu
Mengaku sirah baginda mesti dijiwai
Mengaku mahu ikut sunnah Nabi
Hamba kemudian teringat akan ajaran guru hamba
Iman itu ialah
membenarkan dengan hati
mengucapkan dengan lisan
dan beramal dengan anggota badan
Hamba lantas jadi makin sedar
Jika sekadar terasa-rasa di dalam
Jika sekadar berbisik-hembus di bibir
Jika sekadar paksa-terpaksa melaksanakan
Tiada nilainya
Hamba mesti ingatkan raja kerajaan diri hamba, Si Hati
Yang hendak hamba ikuti itu
Yang hamba katakan rindu itu
Adalah kekasih Tuan Pencipta hamba
Bukan calang-calang gerangan
Hamba ingatkan lagi panglima diri hamba, Si Hati itu
juga
Mujahadah hamba mesti kuat dan terus
Hamba tidak boleh setakat hangat-hangat tahi ayam
Hamba tidak mahu setakat batuk-batuk di tangga
Tidak baik begitu
Ah.. banyak yang mesti hamba pertingkatkan
Tuan hamba pula, gimana mujahadahnya?
(mawlid nabi 1425H @ 2004)
Asriah Safian
ULASAN SAJAK YA HABIBI YA MUHAMMAD KARYA ASRIAH SAFIAN
Oleh Nasriah Abdul Salam
Membaca sajak nukilan Asriah Safian, dapat dirasakan
bahawa penulis cuba memasukkan unsur ‘semangat
perjuangan’ dalam meningkatkan taraf keimanan terhadap
agamanya. Ini dapat dilihat pada rangkap:
Hamba ini mengaku
Mengaku sebagai umat Muhammad
Mengaku baginda Rasul sebagai qudwah hasanah
Mengaku rindukan Kekasih Allah itu
Mengaku sirah baginda mesti dijiwai
Mengaku mahu ikut sunnah Nabi
Hamba kemudian teringat akan ajaran guru hamba
Iman itu ialah
membenarkan dengan hati
mengucapkan dengan lisan
dan beramal dengan anggota badan
Rangkap-rangkap di atas menggambarkan kesan lafaz syahadah yang menjadi asas keimanan seorang individu
muslim pada agamanya. Perenggan seterusnya memperlihatkan kesedaran penulis bahawa ‘hati’
merupakan seketul daging yang menjadi tunjang amalan dan keimanan seseorang, sebagaimana yang dimaklumkan
oleh Rasulullah S.A.W. Jelaslah, di sini penulis cuba mengadaptasi hadis tersebut dalam rangkap sajak
ciptaannya.
Apabila beralih ke rangkap seterusnya (rangkap 10) bahasa atau perlambangan yang diguna oleh penulis
sedikit berubah. Hal ini kerana, simile ‘Hamba tidak boleh setakat hangat-hangat tahi ayam/ Hamba tidak
mahu setakat batuk-batuk di tangga’ merupakan satu simile yang klise atau sudah terlalu biasa digunakan
dalam banyak prosa. Cadangan saya kepada Asriah, seelok-eloknya baris tersebut diubah kepada diksi yang
lebih sesuai dan membawa maksud yang sama dengan simile yang telah digunakan.
Contohnya : Mujahadah hamba mesti kuat dan terus/ bukan embun yang dijilat mentari/ bukan pepasir yang didebur taufan. (sekadar contoh)
Selain itu juga, rangkap 10 dan seterusnya dilihat kurang puitis berbanding rangkap-rangkap sebelumnya.
Saranan saya, Asriah wajar membiasakan diri dengan pemilihan diksi yang mempamerkan sedikit kepuitisan
dalam mengarang sajak.
Secara keseluruhannya, sajak di atas merupakan sajak yang mampu menarik pembaca berfikir akan tahap kesedaran serta tahap kepercayaan masing-masing pada akidah yang sedang mereka anuti. Dapat dilihat, penulis mengambil sikap berhati-hati dalam mengarang, kerana tiada kesalahan tatabahasa mahupun kesalahan ejaan yang dapat dikesan. Semoga penulis dapat menjadikan teguran saya sebagai satu azam untuk mencipta sajak yang lebih cemerlang di masa hadapan.
Teruskan!