Saturday, November 24, 2007

Ulasan Karya Bengkel Penulisan Islami GKLN-Adabuna 2007

Oleh: Nisah Haji HAron(Dibentangkan dalam Bengkel Penulisan Islami GKLN-Adabuna)

Secara umumnya, penulis-penulis GKLN-Adabuna yang menyertai bengkel penulisan ini sudah memiliki beberapa asas penulisan. Terdapat beberapa peserta yang boleh menulis dengan baik dan karya mereka boleh maju setingkat lagi jika mereka rajin berusaha untuk mengasah bakat.
Sebelum saya mengulas secara terperinci setiap karya, saya mulakan dengan mengulas beberapa kesalahan umum yang dilakukan hampir semua peserta:

i) Format penulisan
Masih ada peserta yang tidak jelas tentang bagaimana format sesebuah manuskrip sepatutnya dihantar kepada editor. Paling utama, bagaimana kedudukan judul dan nama pengarang pada halaman pertama.

Judul seharusnya diletakkan sekitar 2 – 2.5 inci dari jidar (margin) atas. Ertinya, dalam komputer boleh tekan enter 5 kali (single spacing) sebelum menaip judulnya. Di bawah judul, mestilah diletakkan nama pengarang – sama ada nama pena ataupun sebenar (jika pengarang memilih untuk menggunakan nama sebenar).

Pengecualian kepada manuskrip sayembara/pertandingan. Nama pengarang tidak boleh diletakkan pada manuskrip sama sekali.

Jidar sebelah kiri dan kanan pula adalah sekitar 1 inci. Jidar bawah 1.5 ke 2 inci.

Tujuan jidar ini ialah untuk memberi ruang kepada editor membuat suntingan kepada karya. Bayangkan jumlah manuskrip yang mungkin diterima seseorang editor. Secara peribadi, saya akan membaca karya-karya yang diformat dengan lebih kemas berbanding yang padat dengan tulisan serta tidak memberi ruang suntingan.

Pastikan setiap karya ditaip dengan menggunakan double spacing. (Ingat ya, bukan langkau sebaris ataupun satu setengah, tetapi langkau dua – double spacing). Ini sangat asas dan sangat penting bagi memastikan kekemasan manuskrip.

ii) Tanda baca dan lain-lain
Pastikan pengarang menguasai sedikit sebanyak tanda baca yang asas. Contohnya, pada penghujung ayat ada noktah. Tidak perlu tekan space bar sebelum noktah. Tetapi selepas noktah perlu tekan space bar. Begitu juga dengan koma. Saya temui seorang peserta yang berbuat sebaliknya.

Jika mahu menggunakan apa-apa kata asing, seperti kata tertentu dalam bahasa Inggeris, tidak perlu ditaip dalam pengikat kata ( “kata Inggeris”) sebaliknya gunakan huruf condong ataupun italic.

Pastikan juga setiap halaman diberikan nombor muka surat. Jika karya anda diemel dan dicetak editor, dan kemudian halaman-halaman tersebut ditiup angin. Editor akan mengalami kesukaran menyusunnya semula dan karya anda mungkin sahaja akan dilupakan. (worst case scenario).

Saya telah menerima enam cerpen berikut : –
i) Dia
ii) Mimpi
iii) Kasih di Perasingan (Zuhaida Haji Zainon)
iv) Di Sana Kan Kita Bertemu (Siti Aishah Abdul Mutalib)
v) Di Hati
vi) Katrina.

Hanya 2 nama pengarang yang disebut dalam karya di atas. Ini disebabkan hanya pengarang tersebut yang meletakkan nama pada karya masing-masing. Yang lain tidak meletakkan langsung nama masing-masing. Sdr. Echopena hanya meletakkan ‘Echopena’ pada hujung karya tanpa memberi sebarang petunjuk bahawa ini ialah nama yang dipilih untuk dikenali sebagai pengarang.
Identiti pengarang sangat penting dalam karya. Saya tetap menekankannya kerana ia juga menunjukkan keyakinan seseorang pengarang dalam menghantar karyanya untuk tujuan penerbitan.
Format penulisan ini sangat asas dan hanya wajar disebut pada peringkat awal sebegini. Jika ada bengkel susulan selepas ini, kesilapan teknikal kepada perkara-perkara asas tadi tidak sepatutnya berulang kerana ia sepatutnya sudah sebati dengan pengarang.

Bacaan lanjut : Sila dapatkan buku Persediaan Menulis Cerpen ataupun Persediaan Menulis Novel oleh Othman Puteh.

Kasih di Perasingan

Cerpen ini menggunakan tema universal iaitu hubungan cinta sesama insan. Pengarang dengan bijaksana cuba untuk mewajarkan hubungan cinta tersebut dengan matlamat untuk berkahwin supaya hubungan tersebut menjadi halal. Pertemuan awal di laman siber telah mengikat hubungan mereka ke jinjang pelamin.

Namun begitu, plot cerita agak mendatar. Sudut penceritaannya bersifat ‘melaporkan sesuatu’ kepada pembaca. Pembaca tidak mungkin menemui unsur saspens yang boleh membina konflik. Permainan plot yang menunjukkan jalinan sebab dan akibat tidak dapat dijalinkan dengan kemas. Lantas menjadikan cerpen ini bersifat melankolik. Susunan plotnya juga agak simplistik apatah lagi mudah ditebak penghujungnya walaupun pembaca belum lagi sampai ke pertengahan cerita. Ia boleh diringkaskan seperti berikut :
a) Pertemuan Dian & SufianPerkahwinan Dian & Sufian
b) Perpisahan Dian & Sufian buat sementara kerana Dian masih menuntut di luar negara
c) Dian tidak dapat menghubungi Sufian selepas usai peperiksaan. Dian dimaklumkan mungkin Sufian di luar daerah.
d) Dian pulang ke tanah air sewaktu cuti. Mendapat tahu suaminya menghidapi leukemia.
e) Semua pihak ‘berkonspirasi’ untuk merahsiakan perkara ini pada pengetahuan Dian kerana dia masih belajar
f) Sufian meninggal dunia
g) Dian kembali meneruskan pengajian

Tidak ada salahnya susunan plot di atas. Pengarang haruslah lebih bijak memanipulasi teknik penyampaian supaya segala saspens dan konflik dapat dibina dengan baik. Mengapa suaminya dan seluruh ahli keluarga sebelah Sufian dan Dian harus menrahsiakan penyakitnya itu juga tidak mempunyai sebarang rasional. Ia sekadar rahsia dan tidak diselesaikan dengan sempurna. Malah dibiarkan sahaja. Konflik seorang isteri yang berasa ‘tertinggal’ kerana hanya yang tidak mengetahui rahsia tersebut tidak ditangani dengan baik.

Oleh sebab plotnya dijalin secara langsung dan menjadi mendatar, pengarang juga tidak memberikan sebarang penekanan pada apa-apa subjek dalam cerita. Pada akhir cerpen, pembaca yang kritis akan tertanya-tanya : Apa yang hendak disampaikan pengarangnya? Kisah suami yang tabah ataupun isteri yang tabah? Tetapi ketabahan itu tidak berjaya diserlahkan oleh pengarang melalui cerpen ini.

Penyampaian yang meleret-leret juga menghalang cerpen ini memberi impak kepada pembaca dan pembaca berasa dipaksa-paksa supaya menghabiskan cerpen ini. Cerpen harus mempunyai satu tema dan cerita yang padat, ekonomik dan bergerak pantas. Kesemua ciri asas ini tidak terdapat dalam karya ini.

Laras bahasa yang digunakan juga lebih sesuai dalam novel, ini termasuk penggunakan dialog yang bertele-tele. Perbualan romantik antara suami isteri ini sememangnya diduga tetapi dialog-dialog tersebut tidak menggerakkan cerita dengan baik. Prinsip mudah untuk meletakkan dialog dalam cerpen ialah dialog itu mesti mempunyai significance dan membantu menggerakkan penceritaan. Jika perkara yang sama telah diperikan dalam bahagian naratif, ia tidak perlu diulang lagi di dalam dialog. Terutama sekali dalam cerpen yang mempunyai ruang yang terhad.

Pengarang dinasihatkan supaya membaca lebih banyak cerpen yang tersiar di akhbar/majalah perdana bagi membandingkan karya mereka. Perhatikan bagaimana pengarang-pengarang tersebut memanfaatkan bahasa yang pendek, ekonomik dan sesuai untuk menghantar mesej dalam karya.

Di Sana Kan Kita Bersama

Cerpen ini membuat satu percubaan teknik yang baik. Ia dibahagikan kepada 7 fragmen. Kesemuanya ditandakan dengan ejaan nombor. Pemecahan fragmen-fragmen begini merupakan satu teknik untuk memberikan tempo yang pantas kepada cerpen. Pengarang juga nampaknya memahami penggunaan fragmen. Setiap fragmen mempunyai latar dan watak yang berbeza serta sesekali menggunakan sudut pandangan yang berbeza juga. Susunan plot juga tidak dibuat secara kronologi. Ini memberikan ruang kepada pembaca untuk berfikir bagi menyusun semula cerita tersebut.

Walau bagaimanapun, teknik yang kuat sahaja tidak dapat membuat cerpen tersebut membawa mesejnya. Tiada aspek pemikiran yang dapat dikesan dalam karya ini dan cerpen ini hanya menonjolkan aspek teknik.

Cerpen ini juga bersifat nostalgik dan pengakhirannya tidak memberi sebarang impak kerana jalinan sebab akibat tidak berhubung dengan baik.

Ringkasan plot seperti berikut :
a) Aku (Pian) melayan anaknya, Arifah membaca cerpen Menunggu Bulan. Janji untuk baca selepas makan tengah hari,
b) Imbas kembali : Aku menyakat Latifah dengan membaling cicak sewaktu mengaji. Apabila ditanya, Malik yang mengaku bagi menyelamatkan semua orang.
c) Sarah berbual dengan ayahnya, Malik – seorang penulis kini.
d) Imbas kembali : Malik berangkat ke timur tengah untuk sambung belajar
e) Kembali ke realiti : Arifah meminta Aku (Pian) membaca cerpen yang dijanjikan
f) Aku membaca kembali fragmen cerpen Malik
g) Sarah menangis menutup komputer. Cerpen ayahnya (Malik) tersiar sehari selepas kematian Malik.

Berdasarkan jalinan cerita yang dinyatakan di atas, pembaca tidak mungkin menemui sebarang rasional pada kematian Malik. Mengapa watak Malik dimatikan jika sekadar mahu meraih simpati?

Di sebalik teknik penyampaian yang baik itu, tidak ada sesuatu yang lebih besar mahu disampaikan pengarangnya. Ia sekadar satu nostalgia kepada watak “Aku” atau Sufian. Pengarang dinasihatkan supaya dapat mengisi karya ini dengan isi yang lebih menonjol – misalnya perjuangan Malik dalam penulisannya.

Dia

Cerpen ini masih mengangkat tema universal – tema cinta. Cuma yang membezakan ialah bagaimana pengarang memanipulasi pengetahuan setempat dengan memberikan warna daerah (local colour) dalam karyanya. Penggunaan latar pantai timurnya terserlah dan selari dalam laras bahasa, dialog dan latar tempat. Persoalan yang cuba disampaikan juga baik iaitu cita-cita seorang gadis desa yang tidak mempunyai pelajaran yang tinggi untuk mendapatkan lelaki idaman yang baik serba serbi. Meskipun Milah hanya gadis kampung, tetapi demi mencapai cita-cita untuk menjadi isteri seorang bakal doktor dan juga imam muda di kampungnya, Milah mempertingkat pengetahuannya dalam bidang agama dan mengubah penampilan fizikalnya. Milah mengakui kepada teman rapatnya tentang hasrat hati dan perubahan penampilannya dinyatakan dalam dialog berikut :

“Aku tahu dia baik, sebab tu aku cuba jadi baik supaya dia akan berkenan dengan aku. Tengok, dulu mana ada aku pakai baju kurung macam sekarang. Nanti aku nak belajar pakai tudung betul-betul, tak naklah skaf ikat terkeluar rambut macam ni. Sejak berhenti sekolah dah lama aku tak pakai tudung elok-elok. Malam-malam aku nak mengaji, aku nak rajin-rajin pergi balasoh kalau dia jadi imam..”

Kekuatan cerpen ini ialah pembinaan watak yang meyakinkan. Pengarang tidak banyak campur tangan dalam penceritaan dan cerpen ini berkembang seiring dengan perkembangan watak Milah. Daripada dialog, tingkahlaku dan tindakan Milah, pembaca dapat menyimpulkan peribadi Milah yang tulus dan lurus, rendah diri tetapi bercita-cita tinggi dan mengatur strategi (dengan cara tersendiri) bagi mendapatkan Adli Zil Ikram.

Penggunaan warna tempatan disampaikan dengan cari yang konsisten dari permulaan hinggalah ke pengakhiran cerpen. Nada ini sama sekali tidak berubah. Terdapat beberapa istilah tempatan yang disesuaikan dalam naratif dan juga dalam dialog. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa penggunaan dialek tempatan yang tidak dapat ditebak maknanya melalui ayat yang dibina. Meskipun hal ini tidak berapa ketara, pengarang wajar memperbaiki supaya setiap istilah yang luar daripada kebiasaan pembaca luar daerah pantai timur juga dapat sama-sama menikmati karya ini tanpa berasa ‘terganggu’.

Pengarang juga menggunakan jenama seperti ‘Dunlop’ untuk menunjukkan tilam yang digunakan. Penggunakan jenama seperti ini bergantung kepada tujuan jenama itu diangkat dalam karya. Penggunaan jenama ‘Dunlop’ ini tidak memberi kesan kepada jenis tilam yang digunakan. Apakah pengarang mahu menunjukkan kedaifan, kesederhanaan ataupun perkara lain? Lebih wajar, pengarang memerikan jenis tilam itu seperti tilam nipis, tilam kekabu, ataupun memberi sifat-sifat lain kepada tilam tersebut.

Pengakhirannya membunuh harapan Milah. Pengarang disarankan supaya memberikan sekelumit harapan kepada Milah yang telah berusaha untuk memperbaiki diri demi mencapai hasrat hatinya. Mungkin pengarang boleh menawarkan satu watak pilihan yang boleh menggantikan tempat Adli Zil Ikram, sebagai ‘hadiah’ kepada sikap-sikap positif yang telah diusahakan.

Mimpi

Cerpen ini menceritakan kesengsaraan watak Mastura yang mengalami pelbagai dilema dalam hidup. Dalam usia remaja, ibunya telah meninggal dunia dan bapanya telah berkahwin lain dengan seorang janda beranak satu. Kesannya, Mastura berasa dipinggirkan ayahnya, tidak dikasihi ibu tirinya dan sering dicabul kehormatan oleh abang tirinya.

Untuk melarikan diri daripada semua kesengsaraan itu, Mastura mencari satu bentuk eskapisme. Dia menjadi seorang pengkhayal dan seringkali berangan-angan segala perkara yang indah. Sikapnya telah menjadikan kawan-kawan di sekolahnya turut meminggirkan Mastura. Dia menjadi pelajar yang sunyi. Kedatangan Susannah pelajar berbangsa Tionghua beragama Kristian Katolik mengubah persepsi Mastura terhadap hidup dan juga agama. Melalui Susannah, Mastura seolah-olah mendapat kekuatan baru.

Sebagai anak gadis yang tiada panduan hidup, Mastura sekadar menjadi pengikut dan mencari tempat yang boleh menawarkan kebahagiaan. Untuk itu, dia telah dituduh murtad kerana menyertai Susannah di gereja.

Dia memberontak dan meluahkan segala-gala yang terbuku di hatinya. Abang tirinya pula memilih untuk memperkosanya bagi membalas dendam dan Mastura terus menjadi gadis yang merana dan mahu terus hidup dalam mimpinya.

Pemikiran dalam cerpen ini berada di tahap yang agak membahayakan. Cerpen ini seolah-olah mencadangkan bahawa Kristian merupakan agama yang lebih cenderung untuk membuat kebaikan dan segala yang positif ada dalam agama ini, menurut penceritaan Susannah. Semua watak Melayu-Islam diberikan gambaran yang negatif semata.

Sebagai pengarang Melayu-Islam, propaganda ini seolah-olah menjatuhkan keupayaan agama dan bangsa sendiri dan mengangkat pula agama lain secara tidak langsung. Di sini pentingnya tanggungjawab seorang pengarang. Apakah misi dan matlamat penulisan karya ini? Adakah ia sekadar rakaman kehidupan / penyalinan terus daripada kehidupan, ataupun ada suatu pemikiran yang mahu diangkat.

Berdasarkan cerpen ini, tiada pemikiran yang dapat diangkat melalui karya ini. Segala-galanya menunjukkan betapa Islam sangat gagal dalam segala urusan menyelamatkan maruah seorang gadis Muslim ini.

Andainya cerpen ini mahu menyatakan bahawa pembaca harus sedar tentang realiti yang berlaku di sekeliling kita, kesedaran itu juga tidak disertakan dengan satu bentuk penyelesaian yang positif.

Tiada watak penyelamat yang datang sebagai pembela. Semuanya terbiar begitu sahaja dan watak Mastura terus sahaja menyelamatkan dirinya sendiri melalui mimpi.

Bagi cerpen “Katrina” dan “Di Hati”, saya tidak dapat memberikan ulasan yang sewajarnya kerana karya ini tidak menepati ciri-ciri sebuah cerpen. “Di Hati” bagi saya hanyalah sekadar catatan. Ia tidak mempunyai plot dan tentunya tidak ada konflik. Ia sarat dengan perasaan.

Cerpen “Katrina” pula merupakan satu percubaan yang lebih baik tetapi, cerpen ini masih lagi menggunakan konsep catatan juga. Jika dipanjangkan, cerpen ini boleh menjadi sebuah karya yang baik. Kedua-dua karya di atas terlalu pendek untuk dinamakan sebagai cerpen.

Secara keseluruhan, karya kesemua peserta menampakkan tahap pembacaan yang masih sederhana. Saya mengharapkan suatu pemikiran yang lebih besar daripada ini. Sebagai pelajar yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran di luar negara, tentu banyak pengalaman berharga yang boleh dimanfaatkan di dalam cerita.

Walau bagaimanapun, pembacaan sangat penting. Apabila seseorang itu kurang membaca, semuanya dengan mudah akan terlihat dalam karya. Penulis sukar berselindung di dalam karyanya.

Fikirkan apakah mesej dan pemikiran yang mahu diangkat dalam setiap karya. Cerpen bukan sekadar tempat meluahkan perasaan. Jika benar anda mahu menjadi penulis yang mengukir nama, setiap karya itu perlu ada matlamatnya. Andai masih lagi mahu bermain dengan perasaan, tulisan itu boleh sahaja diabadikan dalam jurnal peribadi.

Secara peribadi, saya amat berharap kritikan ini dapat diterima dengan dada yang lapang. Saya sentiasa berdoa supaya tidak ada peserta yang ‘terbunuh’ oleh kritikan. Saya juga harus terbuka dalam membuat ulasan tetapi saya juga faham setiap orang mempunyai tingkat daya tahan yang berbeza.

Semoga ada manfaat yang dapat dikutip melalui ulasan saya. Segala yang baik itu datangnya dari Allah SWT dan yang buruk itu daripada kelemahan saya sebagai insan.