Monday, November 26, 2007

Ulasan Sajak 'Aku' Karya Iskethaykal

Oleh: Hafez Iftiqar

Aku



Berdosakah aku
Kiranya hatiku tidak mengikut normal
Normal bagiku begitu tegak di atas paksinya
Begitu mengikat bagai tali hitam mencengkam
Tidak bernafas aku rasakan
Normal yang kalian mahukan

Berdosakah aku
Kiranya lakuku tidak seperti normal
Normal bagiku begitu cantik hanya di pandangan mata
Tidak sanggup kepuraan itu menjadi milikku
Kerna aku tetap aku
Walau tidak seperti normal
Yang kalian mahukan

Berdosakah aku
Kiranya lakuku tidak seperti normal
Normal bagiku begitu cantik hanya di pandangan mata
Tidak sanggup kepuraan itu menjadi milikku
Kerna aku tetap aku
Walau tidak seperti normal
Yang kalian mahukan

Silapkah aku
Kiranya aku ingin menjadi aku
Aku yang bisa menjadi seperti aku jua
Biarpun sendiri
Biarpun naifnya aku menjelikkan kalian
Kerna
Aku tetap aku.

Iskethaykal

****

Oleh: Hafez Iftiqar

Pendahuluan

Alhamdulillah, dalam kekalutan saya berkejaran dengan waktu, terutama di musim peperiksaan, puasa dan Aidilfitri, sempat juga saya membuat sedikit ulasan tentang sajak saudari. Sebelum berbincang dengan lanjut, terlebih dahulu saya menghadiahkan tahniah kepada saudari atas kelahiran puisi ‘Aku’ ini. saya juga berdoa agar saudari lestari dalam bekarya andai dengan cara ini dapat menjelmakan pemikiran saudari dan dapat pula dihayati oleh orang banyak.

Tajuk sajak ini berbetulan dengan tajuk sajak kegemaran saya nukilan pemuisi Indonesia, Chairil Anwar. Dalam ulasan saya nanti, insyaallah akan saya cuba selitkan sajak tersebut supaya saudari dapat mengambil manfaat daripada gaya penulisan Chairil. Saya juga akan menggunakan ayat yang skema dalam ulasan ini, alang-alang mengulas biarlah jadi seperti seorang profesional dikeranakan saya juga sedang sedaya upaya untuk meningkatkan kemampuan saya dalam bidang sastera termasuklah dalam ulasan puisi. Jika ulasan ini terlampau skema badak, saya mohon maaf dengan mengatur 10 jari tangan, dan andai masih belum mencukupi, saya tambah lagi dengan 10 jari kaki, kerana di alam realiti, saya ini bukanlah seorang yang skema adanya. Namun perlu juga diingatkan, ulasan ini adalah berdasarkan pandangan peribadi saya bersumber daripada pengalaman saya yang masih setahun jagung dalam bidang penulisan. Sebarang kekurangan, awal-awal lagi saya mohon kemaafan.Wallahualam.

Ulasan Sajak ‘Aku’ Nukilan Iskethaykal.

Berdosakah aku
Kiranya hatiku tidak mengikut normal
Normal bagiku begitu tegak di atas paksinya
Begitu mengikat bagai tali hitam mencengkam
Tidak bernafas aku rasakan
Normal yang kalian mahukan


Menelusuri bait pertama sajak saudari, terus saya memahami bahawa sajak ini adalah sajak protes seputar keengganan penulis (saudari ler tu) untuk mengikuti norma komuniti setempat. Saya katakan komuniti setempat berikutan penggunaan kata ‘kalian’ yang seerti dengan kamu semua atau engkau semua, iaitu kata ganti diri kedua, yang bererti kelompok yang berada dekat dengan penulis. Saya tidak bercadang untuk mengulas mengenai rima sajak, kerana pada pandangan saya sajak yang berbentuk protes tidak terlampau menitik beratkan rima. Pada pandangan saya, sajak protes yang baik tergantung pada pemilihan kata yang sesuai terutamanya unsur-unsur perbandingan seperti asosiasi (menyamakan watak atau perwatakan dengan sesuatu yang lain) dan personafikasi (memberi sifat manusia kepada benda tidak bernyawa; contoh: angin berbisik).

Secara peribadi, saya merasakan sajak protes adalah sajak yang tidak memerlukan kata yang berjela-jela kerana kata yang pendek serta ringkas dapat memberikan intonasi marah, ketidakpuasan hati dan geram. Perhatikan baris pertama dan kedua:

Berdosakah aku
Kiranya hatiku tidak mengikut normal

Bagi saya, dua baris ini sangat penting kerana dengan hanya memahami dua baris pertama ini, pembaca sudah boleh mengagak apakah isi keseluruhan yang ingin disampaikan penulis. Penulis mungkin dapat menyampaikan rasa protesnya dengan penjimatan kata dan pemilihan kata yang sesuai. Sebagai contoh, dua baris tersebut mungkin boleh diungkapkan seperti berikut:

Berdosakah?
Kiraku enggan mengikut norma

Atau boleh dipuitiskan lagi dengan penggunaan kata; mungkir, benci dan sebagainya. Penggunaan kata-kata tersebut akan memberikan kesan protes yang lebih kuat untuk sajak saudari. Sebagai contoh:

Berdosakah?
Kiraku mungkir pada norma

atau

Berdosakah?
Kiraku membenci norma

Saya berpendapat, dengan mendahulukan baris kedua, kesan protes yang lebih nyata akan diperolehi saudari kerana saudari lebih dahulu menyatakan keengganan saudari sebelum bertanya pendapat pihak kedua. Sebagai contoh:

Kiraku membenci norma
Berdosakah aku?

Sampai kita untuk berbincang mengenai baris-baris seterusnya. Berikut adalah baki bait satu daripada puisi saudari:

Normal bagiku begitu tegak di atas paksinya
Begitu mengikat bagai tali hitam mencengkam
Tidak bernafas aku rasakan
Normal yang kalian mahukan

Saya berpendapat, bahawa baris terakhir itu perlu diawalkan kerana normal yang sering penulis ulangi adalah normal mengikut interpretasi ‘kalian’. Jadi ini mewajarkan mengapa baris terakhir itu perlu diawalkan. Sekali lagi perlu diusahakan supaya baris-baris sajak ini membawa intonasi protes. Sebagai contoh, penulis boleh menukilkan seperti berikut untuk menggambarkan maksud baris-baris tersebut:

Norma yang kalian mahukan
Statik
Menjerutku dengan tali hitam
Membunuh hatiku
Mati

Saya mengucapkan tahniah atas penggunaan ungkapan ‘tali hitam’, kata sebegini menunjukkan protes disamping berjaya memuitiskan puisi saudari menerusi kaedah perbandingan yang telah kita bincang awal-awal tadi. Dalam baris-baris sebentar tadi, saya menggunakan exageration berkaitan ‘normal’. Kesan exageration ini lebih terasa menerusi kaedah enjambemen yang saya gunakan untuk kata statik, membunuhku dan mati. Perhatikan juga bagaimana saya telah meringkaskan bait berikut; Normal bagiku begitu tegak di atas paksinya kepada satu perkataan sahaja yakni statik. Pada pandangan saya, pembaca akan memahami bahawa kata statik itu berkait dengan normal yang dimaksudkan dalam baris sebelumnya dan sudah tentu pula kata statik itu mewakili tanggapan penulis terhadap normal seperti yang dimahukan oleh ‘kalian’. Baris Tidak bernafas aku rasakan telah saya gantikan dengan kata mati. Mati mempunyai konotasi yang negatif dan kuat. Selain mati, penulis boleh menggunakan kata lemas atau yang seerti dengannya. Untuk menyesuaikan dengan ungkapan ‘tali hitam’ dan ‘mati’, saya telah menggunakan kata jerut dan bunuh. Dua kata yang juga mempunyai konotasi negatif dan keras yang sesuai untuk menggambarkan rasa protes penulis. Jadi, pada pandangan saya, bait pertama ini, boleh diungkapkan seperti berikut:

Kiraku membenci norma
Berdosakah aku?
Norma yang kalian mahukan
Statik
Menjerutku dengan tali hitam
Membunuh hatiku
Mati

Dalam bait seterusnya, penulis menekankan keinginannya untuk terus menjadi diri penulis tanpa mempedulikan keinginan ‘kalian’ yang menginginkan penulis menjadi ‘normal’. Penulis juga menyatakan bahawa ‘normal’ yang kalian ingini itu hanya indah di pandangan mata, tapi tidak pada hakikatnya. Lantaran itu, penulis enggan menerima definisi normal oleh ‘kalian’ dan sekali gus enggan menjajarkan diri dengan norma tersebut.

Berdosakah aku
Kiranya lakuku tidak seperti normal
Normal bagiku begitu cantik hanya di pandangan mata
Tidak sanggup kepuraan itu menjadi milikku
Kerna aku tetap aku
Walau tidak seperti normal
Yang kalian mahukan

Dalam menulis sajak seputar protes, saya lebih cenderung untuk menggunakan kata-kata yang ringkas serta mempunyai konotasi yang negatif dan keras terhadap pihak yang ditujukan sajak itu. Perlu juga diusahakan untuk memuitiskan sajak kerana keindahan sajak terletak pada pemilihan kata yang puitis biar pun sajak itu membawa konotasi yang keras. Sebagai contoh, saudari boleh mengungkapkan bait di atas sebegini.

Berdosakah aku?
Kira tindakku menyalahi norma
Yang kalian lolongkan
Yang indah hanya
Pada keluk mata
Kerna
Hipokrasi bukan prinsipku
Kerna
Aku mahu
jadi aku

Perhatikan, saya sudah meringkaskan baris kedua. Yang kalian lolongkan pula saya guna buat mendokong maksud yang kalian mahukan. Perhatikan penggunaan kata lolong yang mempunyai asosiasi dengan anjing, sebagai perlambangan protes dan kebencian. Yang indah hanya dan Pada keluk mata, kaedah enjambemen untuk memberi kesan khas, indah tapi hanya pada pandangan mata. Saya juga cuba memuitiskan sajak dengan menggunakan kata keluk (lengkungan). Kerna pula saya ulangi dua kali untuk memberi kesan penegasan, secara enjambemen. Hipokrasi bukan prinsipku, buat mengganti tidak sanggup kepuraan itu menjadi milikku, kata hipokrasi mempunyai konotasi yang negatif, boleh juga digunakan kata kepuraan. Bukan prinsipku sudah mengganti tidak sanggup itu menjadi milikku. Lagi pula, prinsip adalah kata yang mempunyai konotasi yang tegas. Akhir sekali saya menggunakan baris, aku mahu jadi aku untuk menggantikan tiga baris berikut: Kerna aku tetap aku, Walau tidak seperti normal dan Yang kalian mahukan. Begitu pendapat saya tentang baris ini.

Silapkah aku
Kiranya fikirku tidak seperti normalnya
Pada pandangan kalian
Normal bagiku begitu menyekat urat-urat saraf meluncur
Sesak rasanya dalam kepayahan kehidupan normal
Seperti yang kalian mahukan

Bait ini menggambarkan cubaan yang sangat baik oleh saudari untuk menceritakan rasa protes penulis terhadap norma yang dipaksakan kepada beliau. Saya suka bait ini. Cubaan untuk ekonomikan penggunaan kata perlu juga dititik beratkan. Seperti perbincangan kita sebelum ini, pemilihan kata yang menggambarkan betapa terseksanya penulis jika mengikut norma yang ditetapkan perlulah diusahakan supaya pembaca turut merasai derita penulis seterusnya merasai logik protes penulis. Saudari telah menggunakan kata yang saya kira sangat baik dalam bait ini seperti kata sesak, sekat dan payah. Tahniah. Selalunya, apabila penulis sudah terbiasa dengan ideanya sendiri, bait-bait yang terkemudian akan tampak lebih baik daripada bait-bait terdahulu. Disamping pemilihan kata yang tepat, sekali lagi saya tekankan bahwa usaha untuk memuitiskan puisi mesti juga dititik berat oleh penulis. Saya letakkan kemungkinan yang akan saya nukilkan untuk menggambarkan bait ketiga ini, sekadar contoh:

Silapkah aku
Kira fikirku menyalahi norma
Sedang norma yang kalian ukir
Menyumbat sekat urat sarafku
Sesakku dalam payah
Derita

Seterusnya sampai kita pada bait yang terakhir. Agak panjang ulasan saya, jadi saya mohon maaf atas huraian yang berjela ini dan bersyukur juga dikeranakan dalam kesibukan dapat juga saya meneliti karya saudari. Harap saudari setia membaca tulisan ini hingga ke akhir. Bait terakhir memainkan peranan penting dalam puisi, bait inilah yang akan membuat kesimpulan puisi sekali gus memberi gambaran keseluruhan, jadi pemilihan kata yang sesuai lebih-lebih lagi diutamakan dalam bait ini.

Silapkah aku
Kiranya aku ingin menjadi aku
Aku yang bisa menjadi seperti aku jua
Biarpun sendiri
Biarpun naifnya aku menjelikkan kalian
Kerna
Aku tetap aku.

Disebabkan puisi ini adalah puisi protes, saya lebih cenderung mencadangkan supaya digunakan kata yang ringkas dan kuat untuk mengakhiri puisi ini. Ayat yang membawa maksud sama tidak perlu diulangi kerana pengulangan begini akan mencacatkan penutup dan kelihatan penutup menjadi kurang lancar, contohnya seperti dua baris berikut: 1) kiranya aku ingin menjadi aku dan 2) Aku yang bisa menjadi seperti aku jua. Dua ayat ini, saya kira mempunyai maksud yang sama, jadi boleh pilih satu antara dua tersebut. Supaya padan dengan soalan silapkah aku?, saya lebih cenderung untuk memilih yang pertama. Dalam contoh yang saya berikan di bawah, saya mendahulukan aku untuk memberikan kesan penekanan dan emosi. Seorang penyajak, perlu sensitif terhadap isu ini agar sajaknya kelihatan hidup yakni menggambarkan perasaan penyajak. Saya juga menjimatkan penggunaan perkataan supaya sajak ini terus berbunyi keras dan protes sehingga ke akhir baris. Aku tetap aku adalah kesimpulan yang baik oleh penulis, saya meletak adalah sekadar untuk mencantikkan rima dengan asonansi vokal a (pengulangan vokal a).

Akukah yang silap?
Kira aku mahu jadi aku
Biarku sendiri
Biarku naïf
Menjelikkan kalian
Kerna
Aku adalah aku

Saya letakkan semula contoh-contoh yang telah saya kemukakan dalam bentuk penuh untuk tatapan saudari. Ini sekadar contoh, dan saya amat percaya bahawa saudari mampu menghasilkan puisi yang lebih baik daripada ini. Penggunaan kata yang panjang dan meleret sangat sesuai untuk sajak melankolik (sedih), mungkin saudari boleh cuba menghasilkan karya sedemikian pada masa-masa akan datang, sementara sajak protes, marah dan geram, barisnya lebih pendek dan kata yang digunakan kebanyakannya punya konotasi negatif. Saya sertakan juga puisi kesukaan saya oleh Chairil Anwar bertajuk Aku, beza puisi Chairil dan puisi saudari yang paling ketara ialah, dalam puisi saudari wujudnya pengenalan dan kesimpulan pada setiap bait, sedang puisi Chairil, pengenalan diletakkan pada bait pertama, dan kesimpulan pada baris akhir puisi tersebut. Bait-bait juga tidak jelas dalam puisi Chairil, saya cenderung untuk mengatakan puisi ini sebetulnya tidak terikat dengan bait-bait tertentu. Perhatikan juga pemilihan kata yang sangat kuat sehingga jelas perasaan marah, semangat, geram dan keazaman pemuisi. Selamat menghayati.


Kiraku membenci norma
Berdosakah aku?
Norma yang kalian mahukan
Statik
Menjerutku dengan tali hitam
Membunuh hatiku
Mati

Berdosakah aku?
Kira tindakku menyalahi norma
Yang kalian lolongkan
Yang indah hanya
Pada keluk mata
Kerna
Hipokrasi bukan prinsipku
Kerna
Aku mahu
jadi aku

Silapkah aku
Kira fikirku menyalahi norma
Sedang norma yang kalian ukir
Menyumbat sekat urat sarafku
Sesakku dalam payah
Derita

Akukah yang silap?
Kira aku mahu jadi aku
Biarku sendiri
Biarku naïf
Menjelikkan kalian
Kerna
Aku adalah aku

____________________
Puisi: Aku , oleh Chairil Anwar.
v Kalau sampai waktuku
'Ku mau tak seorang 'kan merayu
Tidak juga kau

Tak perlu sedu sedan itu

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang

Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri

Dan aku akan lebih tidak peduli

Aku mau hidup seribu tahun lagi

(Chairil Anwar, Maret 1943)

Akhir kata, saya memohon kemaafan atas sebarang keterlanjuran, kerana kekurangan itu sememangnya milik saya yang masih bertatih dalam bidang penulisan ini. Jika ada manfaat, gunakanlah dengan sebaik mungkin, jika sebaliknya maka tinggalkanlah. Saya doakan agar saudari maju jaya dalam bidang perubatan dan juga penulisan. Semoga lestari dan tahniah sekali lagi atas sajak yang terhasil lewat kreativiti saudari ini. Juga jutaan terima kasih atas kepercayaan saudari dan Fahdrazy terhadap saya. Saya juga memohon jasa baik saudari untuk memberi pandangan terhadap ulasan saya ini. Saudari boleh menghubungi saya menerusi email untuk tujuan tersebut atau atas apa-apa urusan yang berkaitan. Salam hormat daripada saya, selamat hari raya dan maaf zahir batin. Wallahualam.

Hafez Iftiqar, 1 Syawal 1426H
hafeziftiqar@yahoo.com
Monash University, Australia.