Wednesday, November 28, 2007

Ulasan puisi 'Tanpa Tajuk' karya Syabab1st

Oleh: Serunai Faqir Tanpa Tajuk

Dia itu
kulihat sungguh berjiwa
penuh semangat dihatinya
meniupkan harmonika jingga
yang bunyinya senang diketawa

Dia itu
hanyalah seorang tua
yang sekadar mengemis usia
tapi hati masih berjiwa
bukan hanya menadah tangan meminta
tapi juga tetap berusaha
walaupun harmonika hilang bunyinya

Kesian aku pada dia itu
yang mencari sekadar bekalan
meneruskan hidupnya mendatang
hanya itu menjadi tujuan
walaupun harmonikanya hilang panduan

Hari ini
aku kembali lagi
mencari dan memerhati
di mana dia itu
sudah hilang dilautan manusia
yang memandang sepi pada dirinya

Syabab1st
Grafton Street


ULASAN SAJAK 'TANPA TAJUK' OLEH SYABAB1ST
Oleh: Serunai Faqir

Tentu sajak pada pengamatan yang kedua kita amat meyakini bahawa ini adalah sajak moden yang tidak terikat pada 4 baris, 6 baris dan sebagainya. Dari segi struktur (bentuk luaran) ia mengambil susunan bunyi di hujung barisnya, walaupun ia mempunyai pengaruh puisi tradisional tapi jelas seperti yang dikatakan ianya adalah sajak moden. Pengulangan di hujung baris-barisnya lazimnya dilakukan untuk menimbulkan kesan estetika kepada umum yang membaca seperti dalam rangkap-rangkap sajaknya. Dan gaya bahasa yang digunakan diistilahkan sebagai asonansi yakni pengulangan bunyi vocal pada perkataan berturutan dalam sesuatu baris, yakni menggunakan vokal ‘a’ yang banyaknya mendominasi dalam sajaknya, kemudiannya penyajak juga menggunakan asonansi vokal ‘n’ dan ‘i’. Saya kira ini proses biasa yang terjadi dalam melukis sajak-sajak kerana seringkali teknik pengulangan ini menimbulkan kesan indah terhadap pembaca, namun lama kelamaan penyajak itu pasti akan mencuba atau berekspementasi dengan gaya-gaya lain.

Saya melihat sajak ini bersifat selapis iaitu kefahaman pembaca akan timbul sebaik sahaja menghabisi rangkap sajaknya yang terakhir iaitu berkisar seorang pemuzik jalanan yang diperhati dan dicerapi lalu tertumpah menjadi sajak ini. Namun bisa sahaja penyajak mengasuh diri untuk menghasilkan sajak-sajak yang bersifat ketaksaan (ambiguiti) atau sajak yang membawa makna yang belapis-lapis. Ya, pemerhatian itu amat penting bagi penyajak untuk menjana ide untuk dicernakan sebagai apa-apa sahaja bahan yang berbentuk penulisan, dan dalam konteks ini pastinya sajak. Selain dari itu citra yang digunakan agak langsung dan tidak bercampur-campur, namun sekiranya penyajak mampu memanipulasi gaya bahasa, saya pasti nilai-nilai estetika itu lebih mengesankan pembaca. Sajak ini sudah ada nafas dan roh, cuma perlu digilap lagi bagi menimbulkan kesan dan nilai-nilai puitis dalam sajak.

Temanya menyentuh tentang kehidupan seorang pemain harmonika di jalanan saya pasti. Walaupun ketuaan sudah lama memamah usia namun dia tidak sesekali menyerahkan nasibnya kepada takdir untuk mencari sesuap rezeki. Harmonika jingganya menjadi sahabat karib untuk dia melagukan nafas-nafas kehidupannya, lalu memujuk belas pejalan-pejalan untuk mencampakkan barang sesiling dua, namun untuk meminta-minta (minta sedekah) tidak sekali. Ketajaman penyajak adalah apabila mendengar irama harmonikanya yang enggan untuk berbunyi barangkali (atau mungkin sudah rosak) tapi dia tetap gigih berusaha untuk menjolok rezeki dari atas langit. Ini sangat terkesan di dalam hati penyajak yang dibelit rasa belas kerana melihat kehidupan seorang tua itu dalam dunia yang sepi, dunia yang tersendiri dan dia itu juga larut dalam ehwal kehidupannya yang pasti tidak difahami oleh sesiapa pun, itu cuba diungkapkan oleh penyajak. Kemungkinan lebih pantas sekiranya penyajak berbual-bual dengan pemain harmonica itu untuk mendapatkan secebis riwayat hidupnya, pasti sajak ini lebih bernyawa dan bernafas tanpa dipaksa.

Akhirnya syabas diucapkan kepada penyajak kerana berjaya mencungkil resah yang melangkah benua hati pemain harmonika tua itu, lalu diterjemahkan dalam rangkap-rangkap sajak. Moga lestari dan selalu berusaha untuk menjadi mata kepada suasana dan zaman yang tidak pernah punya rasa belas pada manusia. Teruskan usaha untuk menukang rangkap-rangkap sajak – agar dapat dihamburkan ke perut pembaca. Wuallahua’lam.