Wajarkah glosari pada cerpen untuk penyiaran di majalah/akhbar?
Pandangan Nisah Haji Haron
Salam,
Mengenai glosari juga. Seorang editor pernah memberitahu saya, apabila pengarang cenderung memilih untuk meletakkan glosari, ini boleh dilihat sebagai :
a) pengarang tidak yakin dengan pilihan perkataan
b) pengarang gagal menulis ayat yang dapat menerangkan maksud perkataan
c) pengarang menganggap pembaca itu tentu tidak faham ayat yang ditulisnya
Sedikit sebanyak, meletakkan glosari melemahkan sesebuah karya. Ertinya, karya itu seolah-olah tidak mampu berdiri sendiri tanpa glosari tersebut.
Saya juga bersetuju dengan pendapat Fahd Razy yang mengatakan bahawa sesetengah pengarang yang mempunyai latar belakang agama mempunyai kecenderungan memasukkan kosa kata Bahasa Arab dalam karya. Saya melihat pemilihan tersebut sama seperti memasukkan kosa kata Bahasa Inggeris juga. Apakah keperluannya? Sekiranya perkataan tersebut ada dalam Kamus Dewan, mungkin tidak menjadi hal sangat.
Pun, pengarang haruslah bertanggungjawab dengan setiap patah perkataan yang dipilih untuk dimasukkan di dalam karya. Itulah yang dinamakan diksi. Pasti ada sebab pengarang memasukkan istilah / perkataan asing ke dalam karya. Jika alasannya hanyalah "saja-saja" ataupun "nak bagi sedap" ataupun "mahu beri nuansi Islami" - fikirkan semula kewajarannya.
Sedikit sebanyak, memasukkan perkataan asing (tanpa bantuan glosari) akan menghilangkan khalayak yang tiada pengetahuan terhadap perkataan / kosa kata tersebut. Ya, mungkin kita akan kata, 'peduli apa kalau dia tidak faham ataupun tidak mahu baca'. Tapi fikirkan bahawa ada pembaca yang benar-benar ingin tahu tetapi dikekang perkataan asing yang boleh sahaja digantikan dengan Bahasa Melayu tanpa menghilangkan makna, nuansa dan maksud.
Oleh itu, itu fikirkan semula. Ini bukan bermakna ada glosari itu anda salah seratus peratus. Ingatlah bahawa ruang untuk penerbitan cerpen itu sangat terhad. Belajarlah untuk menulis secara ekonomik dan bijak pula mencipta ayat yang membantu pembaca memahami maksud yang cuba disampaikan.
Selamat menulis!
--
ikhlas,
Nisah Hj Haron
www.annyss.blogspot.com
www.ujanailmu.com.my
*********************
Kata Fahd Razy pula:
Satu pengalaman, apabila bergaul
dengan penulis-penulis khususnya dari timur tengah, satu
kecenderungan mereka ialah menyarankan 'letak glosari' di hujung
cerpen, bagi membantu pembaca. Tak dinafikan, ini penting, khususnya
dalam penulisan mereka yang banyak menggunakan bhasa ARAB dalam
cerpen. Namun apabila kita tengok balik, dalam kebanyakan majalah dan
media cetak, jarang ada ruangan glosari dimuatkan. Ada sesetengah,
mungkin, seperti Berita Minggu, Dewan Kosmik, dsb yang menyediakan
ruang itu, tapi hanyalah jumlah kecil saja penerbitan spt itu.
Tambahan, glosari yang dimuatkan itu, dirujuk dengan Kamus Dewan
(kalau bahasa Arab, Kamus Dewan mana yang perlu dirujuk??). Maka
satu 'pertimbangan' yang perlu dibuat sebelum menulis
ialah, 'fahamkah pembaca?' atau paling kurang 'dapatkah pembaca TEKA
maknanya?'.
Meletakkan glosari, mungkin masih praktikal pada tahap ini, maksud
saya, di yahoogroup ini, atau di weblog, dan sebagainya. Kalau nak
hantar ke penerbitan, wallahualam. (Ini berbeza dengan penerbitan
antologi ya, kerana kita masih boleh consult dengan 'editor'
atau 'penyelenggara' minta masukkan glosari, dan kemungkinan besar
dipertimbangkan).
Memandangkan Berita Minggu pun dah mula letak glosari, mungkin ini
satu transisi dalam format penulisan cerpen, pada masa akan datang.
Mungkin setahun, dua tahun, atau lima tahun lagi, penggunaan glosari
akan meluas dalam media cetak yang lain. Pada masa itu, hal ini
mungkin dah tak jadi masalah. Tapi buat masa sekarang, masih lagi
tidak meluas, jadi pertimbangan perlu sebelum anda sewenang-wenangnya
memasukkan bahasa yang luar dari bahasa melayu/malaysia. Fikir dulu,
ke mana anda hendak hantar karya tu nanti... dan lihat keperluan di
media sasaran tersebut. =D (Saya tidak katakan salah memasukkan
bahasa Arab, tapi saya menyarankan, jadi penulis yang berfikir
selangkah ke hadapan, pertimbangkan perkara-perkara lain sebelum
menulis.)
Oh ya. Ada juga, ketika dan situasi lain, memasukkan perkataan2 ini,
walaupun tanpa glosari, SANGAT PERLU. Tapi kita sambung lain kali lah
yer...tunggu bila ada masa/karya yang sesuai utk kita ulas.