Wednesday, November 28, 2007

Tentang Sutardji dan Tuna Lautan Manusia

Type your summary here


Tentang Sutardji dan Tuna Lautan Manusia (Ulasan Puisi Tuna Lautan Manusia)

Salam puisi,

Saya pernah membaca dan mengkaji beberapa tulisan susuk yang dikenali sebagai Presiden Penyair Indonesia, Sutardji Calzoum Bachri. Sutardji barangkali terkenal dengan Kredo Puisinya. Antara lain Sutardji menulis, 'Ketika menulis sajak, penyair harus dengan sunguh-sungguh mencari agar menemukan bahasanya sendiri.' Sutardji tak asing dengan puisi-puisi yang menurut beliau, kata yang dipilih, terpulang kepada pembaca mahu ditafsirkan apa. Tulis Sutardji dalam Kredo Puisinya, `Kata-kata bukanlah alat mengantarkan pengertian. Dia bukan seperti paip yang menyalurkan air. Kata adalah pengertian itu sendiri. Dia bebas.' Perhatikan pemilihan diksi Sutardji dalam puisi `Tapi' yang berikut.

TAPI

aku bawakan bunga padamu
tapi kau bilang masih

aku bawakan resahku padamu
tapi kau bilang hanya

aku bawakan darahku padamu
tapi kau bilang cuma

aku bawakan mimpiku padamu
tapi kau bilang meski

aku bawakan dukaku padamu
tapi kau bilang tapi

aku bawakan mayatku padamu
tapi kau bilang hampir

aku bawakan arwahku padamu
tapi kau bilang kalau

tanpa apa aku datang padamu
wah!


Perhatikan kata-kata berikut; masih, hanya, cuma, meski, tapi, hampir dan kalau di hujung setiap bait. Kata-kata itu, pengertiannya dalam konteks puisi ini tidak terbelenggu dengan makna konvensional yang boleh didapati di dalam kamus, pengertiannya terpulang kepada anda, pembaca. Menurut Sutardji, dia mahu memerdekakan makna kata-kata tersebut. `Masih' dalam bait satu boleh sahaja difahami sebagai; jangan, celaka, pergi dan lain-lain. Tulis Sutardji lagi, `Dalam (penciptaan) puisi saya, kata-kata, saya biarkan bebas. Dalam ghairah kata-kata yang telah menemukan kebebasan, kata-kata itu meloncat-loncat dan menari di atas kertas, mabuk dan menelanjangi dirinya sendiri, mundar-mandir dan berkali-kali menunjukkan muka dan belakangnya yang mungkin sama atau tak sama, membelah dirinya dengan bebas, menyatukan dirinya sendiri dengan yang lain untuk memperkuat dirinya, membalik atau menyongsangkan dirinya dengan bebas...'

Berikut adalah puisi Sdr. Amar Amir Omar berjudul `Tuna Lautan Manusia'.

Lemas di lautan manusia
taman berhibur jutaan tuna.

Ada baju tuna busana,
Ada mata tuna netra,
Ada akal tuna indra,
Ada adat tuna susila.

Alangkah mulia sandwich tuna,
berbanding manusia bertuhan dunia,
yang kenal Rabb tunakan Ilahnya.

Sebagai rujukan, saya sertakan maksud kata tuna yang boleh didapati dalam Kamus Dewan.


1. tuna
sl luka, cacat, rosak; ~ anggota cacat anggota; ~ kerna pekak, tuli; ~ karya tidak bekerja, penganggur; ~ netra buta: ~ pidana penjara; ~ susila rosak akhlaknya (pelacur dll); ~ tertib pengacau;

2. tuna
tertuna 1. kena luka, mendapat luka: ia berasa tertikam dan ~;
2. ki mendapat sesuatu kecelaan (kecacatan dll), menderita (kerana sesuatu yg tidak menyenangkan): banyak antara mereka yg ~ rindu dan renjana, kerana perwira yg muda belia ini


Ada dua pilihan dalam usaha memahami puisi ini, satu membiarkan diri terbelenggu dengan makna yang boleh didapati dalam kamus yang menyebabkan pembaca keliru. Kekeliruan ini timbul kerana makna kata `tuna' dalam bait satu dan dua tidak konsisten dengan makna dalam bait tiga. Harus diingatkan juga, maksud `tuna' yang difahami umum adalah lain dari yang tertulis di dalam kamus dan `tuna' di dalam kamus itu terlalu asing untuk digunakan khalayak umum. Kedua, ikut cara Sutardji.

Kalau mengikut teori Sutardji, dalam puisi 'Tuna Lautan Manusia', kata 'Tuna' boleh jadi apa sahaja. Mungkin seluas, agungkan, pelbagai, bukan dan lain-lain, terpulang kepada pembaca mahu menafsirkan apa kerana kata `Tuna' itu tidak terbelenggu sebatas makna yang boleh didapati dalam Kamus Dewan.

Puisi, apa pun masih memerlukan keindahan bentuk dan makna. Konsistensi mesti untuk memelihara keindahan ini. Dalam `Tuna Lautan Manusia', secara peribadi, saya menganggap yang berikut sebagai lewah; kata manusia dalam bait pertama, kata sandwich dalam bait ketiga dan baris `berbanding manusia bertuhankan dunia.' Saya lebih suka kata `Tuna' yang bebas meloncat-loncat, menari, mabuk dan menelanjangi dirinya sendiri, mundar-mandir dan berkali-kali menunjukkan muka dan belakangnya seperti puisi yang telah saya rekonstruksi seperti berikut;

Lemas di lautan,
taman berhibur jutaan tuna.

Ada baju tuna busana,
Ada mata tuna netra,
Ada akal tuna indra,
Ada adat tuna susila.

Alangkah mulianya tuna,
yang kenal Rabb tunakan Ilahnya.

Saya barangkali harus mengingatkan, aliran puisi yang diangkat Sutardji ini tidak popular di kalangan khalayak sastera di Malaysia. Kepelbagaian puisi di Malaysia masih miskin jika mahu dibandingkan mewahnya puisi-puisi Indonesia. Dan yang lebih utama, Sutardji masuk dalam penyair yang memperjuangkan aliran mantera, kata Sutardji dalam Kredo Puisinya, "Menulis puisi bagi saya adalah membebaskan kata-kata, yang beearti mengembalikan kata pada awal mulanya. Pada mulanya adalah Kata. Dan kata pertama adalah mantera. Maka menulis puisi bagi saya adalah mengembalikan kata kepada mantera."

Saya mesti juga mengingatkan, pemilihan kata yang ruwet, rumit dan menghalang penyair mengorek makna puisi tak banyak membantu untuk menarik khalayak pembaca. Menyukarkan khalayak untuk memahami puisi adalah `dosa' yang perlu dielakkan.

Barangkali saya juga harus mengingatkan, Sutardji pernah berkata, "Menulis puisi itu gampang! (Mudah)." Teruskan menulis, sedaya upaya jangan abaikan keindahan bentuk dan makna disamping terus meneroka kreativiti anda, InsyaAllah. Tulis Chairil Anwar, `Sekali berarti/ Sudah itu mati...' Wallahualam.

Hafeziftiqar,
Frankston, VIC, Australia,
27 November 2007.