Wednesday, November 28, 2007

Sastera berunsur Islam antara kualiti dan kuantiti

Oleh: Azman Ismail
(Sumber: Utusan Online)





MARAKNYA penulisan karya-karya sastera berunsur Islam di Malaysia hari ini memang sesuatu yang menggembirakan. Ia tidak hanya ditekuni oleh penulis mapan tetapi juga oleh pengkarya generasi baru.

Karya-karya yang dihasilkan tidak hanya terhad kepada genre novel, cerpen atau puisi sahaja tetapi juga naskhah pentas, drama radio dan drama televisyen.

Seolah-olah pemilihan tema Islam menjadi kemestian dalam penulisan sastera Malaysia hari ini. Sebut sahaja penulis-penulis muda seperti Zaid Akhtar, Ummu Hani Abu Hassan dan bahkan penulis prolifik, Faizal Tehrani (sekadar beberapa nama).

Hanya satu pertanyaan atau persoalan besar besar yang perlu dilihat iaitu kualiti karya-karya berunsur Islam ini. Adakah mereka memikul tanggungjawab besar membawa fungsi karya-karya sastera Islam tersebut secara sesungguhnya.

Ia kerana sesebuah karya sastera Islam dalam erti kata sebenar bukan hanya membawa mesej keislaman, tetapi juga kupasan kemanusiaan di samping tidak terlepas dari wilayah estetika seni.

Unsur lain berkaitan dengan karya- karya berunsur Islam ini ialah sejauh mana pemahaman serta keupayaan seseorang pengarang menggarap nilai dan permasalahan melalui skop keagamaan itu.

Mengapa demikian? Dalam konteks sastra Islam, pendapat umum tentang genre ini ialah karya-karya tersebut akan membawa dan memuatkan simbol-simbol Islam dalam aspek ibadat, pelaksanaan dan peraturan yang ditetapkan.

Oleh itu, metafora dan simbol keislaman perlu memfokus kepada ciri-ciri ajaran Islam hingga memperlihatkan sesebuah teks sastera itu merupakan cerminan daripada pemahaman seseorang pengarang dan orientasi sebenar karya ditulis.

Dengan kata lain, penulis atau pengarang perlu meletakkan karya mereka bukan hanya berhubungan dengan Tuhan tetapi juga fungsi sosialnya dalam konteks vertikal dan horizontal.

Setiap teks sastera bukan hanya menelusuri nilai-nilai keislaman, ketuhanan dan proses ritual tetapi juga posisi kemanusiaan yang luas yang juga merupakan landasan daripada sebuah bangunan keagamaan.

Dengan demikian, struktur estetika yang terkonstruksi dalam sastera berunsur Islam tidak mengarah pada dogma yang bergerak di sekitar asas positivisme atau syariah semata-mata.

Oleh itu, sesebuah sastera berunsur Islam yang berkualiti tidak akan terbelenggu dengan struktur yang merujuk kepada interpretasi tunggal terhadap dalil yang termuat dalam kitab suci al-Quran dn terma-terma keislaman.

Mungkin segelintir penulis terutama generasi baru di negara ini tidak memahami konsep sebenar sebuah karya sastera Islam. Proses penciptaan karya seperti itu tidak semestinya terikat pada dogma agama.

Dengan kata lain, sesebuah teks sastera itu bebas menggunakan simbol agama tetapi perlu ada tanggungjawab estetika. Dalam hal ini, boleh sahaja sesebuah karya itu tidak menggunakan huraian terperinci dalil yang termuat dalam al-Quran.

Ahli psikologi budaya, Erich Fromm dalam To Have or To Be pernah menegaskan, keagamaan merupakan sebahagian daripada watak sosial yang perlu memenuhi keperluan-keperluan agama yang sudah melekat pada diri manusia sebagai keperluan asasi.

Ia tidak berkaitan dengan sistem yang berhubungan dengan ketuhanan tetapi pada sistem pemikiran atau tindakan yang memberikan seseorang individu suatu kerangka orientasi.

Hal ini turut ditegaskan oleh Fromm dalam satu lagi tulisannya, Religion and Psychoanalysis bahawa pembentukan karakter sosial dalam agama yang keterlaluan menyebabkan wujud pandangan-pandangan fundamental yang sempit.

Jika persoalan ini dihubungkan dengan perkembangan pesat sastera berunsur Islam di Malaysia, adakah pengarang-pengarang kita memenuhi tanggungjawab estetika dan keagamaannya melalui karya-karya tersebut?

Adakah dunia sastera tanah air hari ini mempunyai kekuatan dalam aspek kuantiti karya berunsur Islam atau bukannya kualiti yang benar-benar mampu menjana kesedaran tentang nilai-nilai ketuhanan?

Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Hashim Ismail berkata, tidak banyak karya-karya sastera berunsur Islam di negara ini yang benar-benar ‘memasuki’ jiwa keislaman.

Sebaliknya, kebanyakan karya hanya bersifat tempelan tema Islam tanpa ada usaha meletakkan falsafah agama dan nilai ketuhanan itu dalam erti yang mendalam.

‘‘Kuantiti karya berunsur Islam di Malaysia cukup banyak tetapi sebahagian besar penulis tidak menguasai falsafah keilmuan dalam membicarakan nilai dan intipati.

‘‘Hasilnya karya yang dibawa tidak mendalam dan boleh sayakan katakan sebahagian besar cuma sebagai pembukaan tentang Islam. Sesebuah karya sastera seperti itu perlu mendalam dan kritikal,’’ katanya.

Contoh yang paling mudah ialah karya-karya sastera berunsur Islam tradisional tulisan-tulisan penulis sufi di Nusantara seperti Hamzah Fansuri, Samsuddin al-Sumatrani, Abdul Rauf Singkel dan sebagainya.

Hashim melihat tradisi sastera Islam (kotemporari) di Indonesia lebih baik berbanding di negara ini kerana pengarang-pengarangnya menguasai falsafah Islam yang digarap ke dalam karya-karya sastera.

‘‘Kepengarangan kita lemah dalam menguasai ilmu. Oleh kerana tidak ada penguasaan yang baik, karya-karya berunsur Islam hanya sekadar tempelan,’’ tegasnya.

Memang tidak dinafikan kedudukan sesebuah teks sastera Islam sering diperkatakan. Ia misalnya dianggap hanya sebagai karya sastera dan tidak perlu terlalu mendalam mengupas nilai-nilai Islam.

Namun, sesebuah karya sastera berunsur Islam sama seperti genre-genre lain turut membabitkan pertanggungjawaban seseorang pengarang. Jika hanya sekadar tempelan, mesej keagamaan itu ‘tidak sempurna’.

Seperti dijelaskan oleh Hashim, posisi ini tidak akan menemukan titik tertingginya jika garapan hanya sekadar bersifat luaran. Memang di satu sisi ia benar-benar sangat formalistik kerana selama ini karya berunsur agama difahami sebagai sebuah kualiti keagamaan.

Dalam satu sisi sesebuah karya berunsur Islam tidak hanya terpaku pada masalah ketuhanan, tauhid dan akhlak semata-mata. Malah, ia turut mengarah pada kesedaran pada nilai-nilai dan asas kemanusiaan.

‘‘Masalah, segelintir pengarang kita juga tidak menguasai persoalan-persoalan ini dengan baik hingga karya-karya sastera yang dihasilkan tidak kuat,’’ tambah beliau.

Pensyarah Jabatan Sastera Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Talib Samat mentafsirkan sesebuah karya sastera Islam sebagai tulisan yang memuatkan nilai-nilai agama yang dipraktik oleh masyarakat dan pengarangnya sendiri.
Beliau mengambil contoh karya-karya penulis agung Indonesia iaitu Hamka dan cerpen-cerpen yang ditulis oleh ulama tersohor, Tok Kenali yang menjadi alat memperluaskan tauhid masyarakat.

‘‘Apa yang saya lihat, karya sastera berunsur Islam di Malaysia hari ini hanya sebuah mukadimah (pengenalan) sahaja. Ini kerana jiwa dan falsafahnya tidak ada.

‘‘Para penulis hanya menempel dan meletakkan sebagai asas sahaja. Tidak ada yang benar-benar bergerak jauh memperkatakan Islam. Mungkin boleh kita sebut hanya kuantiti yang meningkat tapi kualiti belum banyak berubah,’’ ujarnya.

Oleh itu, Talib melihat dalam kerangka Islam, karya seperti itu bukan hanya memaparkan hubungan dengan Tuhan (hablum minallah), tetapi juga fungsi sosialnya, hubungan dengan sesamanya (hablum minan nas).

Posisi manusia juga diperhatikan dan yang menjadi acuan adalah faktor kemanusiaan yang luas menjadi landasan dari sebuah struktur keagamaan.

Dengan landasan kemanusiaan, pembacaan terhadap realiti keislaman boleh menggunakan strategi dekonstruksi Jacques Derrida dengan paradigma bahawa sebuah teks itu tidak utuh. Ia memiliki celah dan jarak makna tersendiri.

Bagaimanapun berkembangnya sastera berunsur Islam hari ini memang sesuatu yang positif. Namun, cabaran terbesar ialah kualiti walaupun sastera tidak lepas daripada nilai estetikanya. Ini kerana sesebuah karya harus menjadi alat pendidikan manusia yang penuh dengan absurditinya.