Wednesday, November 28, 2007

Penerima SEA Write Award 2007- Rahman Shaari

Oleh: A. AZIZ HASSAN
Sumber Utusan Online



ANTARA berita yang ditunggu-tunggu oleh kalangan penulis, khususnya penulis karya sastera, ialah siapa penerima Anugerah SEA Write. Tahun ini giliran Profesor Rahman Shaari dari Universiti Malaya menerima anugerah tersebut dan majlis penganugerahannya akan diadakan di Bangkok pada 8 Oktober, 2007.

Profesor Rahman yang beberapa kali memenangi Hadiah Sastera Malaysia (kini Hadiah Sastera Perdana Malaysia), telah terpilih setelah barisan panel menilai pembaharuan dan ideologi dalam puisi-puisinya.

Ada dua kumpulan puisinya yang terkini, iaitu Anjung Persinggahan (2006) dan Anjung Deklamator (2005). Anjung Persinggahan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memuatkan karya-karya terpilih Rahman Shaari, iaitu karya-karya yang dihasilkan sejak dekad 1970-an, hingga kini.

Anjung Deklamator pula ialah buku puisi yang disertai pedoman berdeklamasi. Sajak-sajak dalam Anjung Deklamator ialah sajak-sajak deklamatori, iaitu sajak-sajak yang mempunyai elemen pentas.

Kedua-dua buku puisi Rahman Shaari itu memberikan sumbangan yang besar terhadap kesusasteraan Malaysia. Sajak-sajak dalam Anjung Persinggahan dihasilkan dengan bahasa yang padat, iaitu gaya berbahasa yang meninggalkan persajakan ASAS 50 dan juga cara persajakan penyair 1960-an. Rahman Shaari muncul sebagai penyair pada awal dekad 1970-an dan beliau bergiat kira-kira serentak dengan Zurinah Hassan, penerima Anugerah SEA Write 2005.

Daripada pandangan Muhammad Haji Salleh, Rahman Shaari ialah penyair yang memberatkan idea dan idea yang dikemukakan itu selalu dirasakan segar kerana penggunaan bahasa yang ekonomis dan tepat.

Dalam zaman yang serba cepat, serba mencabar dan sekali-kala terkesan terlaku kebendaan ini, perhatian terhadap kerja-kerja sasterawan amat diperlukan. Kita dapati jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu telah berkurangan.

Oleh itu sebarang galakan untuk kemajuan sastera adalah dialu-alukan. Anugerah SEA Write ini ialah salah satu daripada pelbagai usaha itu. Oleh itu, kita tentulah menghargai kerajaan Thailand yang mengadakan anugerah ini dan kita kagum kerana anugerah yang diperuntukkan kepada negara-negara di Asia Tenggara ini bertahan lama.

Dengan mengatakan bagusnya usaha pihak Thailand, tidaklah bermakna kita memandang ringan kepada kepentingan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Kewujudan kedua-duanya itu cukup bererti dan kita telah melihat hasilnya yang ketara.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia perlu diperkukuh. Sekarang sudah pun tahun 2007 dan seingat saya pemenang Hadiah Sastera Perdana 2004 dan 2005 belum diumumkan. Jika pada hujung tahun ini diumumkan Hadiah Sastera Perdana 2004/

2005, maka kerja penilaian Hadiah sastera 2006/2007 akan berikutan pula. Sepatutnya pada masa ini Hadiah Sastera 2004/2005 telah lama selesai, iaitu pemenang telah menerima hadiah dalam tahun 2006.

Sasterawan Malaysia tentulah tidak mahu dikatakan asyik menunggu hadiah. Sebenarnya, kita hanya ingin mencontohi usaha baik dari negara jiran. Kita pernah mengadakan Anugerah Puisi Putra pada tahun 1980 dan anugerah itu besar dan berprestij hampir-hampir sama dengan Anugerah SEA Write. Namun kini anugerah itu telah menjadi sejarah.

Berbalik kepada Anugerah SEA Write yang dimenangi oleh Rahman Shaari, peminat puisi Malaysia telah melihat kesungguhan Rahman dalam membawa pembaharuan. Pada satu jangka masa, terutama dalam dekad 1970-an, Rahman dikatakan terikut-ikut dengan gaya Muhammad Haji Salleh. Jika itu benar, tidak mengapa, kerana itu ialah kegiatan awalnya. Pada peringkat terkini, kita mendapati Rahman telah menghasilkan sajaksajak deklamatori dengan cara yang benar-benar beridentiti.

Rahman Shaari telah menghasilkan sajak-sajak bergaya seloka, misalnya Pak Kaduk Ahli Strategi dan Kintalo dengan Telur Emas, yang sangat menarik. Gaya terbaru ini tidak menyamai mana-mana penyair Malaysia yang lain dan Rahman telah menunjukkan cara mendeklamasikan sajak-sajak itu di beberapa tempat. Kejayaan mencipta konsep Persembahan Puisi Artistik (PPA) saja telah meletakkan Rahman di tempat yang berbeza daripada penyair-penyair lain.

Selain menghasilkan sajak, Rahman Shaari juga telah menghasilkan novel, drama dan cerpen. Dalam bidang novel, beliau telah berjaya membuat pembaharuan, iaitu melalui novel Burok dan sambungannya Psikobabo.

Novel-novel itu mengkritik keburukan dengan bahasa yang buruk, kira-kira sejalan dengan usaha Alice Walker di Barat. Umar Junus dalam satu makalah telah membandingkan Burok karya Rahman Shaari dengan The Color Purple karya Alice Walker.

Sebelum itu, Rahman Shaari telah menghasilkan novel Tirai Tokoh yang mengkritik pemimpin yang curang, Suluh Peraba yang mengkritik masyarakat yang mempercayai tahayul dan Takungan Hajat yang membawa tema masalah rumah tangga.

Dalam bidang drama, baru-baru ini Rahman Shaari telah menghasilkan skrip Petua Perkahwinan dan beliau mengarah drama itu, serta memegang watak utama. Drama lain karya beliau ialah Wisma Wahub dan Harimau.