Wednesday, November 28, 2007

Abdul Latiff Mohidin terima ASNS

Sumber: Utusan Online



PENYAIR dan pelukis, Abdul Latiff Mohidin ibarat sirih pulang ke gagang apabila menerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan (ASNS). Anak kelahiran Lenggeng, Negeri Sembilan tersebut menerima RM10,000 berserta sepersalinan, sijil dan cenderamata.

Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan di Seremban, baru-baru ini.

Selain menyampaikan anugerah itu, beliau turut menyempurnakan majlis penyampaian hadiah-hadiah lain. Hadiah Penggerak Sastera Negeri yang menawarkan wang tunai RM3,000 dimenangi oleh Allahyarham Ismail Abdul Hadi.

Anugerah Tokoh Sasterawan Negeri turut disampaikan kepada enam penulis mengikut genre dan masing-masing menerima RM2,000 berserta sijil dan cenderamata.

Mereka ialah Allahyarham Harun Salleh (Tokoh Novel), Mahaya Mohd Yassin (Tokoh Puisi), Dr. Mohd Nor Abdul Ghani (Tokoh Cerpen), Datuk Dr. Abdul Rahman Kaeh (Tokoh Esei), Allahyarham Abdul Rahman Sidek atau Wagiman NS (Tokoh Drama) dan Abdul Latip Talib (Tokoh Karya Remaja/Kanak-kanak).

Bagi kategori buku pula, daripada 14 hadiah yang ditawarkan, hanya lima hadiah berjaya dimenangi, iaitu Siti Jasmina Ibrahim dengan novelnya 6:20 untuk novel remaja, Agus Salim (Maya - kumpulan puisi dewasa) dan Nalida (Ibu, Kupohon Restumu - kumpulan cerpen kanak-kanak).

Sementara Nisah Haron menerima dua hadiah untuk Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus (kumpulan cerpen dewasa) dan Farris Putera Yang Hilang (novel kanak-kanak).

Anugerah Sastera Negeri Sembilan turut dimeriahkan dengan kehadiran penulis mapan dan baru yang memenangi kategori eceran. Setiap hadiah bernilai RM500.

Bagi cerpen eceran (enam hadiah) dimenangi oleh tiga orang penulis muda iaitu Amiza Khusyri Yusof (Ibtisam Syawal dan Salehuddin 21), Syarifah Salha Syed Ahmad (Debat Evolusi dan Suratan Ramadhan) dan Nisah Haron (Pusaka Cendana dan Saksi Delima Sakti).

Puisi eceran (enam hadiah) dimenangi oleh Rahimi NS (Rumah Bangsa), Zawawi Jahya (Kembali Menginsafi Diri), Nor Aziah Abdul Aziz Fadzilah (Siapakah Mampu), Mahaya Mohd Yassin (Mengutip Manik Waktu Yang Masih Tersisa) dan Huzaifah Zulfakar (Ini Suara Wanita dan Jika Benar Engkau Harus Melangkah).

Kategori Esei Eceran pula memperakukan beberapa tokoh akademik tersohor dan penulis prolifik. Dr. Rosnah Baharuddin menerima dua hadiah untuk Feminisme ala Salina Ibrahim dalam Untukmu Hana dan Novel Mutakhir Malaysia: Pengarang dan Karya.

Begitu juga Zalila Sharif dengan dua hadiah bagi eseinya Sejarah Kesusasteraan Melayu Tradisional - Suatu Rekonstruksi : Cabaran Kepada Pengkaji dan Unsur Mitos dan Legenda Dalam Sejarah Melayu : Antara Tradisi India dengan Islam.

Dr. Mohd. Rosli Saludin (Kajian Teromba Kepimpinan dan Perlanjutan Tradisi Dalam Sistem Adat Perpatih) dan Nisah Haron (Tunggu Teduh Dulu : Citra Dakwah Islamiah Terkini) turut memenangi kategori ini.

Panel mendapati tiada karya yang layak untuk kategori karya kanak-kanak dan karya remaja eceran.

Begitu juga untuk kategori novel dewasa, kumpulan cerpen remaja, kumpulan cerpen kanak-kanak, kumpulan puisi remaja, kumpulan puisi kanak-kanak, kumpulan puisi tradisional, kumpulan drama radio, kumpulan drama televisyen dan kumpulan esei/kritikan/pembangunan.

Menteri Besar turut melancarkan 21 buah karya terbaharu hasil tulisan penulis-penulis Negeri Sembilan, termasuklah Biografi Agus Salim : Dia Penggerak Sastera yang Setia, Epal Merah (Antologi Cerpen Karyawan Muda Darul Khusus) dan Sebelum Bintang Berjatuhan (Antologi Puisi Karyawan Muda Darul Khusus).