Thursday, November 29, 2007

Telah Terbit- Antologi cerpen dan puisi terbaru GKLN!

Antologi Cerpen Jalan Jauh Ke Ramallah!





Antologi sekitar 250 muka surat ini telah diselenggarakan oleh Fazleen Razali dan Rebecca Ilham serta menampilkan 21 buah cerpen bertenaga dari 12 orang penulis GKLN. Antara cerpen yang termuat termasuklah Hijrah Rachel, Je Zu Be, Izrail Sibuk di Gaza, Syahadah Jerusalem, Cinta Menyala di Constantinople, Sedingin Rabat, Jalan Jauh ke Ramallah, Amaan-Yuda, Menjelang Malam, Air Mata Abah, Rekah-Rekah Andalusia, dan banyak lagi.

Senarai penulis:

1) Asyraffdini (Jordan)
2) Adibah Abdullah (Manchester)
3) Zaharah Zahid (Morocco)
4) Ummu Hani Abu Hasan (Syria)
5) Hafez Iftiqar (Australia)
6) Fieza Nur (Ireland)
7) Rebecca Ilham (United States)
8) Ainaa Mardhiah Suhaimi (Morocco)
9) Muharikah (Scotland)
10) Fazleen Razali (Southampton)
11) Nik Munirah (Sheffield)
12) Fahd Razy (Ireland)


Maklumat lanjut sila hubungi

fahd_razy@yahoo.co.uk
fazleenrazali@yahoo.com
Beckyilham@yahoo.com
fieza_nur@yahoo.com
asyraffdini@yahoo.com
hafeziftiqar@yahoo.com
i_sya_z@yahoo.com
nikmun82@yahoo.com
thinker_gurl@yahoo.com
r4mc_ainaa@yahoo.com


Petikan Cerpen

Engkau terhenyak. Ada foto Mahmoud Abbas, Ismail Haniyeh dan Khaled Meshal solat berjemaah sebelah-menyebelah. Engkau lebih-lebih terhenyak apabila Dhaliza mencemik pada pin kecil di lapel sports jacket engkau.
“Raja Abdullah yang berpimpin-pimpin dengan George Bush sudah terang-terangan menggerakkan proses damai. Engkau – Umar Basheer; anak lelaki pejuang Palestin, besar dalam buangan pula – belum terpanggil?”
Jalan Jauh Ke Ramallah, Rebecca Ilham


Selepas penangkapan Koperal Gilat Shalit, dunia bising dan nama Shalit disebut di merata dunia. Selama ini, berapa ribu rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak yang diculik tapi langsung tidak dipedulikan dunia? Malah nama mereka langsung tidak disebut. Mereka pengganas! Sejak bila mempertahankan tanah milik sendiri dikatakan suatu tindakan keganasan? Ratusan tahun tanah Palestin dikongsi bersama pelbagai kepercayaan. Kamu boleh lihat gambar-gambar jemaah haji Kristian yang berbaris dengan ranting zaitun di tangan aman berarak sebelum Zionis menjarah bumi Palestin.
Izrail Sibuk di Gaza, Hafez Iftiqar


Ezeqiel hanya mampu membiarkan. Serasa ingin diputar masa. Serasa ingin dicampak botol Swing yang ditaja entah siapa di parti haram itu. Memaki-maki polis yang malam itu tidak pula mengadakan serbuan. Jiran-jiran buang tabiat, sudah serasi dengan muzik berdentum barangkali. Menyalahkan rakan-rakan yang menariknya ke parit belajar mengenal rasa Heineken tatkala pelajar lain mengenal istilah saintifik. Menyumbat sistem saraf dengan up john dan red camel dan entah apa-apa biji lagi. Memarahi peraturan sekolah berasrama yang terlalu menekan (tapi tak pernah pula terfikir untuk menghukum diri sendiri).
Menjelang Malam, Fazleen Razali


Orang Islam sudahpun mendekat, berkubu di luar kota dengan ratusan ribu tentera. Bantuan dari panglima Giustiniani juga telah tiba bersama beberapa ribu orang terlatihnya dari Genoa, namun aku masih lagi ternanti-nanti warkah balas darimu. Merpati putihku, Anytus, pulang tanpa terikat apa-apa pada kakinya. Cuma kehampaan. Adakah kau sudah lupa pada lafaz cinta yang pernah kita persaksikan di kaki bukit dulu? Adakah cintamu dikit-dikit luput setelah berlalunya musim bunga seperti kuntum-kuntum daffodil yang semakin perang? Natalya, kasih kita adalah cinta Justinian dan Theodora yang membakar lewat musim-musim sengketa. Seputih kuntuman snowdrop menjelang musim bunga.
Cinta Menyala di Constantinople, Fahd Razy


Aku lihat Azahari. Dia tersenyum kelat sedari tadi lantaran tidak mahu kalah dengan hujahku tadi. Sambil lazat mengunyah falafel, dia sempat memetik tulisan Blasco Ibanez dalam Dans l'ombrc de la cathédrale yang menganggap penaklukan Muslim di Andalusia sebagai ‘civilizational expedition’ lantaran memperlihatkan kebebasan beragama sebagai tonggak. Dia memberi contoh; dikri pada tahun 694 (sebelum kedatangan Islam) yang menghukum Yahudi yang menolak pembaptisan jika dibandingkan dengan toleransi Islam terhadap Gereja Kristian dan synagogue Yahudi. Aku tersenyum angguk, sengaja memberi ruang untuknya berasa puas.
Rekah-Rekah Kota Andalusia, Fahd Razy


Agama kami mengajar prinsip dalam peperangan. Tidak dibolehkan membunuh orang awam, tidak boleh merosakkan tanaman, kegiatan ekonomi, dan rumah-rumah ibadat, dan kami diperintahkan untuk memerangi sesiapa yang mahu berperang dengan kami sahaja. Tapi, yang melakukan pengeboman itu, sudah tentu berdosa kerana menyalahi prinsip agama. Jangan pula kamu menghukum Islam hanya kerana kesilapan penganutnya. Bahkan, pengeboman itu belum tentu dilakukan oleh orang Islam. Kamupun pasti tahu adanya kuasa besar dunia yang menghalalkan massacre orang Islam atas nama agama. Mereka lakukan tidak mengapa, mengapa orang lain lakukan dilabel macam-macam?
Syahadah Jerusalem, Asyraffdini


Lenny, Vic, Johan, Tengku Farid, Sam, Nabil, Maria... ah cakap saja siapa. Asal ada parti, adalah muka-muka setia mereka. Enjoy semata-mata. Kadang-kala akupun keliru. Apa yang kami enjoykan sangat? Malam ni di Nouvo! Aku open table! Lusa kita naik Genting? Okey! Senyum. Dan pernah sekali aku terserempak dengan papa. Hai Rina! Papa cool, aku tak tahu sama ada aku patut bangga atau marah. Buat apa di sini? Gadis muda sebayaku di sisinya senyum menggoda. Aku pula yang serba-salah hendak menjawab.
Anekdot Gadis Melayu, Fazleen Razali


DARAH, jerit tangis anak kecil, letupan, bunyi jet pejuang terbang rendah begitu membingitkan kepala Rachel. Kenapa tempat itu seperti killing zone. Itu kanak-kanak yang mereka tembak sesuka hati. Huda sedang belajar di sekolahnya apabila peluru itu tiba-tiba mengenainya. Kanak-kanak kecil itu mati di situ juga. Bagaimana perasaan ibubapanya apabila mengetahui anaknya dibunuh dengan kejam di sekolah? Bagaimana pula dengan kanak-kanak lain? Tidakkah mereka akan mengalami Post Traumatic Syndrome Disorder, trauma berpanjangan kerana pembunuhan kejam itu berlaku depan mata mereka, sewaktu mereka sedang belajar? Adakah Israel ini sudah kontang kemanusiaan?
Hijrah Rachel, Fieza Nur


“Kita akan ke kerajaan Granada. Di sana masih ada pemerintah islam, Kita sudah tak mampu bertahan di sini. Kita dah dibaptiskan secara paksa, kita dilarang mengamalkan ajaran islam malah kita diharamkan menjejak kaki di masjid yang kita bina, apatah lagi untuk solat di dalamnya. Mereka hanya mampu menghapuskan bukti Islam pernah wujud di semenanjung Iberia ini dan itu termasuklah menghapuskan penganut islam dalam proses Inquisition mereka. Abi harap saki baki muslim yang ada di Andalus ini berhenti bergaduh sesama sendiri dan mengumpul kekuatan di kerajaan Granada.
Yang Terlepas Bila Kan Kembali, Fieza Nur


Sambil tersenyum, Hajar menjawab. “ Bukan begitu. Tentu sekali di dalam mazhab Syafie juga ada rukhsah tersebut, dan ia sama sahaja seperti mazhab Maliki.” Berhenti seketika. “ Jika kita buka kitab Fiqhu As-Sunnah, karangan Sayyid Sabiq, ada menyebut, kelonggaran untuk menyapu khuf ini tertakluk kepada syarat-syaratnya. Salah satu daripada perkara yang membolehkan kita menggunakan kemudahan ini, adalah bila kita sudah mempunyai wuduk sebelum memakai sarung kaki. Faham?” Hajar menduga
Sedingin Rabat, Ainaa Mardiah Suhaimi


Ada sekerat dua suara-suara sumbang yang kontra dengan arus, antara bunyinya ada iras-iras ‘penguatkuasaan moral’, ‘dosa peribadi’ dan ‘hak asasi manusia’. Tapi suara mereka tak berapa jelas timbul, dek keminoritian mereka dan kedangkalan ideologi yang diwara-warakan. Kadang-kadang aku hendak tergelak mendengar hujah mereka. Dosa peribadi yang dilakukan oleh seorang Muslim adalah urusannya sendiri dan tidak sepatutnya dicampuri oleh pentadbiran. Kubur kan asing-asing? Penguatkuasaan moral tidak akan menghasilkan generasi bersahsiah tetapi generasi yang hipokrit, mentaati agama kerana pemerintah bukan kerana keikhlasan Lillahi Taala. Malah ada mulut yang lancang berkata dan jari yang lincah menaip, meramal Kota Bintang akan menjadi Kota Afghanistang.
Petisyen, Adibah Abdullah


. “Kamu perlu seperti Khalid al-Walid. Ruh dan dan jasadnya bersemadi di tempat kamu. Dia bukan sebarangan manusia. Dia pilihan Tuhan,” luncur si doktor. Dia berhenti di tengah ruang kosong, mengadap ke pintu makam yang tertanam dalam masjid. “Siapakah yang dapat menawan kota-kota Rom ini kecuali manusia berkuasa karomah? Tatkala ramai yang syahid di medan Muttah, dia terus tegar mengepalai tentera Muslim sehingga Islam mencapai kemenangan. Tubuhnya tiada ruang kosong dari kesan bilasan pedang tatkala jenazahnya dimandikan. Adakah manusia seberaninya?” Lelaki berwajah cina mengelus bahu Nadir. “Sebab itu dia digelar pedang Allah,” balas Nadir. “Kau tahu?” Nadir mengangguk. Kisah Khalid al-Walid bukan asing padanya, malah pada kanak-kanak di daerah Homs. Kisah-kisah berani pahlawan Islam itu menjadi makanan mereka sejak kecil.
Je Zu Be, Ummu Hani Abu Hassan


Kami menginjak dewasa. Tapi,kami tidak pernah hidup mewah. Abah dan emak tidak pernah beri kami erti hidup kemewahan. Kami akur dan kami semakin mengerti mengapa. Kami belajar bersungguh-sungguh kerana tidak mahu lihat emak menjual kuih,tidak mahu melihat abah mengangkat barang-barang berat untuk dijual. Emak banyak membantu abah. Pernah emak menjual sayur untuk menyara hidup kami. Abah sakit tika itu. Abah tidak boleh bekerja. Abah sakit terkena buatan orang. Orang sekeliling memarahi emak kerana mahu menyara abah yang tidak boleh bekerja. Emak diam. Abah dicemuh, emak bersabar. Kata emak, mereka tidak faham apa yang emak alami. Kami marah pada mereka. Kami berjanji akan mengubah nasib mak dan abah.
Air Mata Abah, Zahirah Zahid


Aku membayangkan betapa terkejutnya ayah tatkala menerima surat keputusan peperiksaanku di kampung. Ditambah lagi abang sulungku pulang dari US tanpa membawa balik segulung ijazah. Hanya sebatang kara. Kini dia hanya menolong ayah menguruskan kedai runcit di kampung. Sedangkan dahulunya abang adalah pelajar terbaik sewaktu sekolah menengahnya.
Kerana Ini Jalan Pilihanku, Muharikah


Dia telah mengikut bakal mangsanya dari masjid lagi. Berlainan dengan mangsa-mangsanya sebelum ini, yang biasanya diekori dari kelab-kelab malam atau hotel-hotel mewah. Dari awal azan mula berkumandang ketika langit telah kemerah-merahan sehinggalah gelap hitam malam menjelma, bakal mangsanya itu tidak keluar-keluar dari masjid. Lalu dia menunggu. Dan terus menunggu.
99+1, Nik Munirah