Wednesday, November 28, 2007

Azizi tewaskan tiga pesaing bolot Hadiah Sastera Mastera

Oleh: Nazmi Yaakub
(Berita Harian Online)



KEMUNCULAN kembali Penerima Penulisan Sea 1983, Azizi Abdullah di persada sastera kebangsaan pada tahun ini disempurnakan dengan kemenangan novelnya, Sangeetha dalam Kategori Karya Sastera Kreatif, Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) Ke-5 2007.

Selepas novel satira, ‘Kawin-kawin’ pada 2002, Azizi bagaikan menyepi terutama dalam genre novel sebelum kembali menggegarkan dunia sastera dengan memenangi tempat kedua Kategori Novel, Sayembara Mengarang Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) lewat Harga Sebuah Maruah.

Tahun ini juga, novel barunya, Memoir Seorang Guru menjengah pasaran, manakala Tukcai diulang terbit, selain novel Sangeetha turut diangkat ke skrip drama radio dan teater serta dipentaskan di Universiti Sains Malaysia (USM), pada Ogos lalu.

Panel Penilai Hadiah Sastera Mastera Ke-5 2007 menyifatkan Sangeetha sebagai novel terbaik Azizi dan antara novel penting Melayu abad ke-21 kerana menawarkan pengalaman estetika serta menghidangkan pengalaman intelektual baru ekoran tema yang memasuki persoalan nadir.

Novel itu menewaskan kumpulan puisi Iga karya Zaen Kasturi, mengapungkan tema yang jarang diungkapkan dalam cereka Melayu moden kerana menjengah dunia sepi orang tua apabila pengarangnya menggarap dan memanipulasi peranti seninya disesuaikan dengan rentak serta warna yang menjadi latar belakang naratif.

Panel penilai turut mengakui gerak novel berkenaan agak lambat, tetapi sesuai dengan usia watak utamanya sehingga kadang-kadang wujud pengulangan kerana berlegar dalam latar yang sama dan tiada set baru, sekali gus menjadi cermin kepada perjalanan hidup manusia.

Panel penilai turut memperaku pengarang Sangeetha melakukan penelitian mendalam mengenai pelbagai aspek yang membina naratif itu, seperti Islam, kepercayaan Hindu, budaya Melayu mahupun India, selain latar alam, rumah limas Perak, alat muzik tabla dan gambus.

Melalui keterampilan seninya, Jawatankuasa Pemilih Hadiah Sastera Mastera 2003 melihat pengarang mengadun bahan dengan struktural sehingga dapat mencipta nahu naratif yang seimbang antara bentuk dengan isi, persoalan dengan gerak serta warna yang melatari novel berkenaan.

Penilai Penilai Peringkat Serantau Hadiah Sastera Mastera 2007 dipengerusikan Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Firdaus Abdullah bersama timbalannya, Pengarah Jabatan Sastera DBP, Izzah Abdul Aziz serta panel peringkat negara, Dayang Aminah Momin (Brunei Darussalam), Prof Dr Shaharuddin Maaruf (Singapura), Datuk Dr Anwar Ridhwan bersama-sama Prof Dr Solehah Ishak (Malaysia).

Selain Sangeetha, Panel Penilai Hadiah Sastera Mastera Ke-5 2007 turut memilih Ntaidu novel Muslim Burmat terbitan DBP Brunei Darussalam sebagai pemenang Kategori Hadiah Sastera Kreatif selepas menewaskan kumpulan puisi Salam Takwa (Zairi MS - DBP Brunei Darussalam).

Novel berunsur Islam itu dianggap berjaya menyampaikan idea, tema dan mesej pengarang secara baik serta konsisten, lengkap dengan lambang dan citra yang membawa makna berkaitan ajaran Islam seperti ntaidu, air, pancuran, telaga, gua, burung merpati serta gagak.

Karya dari Indonesia yang turut memenangi kategori terbabit ialah kumpulan puisi Gugusan Mata Ibu karya Raudal Tanjung Benua terbitan Bentang Pustaka (Bentang) selepas menewaskan novel Perempuan Badai (Mustofa W Hasyim - P Idea).

Kumpulan puisi Gugusan Mata Ibu disifatkan panel penilai sebagai karya menggunakan bahasa simbol dan citra serta mempunyai jalinan imej yang aneh, tetapi memukau kerana fikiran, pengalaman serta perasaan diungkapkan dalam bahasa berdaya citra tinggi.

Bahasa puisi Raudal disifatkan sarat dengan kekaburan sehingga menyebabkan pembaca tertanya-tanya mengenai rahsia di sebalik simbol, selain estetika pantun yang melandasi hampir setiap larik dan bunyi, menjadikan puisinya sebagai titik pengembaraan pembaca untuk waspada terhadap permainan makna pengarang.

Penampilan ‘ibu’ secara kerap turut menjadi metafora kepada tempat berangkat dan berlabuh bagi semangat nasionalisme dan keindonesiaan, sekali gus menunjukkan keresahan Raudal sehingga pembaca dapat membaca nasionalisme yang disembunyikannya dan menafsirkan bahawa untuk menjadi Indonesia, mereka harus meninggalkan ibu etnik menuju ibu Indonesia.

Kategori Karya Sastera Bukan Kreatif Hadiah Sastera Mastera yang sebelum ini dikuasai oleh sarjana dari negara ini, dimenangi Pensyarah Universiti Indonesia (UI), Maman S Mahayana lewat bukunya, 9 Jawapan Sastera Indonesia: Sebuah Orientasi Kritik, sekali gus menewaskan Dr Brahim Tengah (Syair Rajang: Penyelenggaraan dan Analisis Teks) dan Ooi Eng Lee (Novel Terpilih Shahnon Ahmad: Satu Kajian Pendekatan Gender).

Sebelum ini, Indonesia hanya meraih kategori itu pada Hadiah Sastera Mastera Ke-3 2003 lewat Tasawuf yang Tertindas tulisan Abdul Hadi WM, manakala Malaysia memenanginya pada 2005, 2001 dan 1999 melalui Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu (Dr Jelani Harun); Puitika Sastera Melayu (Prof Dr Muhammad Salleh) dan Rasa-Fenomenologi : Penerapan Terhadap Karya A Samad Said (Prof Dr Sohaimi Abdul Aziz).

Panel penilai menyifatkan karya Maman itu sebagai buku pertama yang membicarakan kritikan sastera Indonesia secara menyeluruh di tengah-tengah kesepian buku kritikan sastera negara jiran itu dengan mengetengahkan perbincangan pelbagai teori dan kritikan sastera selain mengunjurkan perspektif baru yang tidak disentuh pengamat serta peneliti sastera sebelum ini.

Panel penilai turut meletakkan buku Maman itu sebagai jawapan kepada keresahan sasterawan Indonesia yang menganggap sastera di negara mereka sedang bergelumang dalam krisis, selain menganggap karya itu sebagai rakaman sejarah pembentukan citra kepengarangan di negara berkenaan.

Hadiah Sastera Mastera lahir hasil kerjasama tiga negara anggota, Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia dalam Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) manakala hadiahnya dibahagikan kepada Kategori Karya Sastera Bukan Kreatif serta Karya Sastera Kreatif.

Ia bertujuan mengiktiraf karya sastera asli pelbagai genre yang ditulis dalam bahasa Melayu/Indonesia atau diterjemahkan ke dalam kedua-dua bahasa itu dan penganugerahan dilakukan setiap dua tahun sekali.

Selepas hampir sedekad Hadiah Sastera Mastera diperkenalkan, sewajarnya prestij dan kredibiliti anugerah itu ditingkatkan bagi memastikan buku yang memenanginya bukan hanya berlegar pada peringkat rantau ini, bahkan turut dipandang tinggi oleh dunia sastera antarabangsa.

Ini dapat direalisasikan dengan memilih satu karya sastera kreatif saja daripada semua buku tiga negara yang dipertandingkan, berbanding amalan semasa iaitu setiap karya dari satu negara.

Tidak salah sekiranya penganjur mengambil contoh mekanisme pemilihan hadiah sastera pada peringkat antarabangsa seperti Hadiah Man Booker atau Hadiah Sastera Man Asia yang hanya menobatkan satu karya sebagai pemenang tanpa mengira negara yang diwakili pengarang terbabit.

Malah proses penyaringan juga ketat apabila novel yang dinilai mewakili senarai panjang dan senarai pendek, sebelum panel penilai memilih karya terbaik untuk meraih hadiah wang bernilai kira-kira RM350,000 (STG50,000) bagi Hadiah Man Booker serta RM33,800 (AS$10,000) (Hadiah Sastera Man Asia).

Pemenang dua hadiah itu bukan saja membawa pulang hadiah wang berkenaan, bahkan novel yang memenanginya memperoleh nilai tambah daripada sudut penerbitan sebagai karya berprestij yang menjadi buruan pembaca berbahasa Inggeris, selain bakal diterjemahkan ke bahasa lain.

Bagi enam novel yang disenarai pendek sebagai calon Hadiah Man Booker pula, penganjur turut menghargainya dengan memberi hadiah sagu hati bernilai RM17,000 (STG5,000) termasuk pemenangnya.

Sekiranya Hadiah Sastera Mastera berjaya mengguna pakai mekanisme dengan memilih satu karya saja sebagai pemenang, tidak mustahil hadiah berkenaan akan turut disertai oleh negara Asean yang lain dengan sanggup menterjemahkannya sama ada ke bahasa Melayu atau bahasa Indonesia.