Wednesday, November 28, 2007

Ulasan puisi 'Sebuah Pengharapan' karya Atikah Azit

Oleh: Hani Hamsyari

Sebuah Pengharapan

masihkah ada harapan
pada lunar-lunar kesuraman
pada kekejangan pekat malam
pada kebuntuan, tak terlafaz ungkapan kata
masihkah ada harapan
pada diri yang beku
kaku, terpaku dihanyut mainan nafsu
masihkah ada harapan
pada hati yang kerdil,
untuk mengerdipkan barangkali satu tekad
membawa diri kedunia baru
ke jalan baru.. yang lebih suci
lebih menjanjikan seribu erti
bagi bekalan ke destinasi yang pasti
Tuhan, kuharap padamu
dan ku tahu.. padaMu ada harapan yang pasti
menanti
biarpun diri ini terlalu kerdil dalam mengerti erti hidup ini

-HatikuMilikMu-




Ketika dipelawa untuk mengulas sajak yang tersiar di GKLN, saya rasa agak berbelah bahagi. Pertama, kerana saya masih cetek pengalaman dalam bidang ini. Dan kedua, apabila melihat nama-nama yang pernah membuat ulasan sebelum ini, yang saya kira ilmunya begitu jauh terkehadapan berbanding saya. Namun, memandangkan peluang ini tidak datang selalu, maka saya terima ini sebagai amanah jua untuk meraih pengalaman baru. Oleh itu, sekiranya terdapat kekurangan, kepincangan atau kesilapan yang tidak disengajakan sepanjang ulasan ini nanti, saya berharap akan ada yang sudi memperbetulkan. Agar kita dapat sama-sama belajar.

Meneliti sajak ”Sebuah Pengharapan” hasil karya saudari Atikah Azit, penyajak dilihat menyuarakan rasa ketidakpastian beliau terhadap ’harapan’nya. Harapan ini barangkali berupa harapan untuk menggapai kejayaan dalam sesuatu perkara/bidang, atau boleh jadi harapan untuk memperbaiki diri daripada sifat-sifat mazmumah kepada memiliki sifat-sifat mahmudah. Pada akhirnya, penyajak dengan rasa rendah hati (”biarpun diri ini terlalu kerdil”) menyerahkan sepenuh harapannya kepada Tuhan kerana beliau yakin ”padaMu ada harapan yang pasti menanti”.

Secara keseluruhannya, sajak ini cuba membawa tema ketuhanan dan disampaikan dalam satu rangkap. Sajak ini juga berbentuk bebas iaitu bentuknya tidak terikat dengan puisi-puisi tradisional dan juga disampaikan dalam bentuk monolog.

Baiklah. Mari kita lihat 7 baris terawal sajak ini.

masihkah ada harapan
pada lunar-lunar kesuraman
pada kekejangan pekat malam
pada kebuntuan, tak terlafaz ungkapan kata
masihkah ada harapan
pada diri yang beku
kaku, terpaku dihanyut mainan nafsu

Penyajak dengan jelas menggambarkan suatu ketidakpastian tentang harapannya dan ini dapat dilihat melalui kata-kata ”masihkah ada harapan”. Penyajak turut menggambarkan keadaan yang sunyi/sepi apabila menyebut tentang ’kesuraman’, ’malam’ dan ’tak terlafaz ungkapan kata’. [Sejujurnya saya kurang maklum maksud perkataan lunar. Saya berpendapat penyajak bermaksudkan perkataan garis atau rona atau mungkin biasan. Itu pun jika perkataan ini wujud, kerana saya tidak terjumpa ia di dalam kamus. Maka saya agak ragu-ragu untuk memberi pendapat tentang baris kedua sajak ini ☺].

Penyajak juga cuba menggambarkan keadaan yang sangat ’gelap’ melalui frasa ”kekejangan pekat malam”. Kegelapan ini boleh ditafsirkan juga sebagai kekosongan jiwa atau kebuntuan fikiran. Walaubagaimanapun, saya berpendapat penggunaan kekejangan agak janggal apabila dikaitkan dengan malam. Ini kerana kekejangan lebih sesuai untuk menggambarkan sesuatu yang kaku atau regang/tegang seperti otot atau urat [betul ke doktor?].

Seterusnya penyajak menggambarkan tertewas diri terhadap tipu daya nafsu (”dihanyut mainan nafsu”). ’Tewas’ ini seolah-olah bersifat hampir total apabila penyajak melukiskan keadaan seperti ”beku/kaku, terpaku”. Boleh jadi tewasnya itu adalah dari sudut fizikal, mental, emosi atau rohani. Saya berpendapat semua sekali terutamanya mental, emosi dan rohani.

Secara peribadinya, saya memuji penggunaan kata-kata ”beku, kaku dan terpaku”. Ini kerana, ia menggambarkan keadaan seseorang yang tidak berdaya, untuk bertindakbalas atau mengambi tindakan. Malah ia juga menghasilkan sebutan yang menarik dan mempunyai rima apabila dibaca. Namun begitu, terdapat beberapa frasa yang klise dapat dikesan seperti ”pekat malam”, ”tak terlafaz ungkapan kata” dan ”dihanyut mainan nafsu”. Frasa klise yang berbilang di dalam sesebuah sajak boleh menjadikan sajak tersebut hambar apabila dibaca. Saya cuba mengemukakan beberapa frasa yang sedikit lari dari klise sebagaimana di bawah.

Masihkah ada harapan
pada jalur-jalur kesuraman
pada curahan gelita malam
pada larikan buntu
bicara terlakar kaku

Masihkah ada harapan
pada diri yang beku
kaku, terpaku dibelit rantaian nafsu

Saya memilih ”dibelit rantaian nafsu” kerana saya berpendapat ’dirantai’ itu lebih sesuai dikaitkan dengan ’kaku’ dan ’terpaku’ berbanding penggunaan ‘hanyut’ pada asalnya. Ini kerana, timbul persoalan bagaimana sesuatu yang dikatakan sudah terpaku itu boleh hanyut pula?

Seterusnya mari kita lihat pula baris-baris berikut.

masihkah ada harapan
pada hati yang kerdil,
untuk mengerdipkan barangkali satu tekad
membawa diri ke dunia baru
ke jalan baru.. yang lebih suci
lebih menjanjikan seribu erti
bagi bekalan ke destinasi yang pasti

Di sini memperlihatkan timbulnya keinginan penyajak untuk berhijrah ”ke dunia baru/ke jalan baru” yang padanya akan menjamin suatu keadaan yang lebih baik yang seterusnya dapat memberi jaminan kebahagiaan beliau di ”destinasi yang pasti”. ’Destinasi’ serta ’dunia baru’ yang disebutkan boleh difahami sebagai masa depan yang pastinya akan dilalui nanti (jika umur panjang) seperti pekerjaan, kehidupan yang indah dan keluarga bahagia, atau boleh juga ditafsirkan sebagai kehidupan selepas mati iaitu alam akhirat. Pada bahagian ini juga, kita masih dapat melihat penggunaan frasa yang klise seperti ”bekalan ke destinasi yang pasti”. Selain itu, penggunaan ”yang” pada baris kedua dan kelima menjadikan stanza ini agak prosaik dan tidak ekonomik. Sekali lagi, saya cuba mengemukakan beberapa frasa yang cuba lari dari klise, sedikit ekonomik dan kurang prosaik. Harapnya.

Masihkah ada harapan
buat sepuntung hati kerdil
menyemarakkan obor tekad
menyuluh ke lorong suci
mengiring diri ke dunia hakiki

Saya menggunakan ’sepuntung hati’ bagi menggambarkan diri yang kerdil dengan kudrat bersisa yang terbatas. Manakala penggunaan ’menyemarakkan obor’ adalah sebagai lambang kesungguhan hati kerdil itu menjulang tekadnya. ’Bekalan’ saya gantikan dengan ’mengiring’, iaitu sebagai tanda bahawa ’obor tekad’ yang bersemarak itu akan mampu menemani penyajak ke ”destinasi yang pasti” (saya guna ’dunia hakiki’ untuk lari dari klise).

Baik, kita lihat pula baris-baris terakhir sajak tersebut.

Tuhan, kuharap padamu
dan ku tahu.. padaMu ada harapan yang pasti
menanti
biarpun diri ini terlalu kerdil dalam mengerti erti kehidupan ini

Bahagian ini memperlihatkan pengharapan dan keyakinan sepenuhnya penyajak terhadap Tuhan, meskipun pada masa yang sama beliau masih merasakan yang dirinya ”terlalu kerdil” berbanding Dia Yang Agung. Terdapat sedikit kesilapan tatabahasa iaitu ’padamu’ (pada-Mu). Dan saya sebenarnya lebih selesa jika kepastian pada baris kedua itu (”harapan yang pasti menanti”) dikemudiankan dan seterusnya menjadi penutup sajak ini. Saya cuba turunkan contoh seperti di bawah.

Tuhan,
benar aku begitu naif
mencongak sifir hidup sendiri
lantas kuharap jaminan-Mu
kerna kupasti pelaburan cinta-Mu
tak pernah rugi

Saya memilih ”benar aku begitu naif/mencongak sifir hidup sendiri” sebagai menggantikan ungkapan yang agak klise [sekali lagi] iaitu ”biarpun diri ini terlalu kerdil dalam mengerti erti kehidupan ini”.

Supaya lebih jelas, saya gabungkan kembali ceraian-ceraian pendapat saya menjadi satu sajak. Memandangkan ia adalah suatu binaan dari ’kepingan-kepingan’ ulasan, barangkali bukanlah boleh dinilai sebagai sebuah sajak yang baik. Sebagai rujukan untuk belajar mungkin boleh. Dan apa yang terhasil hanyalah pendapat saya sahaja berdasarkan ilmu yang begitu cetek.

Sebuah Pengharapan

Masihkah ada harapan
pada jalur-jalur kesuraman
pada curahan gelita alam
pada larikan buntu
bicara terlakar kaku

Masihkah ada harapan
pada diri yang beku
kaku, terpaku dibelit
rantaian nafsu

Masihkah ada harapan
buat sepuntung hati kerdil
menyemarakkan obor tekad
menyuluh ke lorong suci
mengiring diri ke dunia hakiki

Tuhan,
Benar aku begitu naif
mencongak sifir hidup sendiri
masih kuharap jaminan-Mu
kerna kupasti pelaburan cinta-Mu
tak pernah rugi

Akhir sekali saudari Atikah, suka saya nyatakan kepada anda, ketika saya duduk bersembang tentang sajak ”Sebuah Pengharapan” dengan seorang penulis berpengalaman iaitu Pn. Mahanie Sulung, kami sepakat bahawa hasil cubaan pertama anda ini adalah memberangsangkan. Anda memang boleh menulis. Cuma anda perlu berusaha untuk lari dari klise dan cuba untuk tampil dengan tema yang lebih segar. [saya rasa selepas ini perkataan ’klise’ itu akan sentiasa anda ingati]. Tema adalah penting kerana seperti ditegaskan oleh SN Prof. Muhammad Haji Salleh, hasil karya yang baik ialah yang dapat menimbulkan pemikiran dan apabila dibaca akan membijaksanakan pembaca [saya adalah ’peminat’ SN Muhammad Hj Salleh]. Bagaimana pula untuk lari dari klise. Antaranya dengan merujuk kamus. Banyakkan juga membaca karya-karya penulis lain yang berkualiti dan lihat bagaimana mereka menyusun frasa-frasa atau mencipta citra yang segar dan bebas dari klise.

Harapnya anda, saya dan pembaca lain juga dapat mencedok apa-apa yang positif dari tulisan tidak seberapa ini. Pesan saya, teruslah menulis. Seperti kata Prof. Rahman Shaari; ’Jika anda terus-menerus membaca, dan terus-menerus menghasilkan karya sendiri, saya yakin anda akan maju, kerana dalam proses pencarian demikian anda akan memperolehi suatu gaya kukuh sebagai pembawaan diri anda’. Wallahu’alam.

Sekian. Salam sastera. Salam ukhuwah.

Hani Hamsyari
28 Rabiulawal 1427H
hani_hamsyari@yahoo.com