Saturday, November 24, 2007

Panduan vs Pengalaman

Oleh: Syarifah Salha Syed Ahmad

Saya tertarik membaca emel PANDUAN MENGHANTAR KARYA oleh Sdr Fahdrazy. Saya kira itu adalah penjelasan dan panduan yang cukup bagus dan lengkap. Sebetulnya seawal mengenali dunia penulisan saya tidak pernah didedahkan dengan perkara sebegini. Saya tercari-cari bagaimana tips dan format sebenar untuk bikin karya dan menghantarnya. Sehingga, setelah berkecimpung dalam Kelap Penulisan Di Mesir, saya dikenalkan tentang ini semua. Guru pertama saya adalah Nazmi Yaakob. Saya berusaha mencari maklumat penulisan di internet, menyemak kertas-kertas kerja, bertanay kepada penulis-penulis Mapan dan Kawakan serta membuat pengkajian tentang semua ini. Disitu saya mendapat pengetahuan. Dan setelah dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk mengendalikan Kelap Penulisan dan bengkel cerpen di Mesir, saya bertambah giat menambah ilmu dalam bidang ini. Membuat kertas kerja Proses Penulisan cerpen sendiri dan Proses penulisan sajak berpandukan rujukan-rujukan tertentu. Hari ini saya terlupa membawa contoh-contoh kertas kerja tersebut. Insya-Allah lain hari akan saya sertakan.

Di sini saya mahu berkongsi sedikit tips untuk mengenali ragam dan kehendak editor. Berdasarkan pengalaman karya-karya yang pernah tersiar sebelum ini, saya dapat mengenal pasti kehendak dan kemahuan editor.

Pertama:
Jika menghantar karya ke media perdana khususnya Berita Minggu atau Mingguan Malaysia, pastikan anda tunggu sekitar tiga minggu. Paling lama tunggu selama empat minggu (sebulan). Jika karya anda tidak tersiar dalam tempoh tersebut, kemungkinan besar karya anda tidak akan disiarkan. Kebiasaan saya berbuat begitu. Tetapi alhamdulillah seminggu atau dua minggu selepas saya menghantar karya, pada minggu kedua atau ketiga karya saya akan disiarkan. Saya katakan begini kerana pertama kali berjinak dalam dunia penulisan pengalaman menunggu sebulan dan dua bulan karya disiarkan amat memeritkan. Justeru saya mula faham Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan apa sahaja akhbar perdana hanya memandang karya penulis dalam tempoh sebulan sahaja iaitu sekitar empat minggu. Dalam tempoh sehari editor akan menerima puluhan karya malahan beratus. Justeru mereka akan memilih empat karya yang terbaik. Karya pilihan pertama akan disiarkan dalam minggu pertama setiap bulan dab baki tiga daripada itu disimpan/ standby untuk tiga minggu yang berikut.
Ini panduan dan pengalaman saya dalam skop penceritaan Berita Minggu dan Mingguan Malaysia. Namun saya masih belum berjaya menembusi Mingguan Malaysia.
v Majalah Anis/ Majalah I/ dewan Agama dan Falsafah dan majalah-majalah yang seumpamanya:
Tunggu karya anda paling maksimum dalam tempoh tiga bulan. Selepas tempoh itu kemungkinan besar karya anda tidak akan disiarkan.

Majalah ANIS: menitik beratkan persoalan tema kekeluargaan dan kemasyarakatan. Majalah I & Dewan Agama dan Falsafah: memandang persoalan tema keagamaan dan servival.

Majalah Tunas Cipta/ Dewan Siswa/Dewan Sastera dan apa sahaja majalah dibawah kelolaan DBP:
Menitik beratkan tema dan persoalan Sastera dan budaya. Jika mahu hantar karya, pastikan nilai karya anda memenuhi etika tersebut. Kebiasaan majalah-majalah ini mengambil tempoh enam bulan untuk membuat pemilihan dan penilaian terhadap karya penulis. Selepas tempoh itu, harapan besar karya untuk tersiar amat tipis. Atau dalam bahasa paling mudah, karya yang dihantar itu tidak terpilih untuk disiarkan.

Justeru kenal pasti kehendak editor dengan syarat anda tidak serik menghantar karya. Kerana sikap tidak serik dan tidak jemu itulah yang akan menemukan anda dengan kehendak dan ragam editor.

Seperkara lagi saya kira amat penting untuk dikongsi bersama. Apabila telah menghantar karya, pastikan anda menghubungi editor sekitar tiga minggu atau sebulan selepas itu. Tanyakan kepada editor sama ada karya anda yang berjudul …….. telah sampai ke tangan pihak editor atau belum. Tanyakan juga kedudukan karya anda sama ada terpilih untuk disiarkan atau tidak. Lalu apa yang perlu anda buat selepas itu?

Anda hanya perlu menunggu editor membalas emel anda. Jangan bimbang mereka pasti akan memberi respon. Jika respon mereka menyatakan karya anda terpilih untuk disiarkan, alhamdulillah, Itu rezeki anda. Tetapi jika tidak berjaya menambat hati editor pada erti kata lain, tidak berjaya menjadi calon yang karyanya terpilih lalu anda mohon kepada editor untuk menyunting kembali karya tersebut. Justeru, itu anda boleh terus edit karya anda sehingga anda puas hati, kemudian hantar semula ke majalah tersebut atau anda boleh hantar ke majalah lain.

Harus diingat! Jika mahu menyunting kembali atau pada erti kata lain mahu menarik semula karya anda daripada mana-mana penerbitan atau media, pastikan anda memaklumkan terlebih dahulu kepada editor.

Untuk Berita Minggu dan Mingguan Malaysia, selepas menghantar karya saya rasa lebih baik anda tidak berhubung dengan editor kerana mereka tidak akan membalas emel anda. Kecuali dalam kes-kes tertentu, mereka sendiri akan menghubungi anda dan anda boleh membalas respon tersebut. Itu pengalaman saya. Saya kurang pasti pengalaman Hafiziftiqar dan FahdRazy.
v Demikian sedikit pengalaman juga panduan. Saya menulis panduan vs pengalaman kerana terkadang pengalaman itu lebih bagus daripada panduan because experience is a good teacher in your life. Jika anda tahu panduan tetapi kurang pengalaman anda tidak akan tahu di mana kelemahan anda. Namun begitu panduan juga amat penting. Pendek kata kedua-duanya harus seiring.

Terus terang saya katakana, pengalaman karya saya dibakul sampahkan telah banyak memberi panduan kepada saya agar lebih teliti dan berhati-hati apabila menulis. Pengalaman telah banyak mengajar saya erti kesabaran. Saya menjadi semakin degil dan tidak jemu menghantar karya. Meskipun terkadang kecewa tetapi saya berpegang kepada prinsip tidak akan putus asa. BIAR KECEWA JANGAN PUTUS ASA!

Semoga kesedaran yang telah Allah turunkan kepada generasi penulis hari ini akan membantu membentuk diri sendiri, khalayak pembaca, agama, bangsa ,Negara dan penduduk dunia.

Ikhlas.

Salha.