Monday, May 11, 2009

Ini Tanah Kita



Ini tanah kita, pesan bonda
kau akan bersemadi di bawahnya.

Kita perlu menjadi seorang tua
kala petang, dia berseorangan di bawah pohon
kemboja- menatap langit, menadah tangan;
menzikiri nama Tuhan
bertubi-tubi, air matanya membasahi pipi.

Pesannya, liang tanah ini
akan mengisi jasad-jasad berani.

Dia sedang berkira-kira, bagaimana
untuk menjadi lelaki paling berani
bakal mendiami liang tanah ini.

Pesan bonda lagi
belajar-belajarlah meniduri tanah ini
kalau-kalau, esok kau mati.

Kau tak perlu semutar
untuk menunjukkan alimmu di depan Munkar
kau tak perlu sihir
untuk bersembunyi dari Nakir
yang perlu kau tahu
tanah ini asalmu.

Basah tanah ini
memang sentiasa menanti kau kemari

Di bawah redup kemboja yang lain
seperti ternampak lelaki tua itu
menggali liang tanah
untuk jasadnya sendiri

Salman Sulaiman
Tanah Kita, Tanah Padang Raja
* Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2006

No comments: