Tuesday, March 24, 2009

TEKNIK MENGETENGAHKAN ILMU BANTU DALAM CERPEN PERCA-PERCA CINTA UNTUK PALESTINA – REBECCA ILHAM

Oleh Muhammad Teja (Adelaide, Australia)
http://janjilaxamana.blogspot.com/


  • * Baca cerpennya di sini


  • Sesebuah karya sastera dipadukan dengan ilmu bantu yang memberi nilai tambah kepada pembaca akan mengangkat karya tersebut menjadi sebuah karya yang baik. Apatah lagi ilmu bantu itu akan merangsang pembaca untuk mendalami sesuatu isu dan menguatkan saranan dan pemikiran pengarang terhadap sesuatu isu yang disentuh. Dalam cerpen Rebecca Ilham, Perca-perca Cinta Untuk Palestina yang tersiar di ruangan karya kreatif Berita Harian, teknik penyampaian ilmu bantu atau hujah pemikiran pengarang disampaikan dengan cukup berkesan untuk meyakinkan pembaca terhadap pandangan pengarang mengenai konflik Israel-Palestin.

    Pada permulaan cerpen, pengarang telah menukilkan watak dalam cerita yang sedang mengalami konflik dalaman apabila dipersoalkan Baba mengenai tindakannya memakai kaffiyeh Palestin, sewaktu mereka bertemu di salah sebuah restoran makanan barat. Pengarang pada awalnya menyatakan yang Wafeya berhajat bertemu dengan bapanya di restoran Yahudi; Taim, namun mengubah fikiran kerana enggan meninggalkan kifayeh yang dipakainya. Dalam konflik dalaman itu, Wafeya menjawab terlebih dahulu pesoalan Baba di dalam hatinya, sebelum melafaznya melalui dialog. Pengarang memakai teknik berikut dalam menyelesaikan konflik dalam (pada, atau dalam tanpa kata sendi di) permulaan cerpen; menerima persoalan yang mencetuskan konflik, menegaskan pendirian di dalam hati (bermonolog dalaman) dengan hujah tersendiri, sebelum menjawabnya melalui dialog kembali.

    Setelah Wafeya menjawab persoalan Baba, Wafeya diserang satu lagi konflik baharu. Kali ini, mengenai kekhuatirannya mengenai penerimaan Baba terhadap apa yang diperkatakannya. Namun, pada peringkat ini, pengarang cuba menukilkan bagaimana Wafeya cuba untuk memahami apa yang bermain dalam perasaan Baba, sambil memberi analisis melalui paradigma Wafeya sendiri; sebagai mahasiswa kejuruteraan pembinaan. Di sini, dapat dilihat pengarang bijak menyelitkan ilmu bantu falsafah kejuruteraan bangunan melalui mainan fikiran Wafeya. Teknik ini dinamakan stream of conciusness, di mana pemikiran watak menerawang, sedangkan mereka melakukan aksi yang tidak berkaitan dengan apa yang difikirkannya. Misalnya, dalam cerpen ini, Wafeya dan Baba masing-masing sedang menyantap hidangan, namun fikiran Wafeya terbayang-bayang mengenai pengetahuannya tentang Bangunan Sekreteriat yang terletak di United Nations Plaza.

    Seterusnya, pengarang menyambung lagi pengisian buat pembaca melalui dialog pula, dengan menggunakan intonasi berbeza – intonasi perbualan antara anak dengan bapanya. Kepelbagaian penggunaan intonasi ini menjadikan rentak penyampaian ilmu bantu berubah. Ini membolehkan pembaca lebih mudah menghadam apa yang ingin disampaikan pengarang melalui cerpennya. Apabila cerita berlangsung, pengarang kembali memasukkan monolog dalaman Wafeya, sebagai watak utama cerita, berselang-seli dengan dialog antara Wafeya dengan Baba dan perilaku mereka di meja makan. Selain itu, pengarang juga tidak melupakan untuk memasukkan elemen perwatakan untuk setiap watak, supaya cerpen ini benar-benar bergerak sebagai sebuah cerita, bukan sekadar dipenuhi oleh unsur ilmiah sahaja. Misalnya, pembaca diberitahu bahawa Wafeya digantung daripada pengajian kerana dituduh menyokong pengganas dengan memakai kain kaffiyeh dan Baba berasa bertanggungjawab untuk memujuk Wafeya tentang kerasionalan tindakannya itu. Selain itu, persekitaran perbincangan antara Wafeya dan Baba, seperti suasana restoran dan layanan pramusaji turut dimasukkan supaya konsep penceritaan tetap berlangsung, sungguhpun pada masa yang sama, pengarang cuba melontarkan idea dan pemikirannya melalui watak.

    Sebelum peleraian cerpen, pengarang mengalih tumpuan perbincangan ilmiah kepada sebuah kisah yang selalu dibacakan oleh Baba kepada Wafeya, sewaktu Wafeya kecil. Teknik ini digunakan pengarang, supaya pembaca dapat merenung kembali kaitan ilmu-ilmu bantu kejuruteraan binaan dan sains politik dengan situasi realiti yang berlaku di tengah-tengah kemelut Palestin dan Israel - kisah mengenai seorang lelaki Palestin yang teraniaya dek rencana orang Yahudi. Pembaca yang sudah menghadam ilmu bantu sebentar tadi, sudah pasti akan dapat membayangkan betapa sengsaranya rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Yahudi dengan lebih kukuh. Pandangan ini dikuatkan lagi dalam satu perenggan tambahan, di mana Wafeya menjelaskan maklumat terkini mengenai politik Israel yang tidak memihak kepada rakyat Palestin yang ditindas.

    Pengakhiran cerpen juga perlu diberi perhatian khusus. Setelah Wafeya melontarkan pandangannya pada Baba, sejak permulaan cerita, baharulah dia mengkhabarkan rasionalnya terhadap tindakannya terus memakai kain kifayeh. Dengan melakukan cara ini, watak Baba dan pembaca akan mendapati apa yang dilakukan oleh Wafeya bukan sekadar semangat yang kosong, tetapi mempunyai falsafah dan pendiriannya tersendiri. Teknik ini digunakan untuk meyakinkan pembaca supaya dapat menerima pandangan pengarang. Hanya pada peringkat akhir, Wafeya menyatakan keberaniannya dan kesanggupannya menghadapi risiko kerana bersandarkan keyakinannya terhadap ketentuan Allah, seperti mana terkandung dalam Al-Quran, Surah An-Nisaa; 81, yang diungkapkan oleh Wafeya kepada Baba. Ini menunjukkan pengarang menjadikan tindakan Wafeya lengkap dipandu oleh agama, falsafah dan ilmunya tersendiri.

    Kesimpulannya, cerpen ini sangat baik sekali mengenengahkan ilmu bantu untuk menguatkan hujah dan pandangan pengarang mengenai isu Palestin-Israel. Dengan penggunaan teknik penyampaian yang pelbagai, pengarang berjaya membawa pembaca untuk berfikir sejenak mengenai isu yang berlaku, supaya pembaca memberi tumpuan terhadap cadangan ikhtiar terhadap sesuatu permasalahan itu. Dengan ilmu bantu dan hujah, sesuatu lontaran pandangan dan seruan pengarang terhadap pembaca akan menjadi lebih berkesan.

    No comments: