Friday, February 13, 2009

Sumpah Tujuh Keturunan: Epik Realisma Magis

Oleh: M Syukri Rosli (Adelaide, Australia)
http://janjilaxamana.blogspot.com

Gabriel Garcia Marquez, nama yang begitu tersohor dalam dunia sastera. Membaca karya besarnya, Sumpah Tujuh Keturunan, terjemahan ke Bahasa Melayu oleh Mokhtar Ahmad dan Zulkifli Ahmad (terbitan DBP, 1991) memang amat mengujakan. Novel ini memenangi Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan pada tahun 1982, sekaligus mengangkat nama Gabriel Garcia Marquez menjadi pengarang yang diikuti di seluruh dunia.

Kekuatan novel ini adalah elemen realisme magisnya, di mana realiti diselitkan dengan unsur-unsur keajaiban, ketahyulan dan urban legend yang membuatkan novel ini terasa sangat menarik dan unik sepanjang jalan penceritaannya. Secara umumnya, plot cerita ini adalah mengikut tujuh keturunan salasilah Jose Arcadio Buendia dan Ursula Iguaran, yang disusun secara kronologi, mengikut peredaran masa selama seratus tahun. Salah satu contoh adegan realisme magis adalah apabila Si Remedios Cantik yang lesap di suatu petang ketika angin bertiup kencang dan dia hilang kerana diterbangkan oleh angin bersama dengan kain yang dipegangnya.

Setiap watak yang diketangahkan oleh Marquez sebenarnya cerminan kepada apa yang berlaku kepada senario negara Columbia dalam era awal 20-an (1850-1950). Contohnya, kisah pembunuhan beramai-ramai pekerja kebun pisang dan peristiwa itu digambarkan sewaktu pengarang menceritakan watak Jose Arcadio Segudio. Jose Arcadio Segundo menghadapi situasi di mana pihak tentera menembak seramai 3000 orang pekerja yang berkumpul di stesen kereta api kerana mogok dan Jose Arcadio Segundo selamat dalam insiden itu tetapi mengalami trauma. Seterusnya, watak Aureliano Segundo, saudara kembar Jose Arcadio Segundo, yang hidup dalam kemewahan dan pembaziran sebelum terpaksa menghadapi kesusahan setelah ditimpa bencana hujan dan banjir selama 4 tahun. Watak ini mewakili negara Colombia yang mewah pada satu ketika, namun mengalami kemerosotan ekonomi setelah ditimpa bencana.

Dari sudut lain, pengarang cuba mengetengahkan kebobrokan keturunan Buendia yang melakukan perkara-perkara yang benar-benar melampaui batas iaitu bebasnya pergaulan dan sumbang mahram yang berlaku dalam keturunan tersebut. Ini menyebabkan sepanjang perjalanan tujuh keturunan itu, mereka ditimpa bermacam-macam bencana dan ia seperti menjadi pengajaran kepada pembaca tentang balasan buruk yang akan diterima sekiranya berkelakuan sumbang. Semua ini telah dapat diramal oleh Marquedes, seorang gipsi yang banyak mempengaruhi hidup pengasas keluarga Buendia dan mencatatnya di atas kulit binatang dengan bahasa Sanskrit. Namun, segala yang ditulis oleh Marquedes itu gagal difahami, sehinggalah keturunan terakhir Buendia, Aureliano II, membacanya dan mengenal pasti apakah yang berlaku kepada ahli keluarganya sebelum ini. Selain itu, ia turut memaparkan bagaimana latar kehidupan masyarakat Amerika Latin dan pemikiran mereka yang masih diselubungi mitos dan pegangan longgar terhadap agama. Dari sisi yang positif, pengarang cuba menampilkan hubungan kekeluargaan yang erat dan sifat tanggungjawab yang dipunyai oleh setiap ahli keluarga Buendia dalam mempertahankan keturunan mereka, meskipun hanyut dalam salah laku moral yang sememangnya mendapat balasan di dalam dunia lagi.

Kepada peminat sastera, novel ini sepatutnya menjadi bacaan, apatah lagi dalam gelombang realisme magis samudera sastera global dekad ini masih lagi bergelora. Pengarang yang bertekad untuk mencuba kehebatan realisme magis seharusnya menjadikan novel ini sebagai rujukan. Novel Sumpah Tujuh Keturunan akan menjanjikan sebuah pengalaman baru yang tidak diduga.

No comments: