Friday, February 13, 2009

Sains, Matematik tidak wajar dalam BI sahaja

Petikan utusan

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Pengajaran Sains dan Matematik di sekolah tidak sepatutnya hanya dikhususkan dalam satu bahasa tertentu sahaja, iaitu bahasa Inggeris (BI) sehingga mengabaikan penggunaan bahasa lain yang juga tidak kurang pentingnya.

Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid berkata, pihak terbabit perlu membezakan matlamat utamanya sama ada mahukan para pelajar menguasai kedua-dua subjek tersebut atau pun bahasa itu sendiri.

Tegas beliau, kerajaan sepatutnya menjadikan kedua-dua bahasa itu iaitu bahasa Inggeris dan Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan, berada dalam keadaan seimbang dan berdaya saing antara satu sama lain.

"Saya fikir, ia salah dan tidak perlu (penggunaan bahasa Inggeris) kerana jika mahu pelajar mahir subjek atau kuasai bahasa, maka ia perlu dibezakan caranya.

"Tiada istimewanya belajar mana-mana subjek dalam bahasa tertentu kerana kita juga boleh guna bahasa Melayu, Cina atau Jerman, ini adalah teori saya," katanya.

Beliau yang juga penerima sulung Anugerah Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Komuniti berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum untuk siri Merdeka Award di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ungku Aziz ditanya mengenai Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah menimbulkan polemik dalam kalangan cendekiawan Melayu yang tidak bersetuju dengan pelaksanaannya oleh kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan boleh teruskan PPSMI, tetapi pada masa sama, ia kena seimbang dengan bahasa Melayu kerana antara punca utama wujudnya bahasa 'rojak' ialah disebabkan orang Melayu sendiri tidak menjaga bahasa mereka.

"Saya tetap melihat kesan negatif akan berlaku terhadap generasi muda sekiranya PPSMI tidak seimbang ini tetap dilaksanakan dan lebih takut lagi dikhuatiri mereka akan menjadi seperti generasi muda Melayu Singapura yang tidak tahu berbahasa Melayu," katanya.

Dalam pada itu, Ungku Aziz juga tidak dapat menerima pendapat yang mendakwa pelaksanaan PPSMI bertujuan memudahkan para pelajar memperoleh ilmu memandangkan kebanyakan buku pengetahuan ditulis dalam bahasa Inggeris.

Katanya, ilmu pengetahuan sebenarnya boleh juga diperoleh melalui bahasa selain Inggeris dan yang menjadi masalahnya ialah kerana tiadanya usaha orang Melayu sendiri yang produktif untuk menulis artikel mengenai sains dalam bahasa berkenaan.

"Matematik pula kita kena ingat bahawa ia bukannya mampu dikuasai dengan bahasa kerana subjek itu mengguna pakai bahasa simbol," katanya.

Ungku Aziz berkata, Universiti Malaya bermula pada tahun 1974 telah mengambil pelajar Melayu menyertai Pusat Asasi Sains yang diajar sepenuhnya Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu dan kumpulan itu telah berjaya sehingga menjadi pakar dalam bidang yang diceburi mereka.

No comments: