Monday, January 5, 2009

Kisah Karut dari Masa Silam








(Gaza)

Cukuplah, berikan masa untuknya berehat
kisah ini terlalu panjang dan buat mereka yang berada di dalamnya,
kegundahan sudah cukup meletihkan.

Aku sudah penat, cukup,
bagi mendengar berita-berita buruk itu
berikanku sedikit waktu untuk mula memikirkan mimpi indah
dan menulis puisi-puisi tentang kecantikan.

Sejarah akan mencatatkan kemudiannya
bahawa segala cerita ini hanyalah
kisah karut dari masa silam.

Di antara irama enjin pesawat, letupan bom,
jeritan kesakitan dan tangisan duka,
langit petang yang berwarna jingga kelihatan mendung
dan angkasa menjadi semakin pudar
oleh kepulan asap hitam serta darah memercik
bagai kelopak-kelopak mawar yang bertaburan di padang pasir.

Di tengah kawasan yang dilapangkan itu,
sebatang tubuh sedang berlutut di atas tanah di tepi robohan batu-batu bangunan
dia memandang ke langit seraya berseru,
‘Tuhan, mengapa Engkau tinggalkan aku?’

Jawapannya ada dalam diri setiap yang merasai dan memerhati.

Begitu, sekali lagi pada saat ini
puisi-puisi yang ingin kujadikan cantik dan sentosa,
telah bertukar menjadi igauan ngeri tentang satu suasana
yang tidak kusaksikan tetapi dapat kurasakan –
bagaimana dengan anda?

Rifhan Rasuli, Januari 2009
Dublin
For the love of God and human rights

No comments: